SEORANG doktor lelaki meluahkan rasa kecewa selepas dimarahi oleh ibu kepada seorang pesakit kanak-kanak.
Menerusi satu hantaran di laman Threads, doktor itu berkata, ia susulan tindakannya yang enggan mengeluarkan sijil cuti sakit (MC) untuk wanita berkenaan.
Menurut doktor itu, wanita terbabit membawa anaknya yang merupakan murid tadika ke klinik kerana mengalami demam dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).
Ada sebahagian majikan tidak membenarkan pekerja memohon cuti kecemasan untuk menjaga anak. -Gambar hiasan AI
"Ugut aku, nak buat laporan dekat pihak atasan sebab aku kejam tiada hati perut. Siap nak buat laporan dekat Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
"Anak demam, sekolah tadika. Aku boleh je bagi MC untuk anak. Nak bagi MC bagi pihak mak buat apa?" luah doktor tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Mohon EL sebab anak sakit, bos zalim suruh pilih kerjaya atau dipecat! Wanita putuskan jaga 'maruah seorang ibu'
ARTIKEL BERKAITAN: Bos baik, 'sporting' kecewa staf pijak kepala sanggup tipu MC... Ingat 4 risiko ini jika anda ada niat palsukan sijil
Katanya, wanita tersebut memberi alasan mahu mendapatkan MC bagi dirinya sendiri atas tujuan kerana mahu menjaga anak.
"Bukan MC anak tau. MC untuk mak budak. Alasannya kerana Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) sudah ditutup dan tidak boleh memohon cuti.
"Bila aku tolak, dia kata aku kejam dan tiada hati perut. Sampai sekarang aku masih menunggu surat SISPAA," katanya.
Doktor berkenaan turut meluahkan rasa penat berdepan dengan sikap segelintir pihak yang dianggap tidak memahami fungsi sebenar sijil cuti sakit.
- Doktor dimarahi ibu pesakit kerana enggan mengeluarkan MC untuk dirinya.
- Pesakit yang merupakan seorang kanak-kanak hanya mengalami demam dan URTI serta bersekolah di tadika.
- Ibu mendakwa perlu MC kerana majikan cerewet dan cuti sukar diluluskan.
- Doktor menegaskan MC hanya dikeluarkan berdasarkan keperluan perubatan.
- Isu itu mencetuskan perdebatan netizen tentang kerenah majikan dan salah guna MC.
"Yang sakit orang lain, yang beria nak MC orang lain. Kalau malas ke tempat kerja, maklumkan saja kepada majikan.
"Tak perlu cari jalan pintas dengan meminta MC yang tidak sepatutnya," katanya lagi.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dengan ada yang mendakwa wanita tersebut mungkin terpaksa meminta MC kerana kerenah majikan.
"Kadang minta MC untuk jaga anak sebab ada ketua jabatan yang banyak songeh nak luluskan cuti. Tu je sebabnya, tak kan nak biar anak kecil sorang-sorang dekat rumah.
"Saya pernah minta MC disebabkan anak saya sakit. Kenapa saya minta? Sebab bos terlalu cerewet. Anak sakit pun dia persoalkan cuti. Kami tiada cuti kecemasan," luah netizen.


