SEORANG lelaki Orang Asli cedera selepas ditarik seekor gajah hingga jatuh ke dalam gaung, dalam kejadian di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Air Banun di Gerik, Perak, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada pukul 9.30 pagi ketika dua motosikal ditunggang dua lelaki Orang Asli bersama seorang pembonceng keluar mencari hasil hutan.
“Penunggang motosikal pertama, lelaki berusia 34 tahun yang berada di hadapan ternampak seekor gajah di tepi jalan lalu mengambil tindakan memecut laju dan berjaya melepasi haiwan tersebut.
"Bagaimanapun, motosikal kedua yang ditunggang lelaki berusia 30 tahun, iaitu adik penunggang motosikal pertama bersama rakannya (pembonceng) tidak sempat melepasi gajah berkenaan dan berhenti bagi menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Abdul Samad berkata, secara tiba-tiba gajah tersebut menarik penunggang motosikal kedua sehingga menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam gaung manakala pembonceng sempat melarikan diri.
"Mangsa yang terjatuh mengalami kecederaan di bahagian muka dan sakit badan, dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.
"Penunggang motosikal pertama dan pembonceng motosikal kedua tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Abdul Samad menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan tersebut kerana berisiko bertembung dengan hidupan liar yang melintas atau berada di atas jalan.


