suria

“Lepas hulur, hati aku rasa rugi” - Kisah penghantar makanan beri RM10 pada budak Rohingya jentik hati ramai

Bersedekah bukan sahaja membantu meringankan beban orang lain, malah menyucikan hati dan mendidik jiwa supaya lebih bersyukur. -Gambar hiasan AI

SEKECIL mana pun nilai kita bersedekah dengan penuh keikhlasan, pasti ia mampu membuka pintu rezeki yang tidak disangka-sangka.

Hal itu dilalui sendiri seorang penghantar makanan (rider) selepas dia membantu kanak-kanak Rohingya yang memerlukan wang untuk membeli makanan berbuka puasa.

Menurutnya, kanak-kanak tersebut menghampirinya dan memaklumkan tidak mempunyai makanan untuk berbuka. 

ARTIKEL BERKAITAN: Rider baik hati kongsi rezeki minyak petrol, beria-ria nak bayar... Makcik tiba-tiba terkejut nampak tangan palsu di sebalik anduh!

ARTIKEL BERKAITAN: Bisnes makanan tak berbaloi, wanita ini pilih jadi ‘rider’ penghantaran... Teruja bakal sertai perarakan merdeka!

Tanpa berfikir panjang, dia terus menghulurkan wang sebanyak RM10.

"Lepas hulur, hati aku rasa rugi. Aku rider, order baru RM10, aku dah bagi RM10 kat dia," tulisnya dalam satu perkongsian di Threads.

Namun dia cuba menyedapkan hati dan reda dengan rezeki yang dikongsikan bersama kanak-kanak berkenaan, meskipun mengakui jumlah itu bukanlah besar.

Memberi makan kepada golongan yang berbuka puasa adalah salah satu amalan soleh yang sangat digalakkan pada bulan Ramadan. -Gambar hiasan

"Tapi aku bukan nak cerita pasal aku hulur RM10 tu. Cerita menariknya, lepas sejam dua aku bagi dan aku mula reda dengan rezeki budak tu, Allah hantar satu hamba-Nya, bagi tip dekat aku RM50.

"Masha-Allah, jangan ragu dengan rezeki Allah guys. Real!" ujarnya berkongsi pengalaman tersebut.

Tambahnya lagi, dia sekadar mahu berkongsi peringatan bahawa setiap kebaikan walaupun kecil, pasti ada ganjarannya.

"Budak tabligh selalu pesan, Allah akan balas 10 kali ganda itu pasti. Jangan ragu," ceritanya lagi.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi warga maya yang rata-ratanya bersetuju bahawa keikhlasan dan keyakinan terhadap rezeki Allah mampu menghadirkan keajaiban dalam kehidupan seharian.

  • Seorang rider memberi RM10 kepada budak Rohingya yang tiada makanan berbuka.

  • Selepas beri wang, dia rasa rugi kerana baharu mendapatkan jumlah tersebut untuk kerjanya.

  • Dia reda dan tenangkan hati dengan rezeki yang dikongsikan.

  • Beberapa jam kemudian, seorang pelanggan beri tips RM50.

  • Perkongsiannya mengenai ganjaran bersedekah mendapat pujian netizen.

"Kadang kita bagi sikit saja, tiba-tiba Allah balas banyak. Cepat atau lambat saja. Teruskan bersedekah bro.

"Rasa seronok bersedekah apabila dapat merasa ganjaran yang berlipat kali ganda macam ni. Sesungguhnya Allah maha melihat dan sangat baik.

"Punca rezeki adalah sedekah, percaya pada rezeki Allah," komen netizen.

Memetik laman web Mufti Wilayah Persekutuan, memberi makan kepada golongan yang berbuka puasa adalah salah satu amalan soleh yang sangat digalakkan pada bulan Ramadan.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, maksudnya:

"Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun." [Riwayat Al-Tirmizi (807)]

Artikel Lain