suria

Hasil kiraan pantas Susilo dahului lebih 51 peratus

JAKARTA: Penyandang Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) mendahului dua lawannya pada pemilihan langsung presiden Indonesia 2009-2014 berdasarkan hasil kajian kiraan pantas yang dijalankan oleh lima lembaga survei tempatan setakat pukul 3 petang ini.

SBY yang berpasangan dengan Boediono mendahului di kelima-lima kajian yang dijalankan oleh Lembaga Survei Indonesia (LSI 1), Lingkaran Survei Indonesia (LSI 2), Lembaga Penelitian, Pendidikan dan Penerangan Ekonomi dan Sosial (LP3Es), CIRRUS dan Lembaga Riset Informasi (LRI).

Seperti paparan di laman web detikcom, SBY-Boediono mendahului di LSI 1 dengan mendapat 60.79 peratus sokongan mengatasi Megawati-Prabowo (26.43) dan Jusuf Kalla-Wiranto (12.78) manakala menurut LS1 2 pula SBY-Boediono (59.64), Megawati-Prabowo (27.54) dan Jusuf Kalla-Wiranto (12.82).

Dalam kajian LP3ES juga SBY-Boediono berada jauh di depan lawan-lawannya dengan mendapat 59.82 peratus sokongan, di CIRRUS (60.14) dan di LRI (60.27).

Sementara itu dalam perkembangan terbaru LSI, pimpinan Denny JA sudah yakin bahawa pilpres 2009 ini hanya berlangsung satu pusingan dan pemenangnya ialah pasangan SBY-Boediono yang meraih sokongan melebihi 50 peratus di banyak wilayah manakala dua pasangan lawannya jauh tertinggal.

Seorang peneliti LSI ketika mengulas hasil kiraan pantas yang dilakukan lembaganya di stesen televisyen TVOne pada Rabu menunjukkan jumlah undi yang dikira sudah melebihi 70 peratus.

Mengulas keputusan kiraan pantas itu, SBY dalam ucapan yang disiarkan stesen TV pada kira-kira pukul 3 petang, mengucapkan syukur di atas pencapaian itu dan berterima kasih kepada semua pasukannya tetapi tetap berharap mereka menunggu keputusan rasmi yang akan diumum Komisi Pemilihan Umum (KPU/seperti Suruhanjaya Pilihan Raya di Malaysia).

"Hasil dari lembaga survei, Alhamdulillah...tetapi kami tetap menunggu keputusan dari KPU hingga pada waktunya nanti diumumkan kepada seluruh rakyat Indonesia," katanya yang kelihatan tenang dan banyak tersenyum.

Meneruskan budaya tenang yang sebati dengan karekternya, SBY juga meminta semua penyokongnya untuk menjaga perasaan calon lain dan tidak menunjukkan kegembiraan yang berlebihan, apalagi keputusan rasmi belum diperoleh.

Laman web detikcom pula melaporkan dari kediaman peribadi SBY, Puri Cikeas, bahawa SBY dan isteri, Ibu Ani Yudhoyono, kini sudah dilimpahi ucapan tahniah dan slogan SBY "Lanjutkan!" terus menerus dilaungkan penyokongnya.

Undang-undang pilihan raya Indonesia menetapkan pilpres hanya dijalankan satu pusingan jika ada calon yang mendapat lebih 50 peratus undi dengan sebarannya melebihi 20 peratus di sekurang-kurangnya 17 dari 33 wilayah Indonesia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain