suria

Lapan lelaki mengaku ejen tarik kenderaan lari lintang-pukang... Cubaan rampas motosikal ditunggang wanita gagal

Cubaan sekumpulan lelaki cuba merampas motosikal seorang wanita. -Gambar media sosial

SEKUMPULAN lelaki yang mendakwa mereka sebagai pemungut hutang cuba merampas sebuah motosikal yang sudah selesai dibayar sepenuhnya daripada seorang wanita secara paksaan.

Kejadian pada Khamis itu tular selepas pengguna media sosial berkongsi kejadian kecoh yang melibatkan wanita itu.

Mangsa yang baru sahaja pulang dari kerja tiba-tiba dihampiri dua lelaki dan memintanya berhenti dengan alasan motosikal tersebut mempunyai hutang tertunggak.

Hakikatnya, motosikal berkenaan sudah dibayar sepenuhnya dan merupakan kenderaan terpakai milik keluarga mangsa.

Tidak lama kemudian datang enam individu lain yang menunggang tiga motosikal secara berpasangan dengan salah seorang cuba merampas kunci motosikal mangsa.

Mangsa bertindak pantas mempertahankan motosikal, namun dia terjatuh lalu menjerit minta pertolongan orang ramai. 

Apabila penduduk tempatan mula berkumpul dan merakam kejadian itu, suspek akhirnya melarikan diri dalam kejadian di Cengkareng, Jakarta Barat di Indonesia.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Cengkareng, AKP Parman Gultom, mengesahkan cubaan samun itu berlaku. 

Bagaimanapun, beliau berkata pihak polis masih belum dapat memastikan sama ada suspek benar-benar pemungut hutang berlesen atau sebaliknya. -Agensi

Artikel Lain