suria

Ahli Parlimen pembangkang desak Menteri Luar Thai letak jawatan

BANGKOK: Ahli-ahli Parlimen pembangkang Thailand mendesak Menteri Luar negara itu, Kasit Piromya meletakkan jawatan selepas polis mengenakan tuduhan terhadap beliau terlibat dalam demonstrasi yang mengakibatkan penutupan dua lapangan terbang antarabangsa akhir tahun lalu.

Kasit dan 35 pemimpin lain dari kumpulan "Kemeja-T Kuning" berhadapan dengan tuduhan jenayah termasuk mengadakan perhimpunan haram, cuba mencetuskan huru-hara, melanggar undang-undang penerbangan dan keganasan.

Mereka mengepung dua lapangan terbang antarabangsa selama lapan hari pada November dan Disember lalu.

Mereka dikehendaki melapor kepada polis pada 16 Julai ini, kata Lt. Jen. Polis Wuthi Puavej.

Tuduhan itu mencetuskan kontroversi berhubung pelantikan Kasit sebagai Menteri Luar.

"Tuduhan-tuduhan ini adalah serius. Bagaimana beliau boleh mewakili negara kami sebagai menteri luar? Beliau tiada kredibiliti," kata jurucakap parti pembangkang Parti Phuea Thai, Prompong Nopparit.

Laporan Bernama semalam menyebut, Kasit dan pemimpin Pakatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD) telah dipanggil untuk memberi keterangan oleh polis berhubung dakwaan pembabitan mereka dalam penutupan lapangan terbang antarabangsa Suvarnabhumi dan Don Mueang.

Sebanyak 16 tokoh utama pergerakan yang memakai kemeja kuing itu diminta hadir ke balai polis Racha Thewa dan balai polis Don Mueang pada 16 Julai, berhubung penutupan lapangan terbang berkenaan pada akhir November, yang mengakibatkan lebih 350,000 penumpang terkandas.

Akhbar Bangkok Post memetik Naib Menteri Luar Panich Vikitsreth sebagai berkata, Kasit telah dimaklumkan mengenai surat arahan itu dan akan kembali ke tanah air dalam masa sehari dua ini.

Menurut beliau, Kasit telah menghubungi Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva dan akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Surat arahan itu dikeluarkan pada waktu kritikal bagi Thailand ketika negara itu cuba memperbaiki imejnya yang tercemar dengan menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN dan Forum Rantau ASEAN di Phuket dari 17 hingga 23 Julai, di mana Kasit akan mempengerusikan mesyuarat melibatkan 26 negara, dengan orang kenamaan, termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton dijangka hadir. Agensi

Artikel Lain