suria

Kesabaran Raymond berbalas selepas 7 tahun... temui misteri puisi purba suku kaum Rungus

Suku kaum ini yang merupakan subetnik Kadazan-Dusun mempunyai warisan kesusasteraan lisan atau puisi.

MASIH banyak budaya dan adat di negara kita yang belum diterokai antaranya suku kaum di negeri Sabah dan Sarawak.

Berikutan itu, Dr Ramond Majumah antara individu penting yang mendedahkan warisan budaya kesusasteraan lisan atau puisi bagi suku kaum Rungus di Sabah melalui hasil kajian penyelidikannya.

Suku kaum ini yang merupakan subetnik Kadazan-Dusun mempunyai warisan kesusasteraan lisan atau puisi, namun tidak banyak diketahui kerana kekurangan catatan bertulis.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah pilih arkitek banding bergelar kartunis, Mie anggap ia '12 tahun penuh kesunyian'... kini bangkit buktikan kecintaan pada dunia kartun

Pada zaman lampau, masyarakat suku kaum ini menyampaikan puisi-puisi ini, dikenali sebagai bahul dalam bahasa ibunda Rungus, untuk menyemah 'roh' jahat atau sebagai alat untuk memotivasi atau mendisiplinkan orang lain.

Seni ini, bagaimanapun, tidak lagi diamalkan oleh masyarakat berkenaan.

Menurut penyelidik kesusasteraan lisan tradisional Rungus berusia 52 tahun ini, sebahagian besar daripada puisi suku kaum itu berbentuk sekular dan lazimnya tidak berkait dengan sebarang peristiwa atau majlis tertentu.

“Puisi ini dilafazkan kerana keadaan tertentu dan perlu dilakukan," jelas Raymond atau nama Islamnya, Azlan Shafie Abdullah, berketurunan Rungus dan kini berkhidmat di pejabat pendidikan daerah Kudat sebagai jurulatih pakar pembaikan sekolah.



Raymond membuat penyelidikan terhadap kesusasteraan lisan tradisional Rungus.

Terdapat lebih 50,000 orang Rungus di Sabah. Mereka tinggal di daerah Kota Marudu, Kudat dan Pitas dan kebanyakannya beragama Kristian.

Raymond yang memiliki Ijazah Kedoktoran dalam bidang Kesusasteraan (Seni Kreatif) dari Universiti Malaysia Sabah, memberitahu Bernama, beliau mengambil masa tujuh tahun untuk menyiapkan penyelidikannya mengenai Kesusasteraan Lisan Tradisional Rungus.

Untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan, beliau mengunjungi beberapa kampung terpencil di daerah Kota Marudu dan Pitas yang terletak di bahagian hujung utara Sabah.

Beliau mengakui kesukaran menjalankan kerja penyelidikan kerana berbeza dengan puisi purba Melayu yang didokumenkan, kebanyakan puisi Rungus dizahirkan secara lisan sahaja dan diwarisi daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain.

Bagaimanapun, sewaktu kunjungannya ke kampung, beliau berjaya mendapatkan maklumat mengenai sesetengah puisi yang masih segar dalam ingatan beberapa orang warga emas.

"Menterjemahkan puisi ini ke Bahasa Melayu taklah juga mudah kerana ia dilafazkan dalam bahasa klasik Rungus. Dalam kebanyakan keadaan, orang yang saya kongsikan puisi ini tidak dapat menjelaskan maksud konseptualnya," tambahnya.

Menurut beliau, standard bahul Rungus atau pusi mengandungi empat, enam, lapan atau 10 baris yang membentuk binaan rangkap.

Penyelidikan

Penyelidikan beliau juga mendedahkan bahawa pada zaman purba, suku kaum Rungus menggunakan kesusasteraaan lisan tradisional untuk, antaranya menyemah 'roh jahat' (rogon) sewaktu sesi penyembuhan penyakit.

"Teks yang digunakan dalam majlis seperti itu merupakan bentuk pengucapan untuk berhubung dengan rogon. Ia juga melibatkan beberapa persembahan untuk memujuk “roh” agar tidak mengganggu manusia," katanya.

Beliau menambah, sekiranya rogon tidak menerima tawaran perdamaian, mereka akan mendapatkan bantuan Kinoringan atau Tuhan untuk menghukum roh jahat.

"Bagaimanapun, upacara ini jarang diamalkan pada hari ini. Jika pun ada orang melafazkan bahul pada masa ini, ia hanya untuk menunjukkan orang itu mempunyai sedikit pengetahuan tentang tradisi lisan purba ini," katanya.



Raymond mengambil masa tujuh tahun menyiapkan penyelidikannya dalam puisi purba Rungus.

Cara hidup

Puisi purba Rungus juga memberi gambaran kehidupan masyarakat serta tahap kearifan mereka dan ada kecenderungan untuk menggunakan cara yang kompleks untuk menjelaskan corak pemikiran mereka.

Selain digunakan untuk menyemah roh jahat, puisi itu juga digunakan untuk membetulkan seseorang yang berkelakuan yang tidak sewajarnya. Dalam hal ini, lafaz puisi akan berbentuk teguran secara tidak langsung atau lembut.

Beliau memberi contoh perkataan sebagai contoh bahul yang menyentuh soal kepentingan disiplin dan etika kerja.

Uva dhilho bhambangan (buah bambangan); Popiturug-turugon (putar); Ong amu umbanganan (sekiranya salah dimainkan); Abhambang korugian (akan menyebabkan kerugian besar).

Sewaktu membuat penyelidikan, beliau menemui beberapa tradisi Rungus yang jarang diketahui umum, seperti mi’irung atau makan bersama, mitangganggazung atau tanggungjawab bersama dan oo’bhingrubatan atau kesetiaan kepada kepercayaan tradisional.

Mitangganggazung juga membawa maksud dermawan, yakni membantu kawan atau penduduk sekampung yang memerlukan bantuan kewangan.

Beliau turut memberitahu Bernama, bahasa Rungus juga semakin tidak dituturkan generasi muda yang lebih memilih untuk bercakap dalam Bahasa Melayu.

"Meskipun cara bercakap bahasa Rungus mungkin sukar untuk dipelihara kerana pengaruh Bahasa Melayu, saya percaya bahasa sebagai bahasa ibunda tidak akan lenyap sepenuhnya," katanya sambil berharap lebih ramai penyelidik akan membuat kajian mendalam ke atas kebudayaan dan tradisi lisan Rungus.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Rungus, Sabah, Puisi, Bahasa, Dr Raymond