SEORANG pemandu e-hailing berdepan detik mengejutkan apabila penumpang lelaki yang dibawa tergamak menampar isterinya sendiri di dalam kereta gara-gara berang ketika berlaku pertikaian mengenai bayaran tambang bernilai RM7.Kejadian mencemaskan itu dikongsikan sendiri oleh pemandu berkenaan, Stanley Loi, menerusi satu video rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang dimuat naik dalam satu hantaran di aplikasi Threads pada Rabu. Berdasarkan rakaman tersebut, insiden berkenaan dipercayai berlaku selepas Stanley selesai menghantar pasangan suami isteri itu ke destinasi mereka di Seremban, Negeri Sembilan sekitar pukul 2.42 petang.Cerita Stanley, pelanggan lelaki itu menghulurkan wang kertas RM50 untuk membayar caj tambang perjalanan tersebut, namun dia memaklumkan tidak mempunyai wang baki kecil untuk dipulangkan."Saya cakap tak ada duit kecil untuk bagi baki. Kemudian saya tanya ada Touch 'n Go (TNG) tak. Dia kata baki dalam TNG pun tak cukup. Saya dah fikir kalau tak boleh selesai, saya nak halalkan sahaja tambang itu."Saya cakap baik-baik, kalau tambang RM7 mungkin boleh sediakan RM10 atau RM20 supaya tak susahkan pemandu. Tapi dia terus marah serta mengamuk," katanya.Menurut Stanley lagi, keadaan menjadi semakin tegang apabila lelaki yang sedang memangku seorang bayi berkenaan mula meninggikan suara, meskipun isterinya sudah cuba sedaya-upaya untuk menenangkan keadaan.Tangkap layar video dashcam yang dikongsikan Stanley di Threads.Apa yang membuatkan Stanley terkilan, lelaki itu kemudiannya secara tiba-tiba bertindak agresif dan mengasari isterinya sendiri, seperti yang jelas terakam dalam video berkenaan."Lelaki itu terus tampar isterinya sendiri. Masa tu memang saya dah tak boleh tahan. Kalau dia nak bergaduh tak apa, tapi kenapa sampai nak pukul isteri?"Itu yang buat saya terus hilang sabar dan suruh dia turun kereta. Lepas tu dia terus tutup pintu dan jalan pergi. Elok-elok boleh bincang, tapi dia pilih nak bergaduh dan pukul isteri," katanya lagi yang bercadang membuat laporan kepada pihak Grab.Malah, menurutnya, pelanggan terbabit turut menghantar mesej kepadanya menerusi aplikasi Grab selepas kejadian bagi meneruskan pertengkaran."Saya malas nak layan, cuma cakap saya dah report. Kalau dia nak report balik, terpulanglah sebab saya dah rakam situasi tu."Dia macam bangga pula sebab pukul isteri dan bergaduh. Harap semua hati-hati dengan lelaki ni," ujarnya lagi.Stanley turut mendedahkan bahawa sepanjang lebih tiga tahun mencari rezeki sebagai pemandu e-hailing, ini adalah kali pertama dia berdepan dengan situasi yang cukup menyakitkan hati seperti itu.Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warga maya memuji tindakan tegas dan berani yang diambil oleh Stanley ketika mengendalikan situasi tegang berkenaan."Uncle, awak dah buat satu tindakan yang bagus. Warga Malaysia bangga dengan awak."Uncle, awak ni betul-betul baik la. Kalau orang lain memang dah lunyai warga asing tu," komen beberapa netizen pada hantaran asal.Dalam perkembangan sama, pihak Grab turut meninggalkan respon pada hantaran Threads berkenaan dan memohon agar Stanley menyemak peti masuk mesejnya bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.Jelas Grab, mereka juga mahu mengesahkan sama ada laporan rasmi telah dibuat berhubung tindakan penumpang yang meninggalkan kenderaan tanpa membayar tambang, bagi memastikan bantuan serta pampasan sewajarnya dapat disalurkan.