suria

Pengguna laluan Gerik-Jeli beri sebab perlu elak memandu lepas waktu Maghrib... Jika jumpa gajah, perhati kedudukan telinga!

Insiden gajah 'naik minyak' boleh dielakkan jika pengguna jalan raya mematuhi arahan lalu lintas. -Gambar hiasan

BAGI pengguna Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, kemungkinan terserempak dengan gajah liar merupakan antara perkara yang tidak dapat dielakkan.

Ini memandangkan laluan yang melalui hutan simpan di sempadan negeri Perak dan Kelantan itu merupakan habitat asal haiwan tersebut.

Jika tersalah langkah, silap hari bulan boleh membuatkan haiwan berkenaan naik minyak sebagaimana insiden yang berlaku pada malam Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh gajah mengamuk! Pemandu cemas, kereta dirosakkan gara-gara bunyi hon

Hanya disebabkan tindakan kurang bijak pengguna jalan raya lain, seorang pemandu kereta Toyota Vios berdepan detik cemas apabila sekumpulan gajah liar yang sedang melintas tiba-tiba mengamuk dan merosakkan keretanya, gara-gara bunyi hon. 

Justeru, mengambil iktibar daripada insiden yang berlaku, setiap pengguna jalan raya seharusnya lebih peka ketika melalui jalan ini.

Berikut merupakan tip yang dikongsikan seorang individu dikenali sebagai Mohd Farhan Alias yang merupakan pengguna tetap laluan berkenaan, untuk dijadikan panduan bersama agar insiden serupa tidak berulang.

Gajah merupakan haiwan yang aktif pada sebelah malam, justeru pengguna jalan raya dinasihatkan untuk lebih berwaspada jika melalui laluan berkenaan pada waktu malam. -Gambar hiasan

Tip elak bertembung dengan gajah:

1. Rancang perjalanan. Anda dinasihatkan melalui jalan ini pada waktu siang kerana gajah akan mula keluar dan melintasi jalan bermula pada waktu senja sehingga subuh.

2. Ada yang mengatakan gajah keluar ketika waktu hujan dan bulan mengembang penuh. Oleh itu seelok-eloknya elakkan menggunakan laluan ini pada waktu malam.

3. Jangan celupar. Jangan pernah menyimpan niat untuk berjumpa gajah.

4. Sekiranya perasan pengguna lain memberikan amaran melalui lampu tinggi, maka perlahankan kereta anda dengan segera kerana besar kemungkinan terdapat gajah cuba melintas jalan. Berhenti pada jarak yang selamat dan cari ruang yang cukup untuk anda berpatah balik jika berlaku kecemasan.

Tip jika bertembung gajah:

1. Berhenti dan beri laluan pada gajah melintas. Tunggu dengan sabar dan jangan cuba melepasi kumpulan gajah tersebut.

2. Jika anda bertembung dengan gajah pada waktu malam, matikan lampu tinggi dan sekiranya perlu, matikan lampu besar. Hanya nyalakan lampu kabus bagi memudahkan pemandu lain melihat anda.

3. Jangan nyalakan lampu hazard pada waktu malam ketika berhenti. Cahaya yang berkelip-kelip akan menyebabkan gajah menyerang kereta anda.

4. Jangan sesekali bunyikan hon. Perbuatan tersebut menjadikan seolah-olah anda cuba 'menyerang' kumpulan haiwan berkenaan.

5. Dilarang sama sekali membaling apa-apa objek pada gajah.

6. Jangan sesekali berhenti dan tunjuk berani dengan berselfie. Gajah liar bukannya gajah yang dilatih dalam zoo.

7. Jangan tekan pedal minyak sehingga enjin berbunyi.

8. Sentiasa perhatikan tingkah laku gajah. Jika gajah berjalan laju dengan telinga capang ke arah anda, membaling objek dengan belalai dan membuat bunyi, perkara terbaik yang boleh anda lakukan adalah berpatah balik.

9. Gajah kerapkali dilihat berada di antara Tasik Banding sehingga ke Puncak Titiwangsa. Beri perhatian yang penuh ketika memandu di kawasan ini.

Artikel Lain