suria

Menteri Luar Thailand akan didakwa berhubung penutupan lapangan terbang

BANGKOK: Menteri Luar Thailand, Kasit Piromya dan pemimpin Pakatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD) telah dipanggil untuk memberi keterangan oleh polis berhubung dakwaan pembabitan mereka dalam penutupan dua lapangan terbang antarabangsa iaitu Suvarnabhumi dan Don Mueang di sini akhir tahun lepas.

Sebanyak 16 tokoh utama pergerakan yang memakai kemeja kuing itu diminta hadir ke balai polis Racha Thewa dan balai polis Don Mueang pada 16 Julai, berhubung penutupan lapangan terbang berkenaan pada akhir November, yang mengakibatkan lebih 350,000 penumpang terkandas.

Kasit, bekas duta ke Amerika Syarikat dan tokoh utama PAD, kini berada di Qatar, telah dikritik hebat dan diminta meletakkan jawatan oleh pembangkang dan media atas dakwaan pembabitannya dalam penutupan lapangan terbang itu.

Akhbar Bangkok Post memetik Naib Menteri Luar Panich Vikitsreth sebagai berkata, Kasit telah dimaklumkan mengenai surat arahan itu dan akan kembali ke tanah air dalam masa sehari dua ini.

Menurut beliau, Kasit telah menghubungi Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva dan akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.

Surat arahan itu dikeluarkan pada waktu kritikal bagi Thailand ketika negara itu cuba memperbaiki imejnya yang tercemar dengan menjadi tuan rumah Mesyuarat Menterimenteri Asean dan Forum Rantau Asean di Phuket dari 17 hingga 23 Julai, di mana Kasit akan mempengerusikan mesyuarat melibatkan 26 negara, dengan orang kenamaan, termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton dijangka hadir.

Pada April, pergerakan antikerajaan yang memakai kemeja merah menyerbu venue Sidang Kemuncak Asia Timur di Pattaya dan memaksa sidang itu dibatalkan.

Pemimpin PAD lain yang turut menghadapi dakwaan ialah taikun media Sondhi Limthongkul, yang terselamat daripada cubaan dibunuh pada April, MejJeneral Chamlong Srimuang dan Suriyasai Katasila.

PAD yang mengetuai perhimpunan besarbesaran di ibu negara, yang membawa kepada penggulingan perdana menteri ketika itu Thaksin Shinawatra oleh tentera pada September, 2006, kembali mengadakan demonstrasi pada Mei tahun lalu, selepas sekutu Thaksin memenangi pilihan raya umum pada Disember, 2007.

Pada Ogos tahun lepas, mereka merampas nadi pentadbiran negara itu, Bangunan Kerajaan, selama tiga bulan. Pada 23 Nov, mereka menyekat jalan masuk ke lapangan terbang Suvarnabhumi dan Don Mueang, memaksa pihak berkuasa lapangan terbang menutup lapangan terbang berkenaan lebih seminggu.

PAD hanya menamatkan rampasan ke atas lapangan terbang berkenaan selepas Mahkamah Perlembagaan membubarkan Parti Kuasa Rakyat dan melarang perdana menteri ketika itu yang juga merupakan adik ipar Thaksin, Somchai Wongsawat daripada terbabit dalam politik selama lima tahun. BERNAMA

Artikel Lain