Nampak manja tapi jangan terkejut, si bulus ini dah tawan lebih 30 gunung di seluruh negara! - “Jibek ajar saya erti kesabaran”

Jibek setia menemani Azhan setiap kali dia melakukan aktiviti mendaki gunung. - Foto Instagram @jibekhikerscat

JIKA di luar negara membawa haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing melakukan aktiviti lasak seperti mendaki gunung barangkali adalah senario biasa.

Namun di Malaysia, jarang sekali kita mendengar ada pendaki yang membawa haiwan peliharaan mereka melakukan aktiviti lasak apatah lagi mendaki gunung, flying fox atau pun paragliding.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas Terengganu tak peduli dianggap gila, kutip 9,000 botol kaca di pesisir pantai... paling sempoi siap buka muzium!

Tetapi tidak bagi Azhan Dziaruddin yang gemar membawa kucing kesayangannya, Jibek setiap kali dia mendaki gunung sejak usia si bulus itu enam bulan dan sehingga kini Jibek sudah menakluk lebih 30 gunung di seluruh Malaysia.



Jibek sudah menawan tujuh gunung paling tinggi di Semenanjung Malaysia.

Jangan terkejut, Jibek juga sudah menawan tujuh gunung paling tinggi di Semenanjung Malaysia (G7) iaitu Gunung Chamah, Gunung Ulut Sepat, Gunung Yong Yap, Gunung Korbu, Gunung Gayong, Gunung Yong Belar dan paling tinggi Gunung Tahan iaitu setinggi 2,190 meter.

Berkesempatan bertemu sendiri dengan Jibek yang pertama kali melakukan aktiviti Flying Fox di Skytrex Sungai Congkak di Hutan Lipur Sungai Congkak, Hulu Langat, Selangor baru-baru ini pasti ramai tidak akan menyangka Jibek seekor kucing yang lasak.

Jika dilihat daripada tingkah lakunya yang manja dan sesekali cuba menyorokkan wajah dibelakang bahu tuannya membuatkan ramai yang bertemu dengannya berasa jatuh hati.

"Pertama kali Jibek berjinak-jinak dalam dunia pendakian saya bawanya panjat Gunung Nuang di Hulu Langat ketika usianya baru enam bulan.



Berehat... Jibek sudah biasa dengan suasana dalam hutan.

"Pada awalnya saya skeptikal juga bimbang kalau dia akan meragam tetapi saya memang terkejut apabila dia begitu menyukainya sehingga ia tidak mahu diletakkan di dalam beg galasnya.

"Biasanya Jibek akan bertenggek di atas bahu saya sepanjang perjalanan dan dia akan turun apabila ia mahu berjalan sendiri tapi saya akan ikat tali keselamatan di badannya," katanya kepada mStar.

Sejak daripada itu kata Azhan, Jibek adalah peneman setianya setiap kali dia keluar mendaki gunung.

Paling lama saya bawa Jibek menggembara adalah empat hari tiga malam dan Alhamdulillah setakat ini ia memang jarang buat perangai dan seronok setiap kali kami lakukan aktiviti lasak.



AZHAN DZIARUDDIN

PEMILIK JIBEK

Kucing terbuang, kisah nama 'Jibek'

Bercerita mengenai Jibek, Azhan, 39, memberitahu kucing jantannya itu adalah kacukan baka Maine Coon dan kucing kampung yang kini sudah pun berusia empat tahun.

Kata Azhan, dia sebelum ini tidak pernah membela kucing namun hatinya tiba-tiba tergerak untuk mencari haiwan peliharaan sehinggalah dia bertemu dengan Jibek yang dibuang berhampiran kediamannya.

"Ketika itu saya memang sedang mencari kucing untuk dipelihara sampai cari dalam laman web jika ada yang ingin jual. Masa saya tengah cari, saya terjumpa Jibek dan adiknya yang dibuang.

"Saya anggap itu rezeki dan tanpa berfikir panjang saya membawa mereka pulang untuk dibela namun malangnya adik Jibek meninggal dunia," katanya.



Kebiasaannya Jibek akan bertenggek di atas bahu Azhan apabila ia penat untuk berjalan.

Menariknya cerita Azhan, dia memberikan nama Jibek kerana ketika kecil haiwan itu mempunyai tabiat pelik suka menjilat beg galas kepunyaannya.

"Disebabkan tabiatnya itu dapatlah nama Jibek, singkatan daripada jilat beg," ceritanya.

Reaksi kurang senang tanda jika rasa tidak selamat

Sementara itu, Azhan memberitahu dia berasa kagum dengan kucing kesayangannya itu yang tidak menunjukkan reaksi takut setiap kali mereka mendaki gunung malah akan menunjukkan rasa teruja.

Meskipun kebanyakan masanya Jibek akan bertenggek di atas bahunya namun ia akan turun berjalan sendiri apabila melihat sesuatu yang menarik perhatiannya.



Azhan akan memberi Jibek ganjaran setiap kali ia berkelakuan baik atau berjaya melepasi sesuatu halangan ketika menggembara.

"Biasalah kucing, sifat ingin tahunya sangat tinggi sampai adakalanya dia makan rumput, malah dia juga cukup suka berenang jika kami terjumpa sungai.

"Cumanya dia takut dengan bunyi air terjun dan akan cepat-cepat masuk ke dalam beg galasnya," ceritanya.

Azhan memberitahu, setiap kali mereka akan pergi mendaki, dia akan menyiapkan semua keperluan Jibek seperti makanan, baju hujan, baju sejuk serta pakaian hariannya terutamanya apabila mereka akan bermalam di sesuatu kawasan.

"Paling lama saya bawa Jibek menggembara adalah empat hari tiga malam dan Alhamdulillah setakat ini ia memang jarang buat perangai dan seronok setiap kali kami lakukan aktiviti lasak," katanya.



Selain mendaki gunung, Jibek juga pernah melakukan aktiviti paragliding.

Antara kelebihan lain Jibek kata Azhan, kucingnya itu akan menunjukkan reaksi kurang senang apabila merasakan sesuatu kawasan dilalui mereka tidak selamat.

Azhan memberitahu Jibek boleh menghidu kehadiran haiwan liar selain perkara ghaib yang berlaku di sekeliling mereka.

"Saya memandang perkara itu sebagai positif dan membuatkan saya bersama rakan-rakan lain lebih berhati-hati agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Jibek ajar erti kesabaran

Jelas Azhan, kehadiran Jibek dalam setiap penggembaraannya banyak mengajarnya menjadi seorang yang lebih bersabar dan bukannya semata-mata mahu jadi yang pertama tiba di puncak.



Terbaharu, Azhan dan Jibek melakukan aktiviti lasak dan flying fox di Skytrex Sungai Congkak.

"Jujurnya saya bukan seorang yang penyabar tetapi adanya Jibek ia banyak mengajar saya tentang erti kesabaran kerana perlu ikut rentaknya.

"Saya tak boleh bayangkan ketiadaan dia dalam setiap kembara saya dan InsyaAllah saya akan terus membawanya sebagai teman," ujarnya.

Bulan lalu, Azhan memberitahu dia membawa Jibek melakukan aktiviti lasak paragliding di Kuala Kubu Bahru dan terkejut kucingnya itu langsung tidak menunjukkan rasa takut ketika terbang di udara.

Ditanya impian kembara bersama Jibek selepas ini, Azhan memberitahu dia ingin membawa kucingnya itu mendaki di beberapa gunung popular di Indonesia.

"Sepatutnya tahun ini kami ke sana malah pasportnya pun saya sudah buat tapi malangnya pandemik ketika ini menghalang kami menggembara ke luar negara tetapi InsyaAllah suatu hari nanti impian itu akan terlaksana," katanya yang turut membuka akaun Facebook dan Instagram untuk Jibek bagi berkongsi foto dan video aktiviti mereka berdua.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain