MURID Malaysia memiliki tahap literasi bacaan yang kompetitif serta kemahiran numerasi yang kukuh, menurut keputusan terkini Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, walaupun murid menghadapi gangguan pembelajaran semasa pandemik Covid-19, prestasi mereka masih stabil dalam pentaksiran peringkat serantau pada tahun 2024.
“Kohort ini menjalani Tahun Satu dan Dua mereka selama hampir dua tahun di bawah perintah kawalan pergerakan pada 2020 hingga 2021, dan mengikuti PdPR (pengajaran dan pembelajaran di rumah) sepanjang tempoh tersebut.
“Gangguan pembelajaran pada fasa awal pendidikan ini adalah faktor utama yang mempengaruhi penguasaan kemahiran asas mereka dan memberikan konteks penting untuk mentafsir keputusan SEA-PLM dengan lebih tepat,” katanya semasa pengumuman keputusan pada 5 Disember di Putrajaya.
Merapatkan jurang jantina
Walaupun murid lelaki memerlukan sokongan lebih khusus dalam Literasi Bacaan, beliau berkata keputusan menunjukkan jurang jantina telah mengecil.
Perkembangan positif ini, tambahnya, sejajar dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Murid perempuan menunjukkan prestasi lebih baik dalam matematik pada SEA-PLM 2019, tetapi jurang antara jantina dalam SEA-PLM 2024 kini sudah tiada.
“Apabila dianalisis mengikut tahap kemahiran, murid lelaki menunjukkan peratusan lebih tinggi dalam Band 8 dan 9 bagi matematik iaitu 17.4 peratus, berbanding murid perempuan pada 14.1 peratus,” jelasnya.
Ini, katanya, menunjukkan usaha untuk meningkatkan penguasaan numerasi semakin berkesan, terutamanya bagi murid lelaki.
Pada masa yang sama, langkah sedang diambil untuk meningkatkan prestasi murid perempuan supaya mereka dapat mencapai prestasi yang lebih baik (Band 8 dan 9), tambahnya.
Ketahanan akademik
Jurang pencapaian yang ketara dapat dilihat antara murid berstatus sosioekonomi rendah dan tinggi (SES), dan ia semakin melebar berbanding 2019.
“Ini adalah jurang ekuiti paling dominan dalam SEA-PLM 2024, bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat serantau.
“Perbezaan 23 mata bagi Literasi Bacaan dan 26 mata bagi Matematik adalah isyarat jelas bahawa latar belakang keluarga masih memainkan peranan besar dalam pencapaian murid,” tegas Mohd Azam.
Tiga ukuran SES yang diambil kira adalah tahap pendidikan tertinggi ibu bapa, jenis pekerjaan ibu bapa, serta maklumat mengenai sumber dan jumlah buku di rumah.
“Justeru, jurang ini menunjukkan murid dari keluarga SES rendah bukan sahaja menghadapi kekangan digital, tetapi juga kekangan sumber dan ruang belajar di rumah serta kurang mendapat sokongan akademik daripada ibu bapa,” tambah beliau.

Walaupun menghadapi cabaran ini, kira-kira 30 peratus murid Malaysia dari SES rendah mampu mencapai Band 5 dan ke atas. Mohd Azam berkata murid kita mempunyai “potensi tinggi untuk ketahanan akademik”, tetapi ia perlu dipacu melalui sokongan yang bersasar, fokus dan konsisten daripada semua pihak.
Mempergiatkan usaha
Sebanyak 62 peratus guru Tahun Lima berkata mereka sentiasa bersemangat dan bermotivasi untuk hadir ke sekolah, manakala 75 peratus murid mempunyai ibu bapa yang berharap anak-anak mereka melanjutkan pelajaran hingga pendidikan tinggi.
Penemuan ini akan mendorong Kementerian Pendidikan untuk mempergiat usaha bagi memastikan lebih ramai murid cemerlang, sambil mengurangkan peratusan murid yang ketinggalan dalam kemahiran literasi asas, kata Mohd Azam.
Kementerian telah mengambil langkah ke hadapan melalui pelbagai inisiatif yang telah mula dilaksanakan dan kini sedang diperkukuh sejajar dengan penemuan kajian ini, katanya.
Antara inisiatif yang sedang dijalankan termasukb Tujuh Teras Nadi Keunggulan KPM, kurikulum prasekolah baharu yang akan bermula tahun depan, Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN), Program Intervensi Pengesanan Awal & Intervensi Tahun Satu (IPA), Program Baca Bersama, High Immersive Program (HIP) Remedial Instruction, Program Pemulihan Khas dan Pembangunan Kapasiti Guru.
Dr Mohd Azam juga berkata keputusan SEA-PLM akan digunakan untuk mengenal pasti dan berkongsi amalan terbaik dari sekolah sampel berprestasi tinggi, serta melaksanakan inisiatif strategik melalui sesi perbincangan bersama jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah.
“Secara keseluruhan, penemuan SEA-PLM 2024 memberikan gambaran jelas bahawa Malaysia bukan sahaja perlu berusaha meningkatkan skor purata, tetapi juga memastikan setiap murid, tanpa mengira jantina, lokasi atau latar belakang sosioekonomi, menerima peluang pembelajaran asas yang adil dan saksama,” katanya mengakhiri majlis pengumuman.
Kita di landasan tepat
Murid Malaysia menunjukkan prestasi yang baik dalam Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024, tetapi masih banyak usaha perlu dilakukan untuk memastikan mereka meninggalkan sekolah rendah dengan penguasaan kukuh dalam literasi dan numerasi.
Menurut keputusan SEA-PLM 2024, purata skor murid Tahun Lima Malaysia ialah 314 dalam Literasi Bacaan dan 310 dalam Matematik, manakala purata di Asia Tenggara ialah 300 bagi Literasi Bacaan dan 305 bagi Matematik.
Hampir 70 peratus murid melebihi Band 5 bagi Literasi Bacaan manakala 74 peratus melebihi Band 5 bagi Matematik.
Murid perlu mencapai sekurang-kurangnya Band 5 ke atas untuk memastikan mereka memperoleh tahap literasi asas setara dengan Sustainable Development Goals (SDG) 4, iaitu tahap penguasaan minimum mengikut standard antarabangsa.
Walaupun Malaysia menunjukkan prestasi relatif yang baik, keputusan berbanding 2019 adalah lebih rendah lima mata bagi setiap domain.
Sebanyak tujuh negara mengambil bahagian pada 2024 – Filipina, Kemboja, Lao PDR, Malaysia, Myanmar, Vietnam dan Timor Leste.
SEA-PLM menilai murid Tahun Lima dalam empat domain iaitu Literasi Bacaan, Matematik, Penulisan dan Kewarganegaraan Global.
Namun, hanya keputusan Literasi Bacaan dan Matematik diumumkan pada masa ini.
Sebanyak 4,379 murid Tahun Lima dari 158 sekolah rendah, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah Cina, sekolah Tamil, sekolah Orang Asli, sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah swasta, mengambil bahagian dalam pentaksiran ini.
“Pentaksiran dijalankan dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil, selaras dengan bahasa pengajaran,” kata Mohd Azam.
Selain itu, lebih 70 peratus murid menyatakan mereka suka bacaan dan menunjukkan minat positif dalam Matematik.
Secara keseluruhan, murid perempuan menunjukkan prestasi lebih baik berbanding murid lelaki dalam bacaan tetapi jurang antara kedua-duanya mengecil daripada sembilan mata (2019) kepada tujuh mata (2024).
Dapatan menunjukkan 20.2 peratus murid lelaki masih berada dalam Band 2 dan 3 berbanding 12.8 peratus murid perempuan dalam band tersebut, tambah beliau.
Mohd Azam berkata murid yang tinggal di kawasan bandar menunjukkan prestasi lebih baik berbanding murid di kawasan luar bandar dalam kedua-dua domain tetapi jurang pencapaian antara murid bandar dan luar bandar juga mengecil berbanding SEA-PLM 2019.


