SEBUAH pangsapuri di Selangor didakwa mengenakan bayaran sebanyak RM2 kepada individu yang keluar masuk dari residensi berkenaan.
Menerusi satu perkongsian di TikTok, kelihatan notis bayaran bersama kod QR dipaparkan di pintu masuk bangunan tersebut.
Pelawat diminta membayar RM2 ketika masuk dan RM2 lagi ketika keluar, menjadikan jumlah keseluruhan RM4.
Individu di dalam video tersebut mempersoalkan kewajaran bayaran tersebut dan menyifatkannya pengurusan pangsapuri itu memperkenalkan sistem tol.
“Macam masuk tol, RM2 masuk, RM2 keluar. Persoalannya, apa yang ada di dalam sampai pelawat perlu bayar?” katanya.
Terdapat juga sindiran sama ada bangunan tersebut mempunyai tarikan khas seperti zoo atau perpustakaan sehingga memerlukan bayaran masuk.
“Ramai yang tanya, ada zoo ke di dalam sampai kena bayar RM2 untuk masuk? Atau ada perpustakaan?
“Ada juga yang persoalkan, bayaran tu untuk apa sebenarnya? Secara peribadi, saya rasa ini tak normal," katanya.
Sementara itu, seorang netizen mendakwa dia penduduk di pangsapuri tersebut dan memaklumkan bayaran itu dikenakan kepada penghuni dan bukan pelawat.
"Saya tinggal di sini. Bukan bayaran untuk pelawat, tetapi untuk penduduk yang tidak mempunyai token.
"Pihak pengurusan cuba mengawal warga asing yang tinggal di sini seperti hostel, satu rumah lebih daripada 10 orang," katanya.


