PEMUDA yang pernah mendapat perhatian rakyat Malaysia susulan kehilangan enam ahli keluarga dalam kemalangan tragis pada 2023, selamat bernikah dengan wanita pilihannya pada Sabtu.
Abdur Rahman Amir Ruddin, 21, berkongsi detik hari bahagianya bergelar suami kepada wanita dikenali Wahidatul Imtiyazzah menerusi hantaran di akaun TikTok.
ARTIKEL BERKAITAN: Lega adik mula isi perut, boleh makan bubur... Abang syukur Allah tunjuk keajaiban - “Doakan Baby doll cepat sembuh”
"Hari ini, aku menerima nikahmu, dan aku merasakan betapa beratnya amanah yang dititipkan oleh Allah di bahuku.
"Aku menyedari bahawa cinta bukan sekadar perasaan, tetapi satu tanggungjawab yang perlu dijaga dengan kesabaran, pengertian dan keikhlasan.
"Aku berjanji untuk menjadi temanmu dalam susah dan senang pelindung hatimu ketika dunia terasa berat dan peneduh jiwa dalam setiap langkah perjalanan hidup kita," tulisnya.

Ibu bapa dan empat adik Abdur Rahman terkorban dalam nahas tahun 2023. Abdur Rahman berdiri di belakang, kanan bersama Abdullah.
Perkongsian Abdur Rahman dihujani ratusan komen netizen yang mendoakan kebahagiaannya bersama isteri.
Kisah Abdur Rahman yang menjadi yatim piatu sekelip mata benar-benar meruntun hati warga maya, selepas tragedi kemalangan ngeri pada 1 September 2023 mengorbankan ibu bapanya, Amir Ruddin Ismail, 46, dan Noorahimah Noor Muhamad, 43.
Empat adik-beradiknya turut terkorban iaitu Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Seorang lagi adik Abdur Rahman, iaitu Abdullah, kini berusia 17 tahun, menjadi satu-satunya mangsa yang terselamat dalam nahas tersebut.


