SIAPA yang tak pening kepala jika tangki minyak yang diisi penuh hanya mampu bertahan sekitar tiga hingga empat hari?
Tak pasal-pasal kena ikat perut sebab bajet lari gara-gara kena dahulukan tangki minyak.
Masalah ini sebenarnya bukan tentang kos semata-mata, tetapi ia juga boleh menandakan isu teknikal yang lebih serius.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Botak’ bahagian tengah sebab terlebih pam angin... Ini 6 cara kesan masalah pada tayar
Menerusi hantaran di Facebook ZAM Auto Accessories, antara punca utama mengapa kereta anda kuat makan minyak adalah berkemungkinan disebabkan beberapa sensor yang tidak berfungsi dengan baik.
1. Oxygen Sensor (Sensor oksigen)
- Sensor ini mengira baki oksigen dalam asap ekzos. Kalau rosak, campuran minyak dan angin 'lari'. Terus enjin guna minyak lebih daripada biasa. Apabila campuran tak betul, kereta pun jalan semput.
Anda disarankan untuk membuat pemeriksaan jika berlaku situasi kurang normal seperti minyak cepat habis. -Gambar hiasan
2. Mass Airflow Sensor (MAF)
- Sensor ini mengukur berapa banyak udara masuk ke dalam enjin. Kalau ia bagi bacaan salah, ECU (Unit Kawalan Elektronik) 'keliru' untuk campur jumlah minyak. Hasilnya, minyak banyak terbazir disebabkan pembakaran tak sempurna.
3. Throttle Position Sensor (TPS)
- Sensor ini memantau bukaan pedal minyak. Apabila kita tekan minyak, ia akan beri signal. Kalau rosak, ECU beri signal kita tekan kuat, padahal tidak. Situasi itu menyebabkan minyak pun ikut terbakar lebih.
4. Fuel Pressure Sensor
- Sensor ini menjaga tekanan minyak dalam sistem. Kalau tekanan 'lari', minyak masuk tidak mengikut sukatan betul. Enjin pun mula 'telan' minyak berlebihan.
5. Temperature Sensor
- Sensor ni mengukur suhu air dalam enjin. Apabila rosak, sistem beranggapan enjin belum panas, padahal sudah lama dihidupkan.
Itu antara yang menyebabkan minyak dibazirkan untuk 'panaskan enjin' yang sebenarnya sudah pun panas.
Pendek kata, walaupun kelihatan remeh namun kesemua sensor ini 'bekerja' untuk menjaga penggunaan minyak.
"Kalau semua dalam keadaan tip top, minyak pun akan jimat!" ujarnya.