suria

“Amanah yang perlu dilaksanakan dengan ikhlas” - Sissy Imann sedia jadi ibu tiri

Sissy Iman dan suami di majlis resepsi bertemakan Baba dan Nyonya yang berlangsung di Cyberjaya.

BUKAN sekadar memikul tanggungjawab sebagai isteri kepada Dr Zamir Hilman Dr Hamzah, penyanyi Sissy Imann turut menggalas peranan sebagai ibu tiri kepada anak-anak suaminya itu. 

Sissy berkata, selepas mengambil keputusan menamatkan zaman bujang pada 12 Disember lalu dia bersedia untuk memberikan sepenuh tumpuan dan kasih sayang kepada keluarga baharunya itu. 

“Saya melihat kehadiran anak-anak ini sebagai satu rezeki dan peluang untuk menambah pahala.

Sissy bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ibu tiri kepada anak suaminya. 

“Bagi saya, ia bukan sesuatu yang membebankan, sebaliknya satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan ikhlas. 

"Saya sudah bersedia untuk menyesuaikan diri. Setiap keluarga ada dinamik tersendiri dan saya percaya komunikasi serta rasa hormat antara satu sama lain adalah kunci keharmonian,” katanya. 

Menurut Sissy, dia bersyukur apabila hubungannya dengan anak tiri berada dalam keadaan baik dan diterima secara positif.

ARTIKEL BERKAITAN: Sissy Imann selamat bergelar isteri dengan satu lafaz, tiga cincin berlian dan nombor plat ‘SIS5795’ jadi tumpuan

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sissy Imann umum bakal nikah dengan doktor, kenal ketika jadi pesakit

Malah, Sissy juga menghormati keputusan suaminya, untuk tidak berkongsi maklumat terperinci mengenai anak-anak tersebut demi menjaga privasi dan keselamatan mereka.

“Alhamdulillah, hubungan kami baik. Anak-anak juga selesa dan menerima kehadiran saya. Bagi saya, perkara paling penting adalah membina kepercayaan dan memberi ruang supaya mereka berasa disayangi.

“Dari segi keserasian, tidak timbul rasa kekok kerana kami sudah beberapa kali bertemu sebelum ini. Anak-anak sudah biasa memanggil ayahanda dan bonda saya sebagai datuk dan nenek.

Antara rakan-rakan media yang hadir pada majlis resepsi Sissy Imann

“Saya pula mereka masih memanggil saya sebagai ‘aunty’. Tetapi apa pun, hubungan kami sebagai sebuah keluarga berjalan dengan baik,”katanya.

Pada majlis resepsi yang berlangsung pada malam Sabtu, Sissy memilih konsep tradisi Baba Nyonya, hasil suntikan idea daripada bapanya sendiri.

Pada 12 Disember lalu, Sissy selamat mendirikan rumah tangga dengan Dr Zamir Hilman di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Sissy dinikahkan sendiri oleh bapanya, Mohammad Kamil Mustaffa, disaksikan ahli keluarga terdekat serta teman rapat kedua-dua mempelai.

Artikel Lain