suria

Pernah pilih arkitek banding bergelar kartunis, Mie anggap ia '12 tahun penuh kesunyian'... kini bangkit buktikan kecintaan pada dunia kartun

Mie mula berjinak-jinak sebagai pelukis kartun sejak kecil dan minatnya itu telah menjadi sebahagian daripada dirinya sehingga kini.

SEJAK kecil Ahmad Hilmy Abdullah sentiasa tertarik dengan lukisan kartun malah setiap kali mempunyai waktu lapang melukis adalah aktiviti kegemarannya.

Malah ketika bersekolah asrama di Pengkalan Chepa, Kelantan minatnya semakin menebal malah sering menghasilkan karya-karya terbaharu dengan harapan ia dapat diterbitkan dalam majalah kartun tempatan.

Tetapi Ahmad Hilmy atau Mie sedar peluang itu tidak mudah kerana dia hanyalah seorang pelukis kartun amatur yang tidak mempunyai pengalaman luas untuk karyanya diterbitkan.

ARTIKEL BERKAITAN : Karya untuk memori orang lain... jurugambar Malaysia rakam kehidupan masyarakat Australia ketika isolasi

Bagaimanapun, itu tidak pernah menghalangnya mengejar impian untuk melihat hasil karyanya diterbitkan dengan memberanikan diri mengirim lukisannya ke majalah Utusan Radio & Televisyen (URTV).

Seperti sudah ditakdirkan, karyanya itu diterbitkan dan Mie mengecap kejayaan peribadi pada usianya 14 tahun ketika itu.



Mie melakar karyanya di atas kertas sepanjang tujuh meter.

"Saya masih ingat, saya beli majalah itu dan tunjuk kepada semua orang di sekolah. Saya fikir saya sudah menjadi seorang lelaki yang sangat terkenal!," katanya.

Sejak itu juga, rakan-rakan dan guru di sekolah sentiasa mendorongnya untuk menghantar karyanya kepada penerbitan tempatan.

Lat, Saadon, Kerengge pengaruh terbesar Mie!

Kini menganjak usia 59 tahun, Mie kini berada dalam kelasnya tersendiri dan berjaya menempa nama sebagai salah seorang kartunis terkenal di Malaysia.

Akui Mie, sejak kecil dia cukup gemar membaca komik tempatan seperti Gila-Gila, Bujal, Bambino dan karya klasik oleh Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat.

Selain itu, Mie memberitahu Keluarga Si Mamat (1979) adalah kegemarannya yang membuatkan dia mahu bergelar seorang kartunis.

Bapa kepada tiga cahaya mata ini juga cukup gemar dengan satira klasik terbitan Amerika, Mad & Cracked yang turut mempengaruhi karyanya.

Pada 1 April lalu, Mie dianugerahkan dengan gelaran Tokoh Kartunis oleh Rumah Kartun dan Komik Malaysia. Anugerah sama pernah diberikan kepada beberapa tokoh lain seperti Rossem (2017), Jaafar Taib (2018) dan Aza (2019).



Sehingga kini Mie telah menerbitkan tujuh buku.

Karyanya mendapat perhatian peminat kerana mengetengahkan hal penggembaraan hidup penduduk Malaysia yang cukup dekat dihati masyarakat.

Jadi tidak hairan, Mie yang juga seorang arkitek dan mempunyai firmanya sendiri kini mempunyai pengikut tersendiri.

Mie juga merupakan pengasas bersama Kelab Kartunis Malaysia dan mengakui Lat sebagai inspirasi utamanya dalam memberi keyakinan selain Saadon Ishak (Don) dan Hanafiah Ibrahim (Kerengge) dalam membentuknya sebagai seorang kartunis.

Kartun sebagai penyimpan memori

Dilahirkan di Kampung Salor, Kota Bahru, Mie mempunyai nuansa semula jadi dalam menggambarkan Malaysia yang penuh nostalgia dalam karyanya.

Selain itu katanya, tugas bapanya sebagai seorang anggota polis dan sering berpindah-randah juga memberikannya kesempatan untuk mengenali lebih banyak budaya dan warisan seperti di Perak dan Terengganu.

"Menampilkan masa lalu dalam komik adalah cara untuk memperkenalkan generasi muda kepada zaman dahulu. Terdapat buku sejarah yang ditulis mengenai perang dan penjajahan.

"Tetapi tiada buku yang menulis tentang masa kecil ibu bapa mereka... Jadi kartun adalah cara terbaik sebagai kaedah mencatat memori dan ia cara paling mudah bagi mengingati sejarah!," jelasnya.



Mie dan inspirasi terbesarnya dalam bidang lukisan kartun, Datuk Lat.

Bagaimanapun Mie mengakui beberapa kartun lukisannya yang menampilkan tradisi lama dan kehidupan kampung mungkin tidak dapat difahami oleh pembaca generasi muda.

"Seni adalah cerminan generasi saya. Beberapa perkara mungkin tidak mampu difahami oleh anak muda tetapi saya beranggapan itu adalah cara terbaik untuk menyimpan memori kehidupan.

"Seperti bagaimana orang ke pasar, cara mereka memasak atau kenduri di kampung," ujarnya.

Melalui kartun juga kata Mie, dia cuba menggambarkan sesuatu daripada memorinya seperti peralatan dapur yang sudah dilupakan sehingga permainan tradisional di kampung.

"Ada juga hidangan tradisional tertentu semakin dilupakan dan sebab itu saya rakamkan semuanya dalam bentuk lukisan dan jika saya tidak berbuat demikian, orang akhirnya akan melupakan masa lalu," katanya.

Apa Cerita? angkat kembali nama Mie selepas 12 tahun menyepi

Mie pernah menerbitkan tujuh buah buku termasuk Apa Cerita? yang diterbitkan pada 2012 selain siri Imbauan (2017) yang menjadi tumpuannya ketika ini.

Naskhah terbaharunya Imbauan 3 dilancarkan di Pesta Buku Selangor 2020 beberapa hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan kerajaan pada 18 Mac lalu.



Jenis makanan tradisional juga sering diangkat dalam lukisannya dalam mengingatkan generasi muda tentang juadah popular zaman dahulu.

Bercerita mengenai penglibatannya sebagai kartunis, Mie memberitahu ia kejadian tidak disengajakan dan semuanya bermula pada 1984 ketika dia sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Kuala Lumpur.

Setelah mencadangkan untuk mengadakan pameran kartun pada hari terbuka universiti, Mie sebaliknya diminta untuk menguruskan acara itu.

Sebagai peminat komik tempatan, dia segera berhubung dengan pihak majalah Batu Api yang bersetuju untuk mengadakan pameran tersebut.

Pada acara itulah, pemilik majalah tersebut melihat potensinya dan mempelawanya untuk melukis untuk Batu Api.

"Sejak saat itu, saya tak menoleh ke belakang. Karya-karya saya diterbitkan dua minggu sekali di Batu Api dan hasil yang saya peroleh saya gunakan untuk menampung perbelanjaan di universiti," imbaunya.

Setahun kemudian, Mie ditawar sebagai kartunis tetap di Batu Api dan dia bekerja di situ daripada tahun 1985 hingga 1988. Mie juga aktif menyumbang kartunnya kepada Minggu Perdana (1987-1988)0 dan Utusan Malaysia (1989-1992).

Bagaimanapun kata Mie, bergelar sebagai seorang kartunis mempunyai pelbagai cabaran malah pada awal penglibatannya dia berbelah bahagi sama ada ingin bergelar arkitek atau kartunis.



Imbauan projek terbaharu Mie.

Ketika tanggungjawab terhadap kerjaya dan keluarga menjadi keutamaannya, Mie mengambil keputusan berhenti melukis.

Diam tak diam, Mie menghabiskan 12 tahun memberi tumpuan kepada keluarga dan komitmen kepada kerjayanya sebagai arkitek.

Mie menyifatkan tempoh itu sebagai '12 tahun penuh kesunyian' dan atas dasar itu, Mie mula kembali melukis pada 2011 dan menggunakan medium Facebook untuk mengetengahkan karyanya dan ia mendapat maklum balas positif pengikutnya.

Pada usianya kini, Mie melihat kembali perjalanan kariernya sebagai kartunis walaupun pada hakikatnya dia mengambil masa lama namun bersyukur berjaya atas syaratnya sendiri.

"Sentiasa terokai perkara baharu, setiap hari. Paling penting, jangan sesekali menoleh ke belakang kerana kita tidak tahu ia akan membawa kita ke mana," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain