suria

“Dah besar pun menyusahkan!” - Ibu mengeluh anak masih kencing tilam, doktor sahkan tiada masalah saraf

Ramai ibu bapa akan marah bila anak mereka kencing di atas tilam. -Gambar hiasan AI

RAMAI ibu bapa menganggap anak yang masih kencing malam sebagai satu masalah disiplin, malah ada yang memarahi dan memalukan mereka.

Pegawai Perubatan Pediatrik, Dr Redza Zainol, berkata beliau menerima keluhan daripada seorang ibu yang bimbang anaknya masih kencing atas katil walaupun sudah besar.

“Pening anak saya hari-hari kencing atas katil. Dah besar panjang masih menyusahkan,” kata ibu tersebut.

Dr Redza menjelaskan bahawa pemeriksaan mendapati kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan sihat serta tidak mempunyai masalah saraf.

Jangan benarkan anak minum sebelum mereka tidur untuk elak masalah kencing tilam. -Gambar hiasan AIJangan benarkan anak minum sebelum mereka tidur untuk elak masalah kencing tilam. -Gambar hiasan AI

Menurutnya, kebanyakan kanak-kanak akan berhenti kencing malam antara usia lima hingga enam tahun.

Namun, statistik menunjukkan sekitar 6.2 peratus kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 12 tahun masih mengalami masalah tersebut.

“Keadaan ini dikenali sebagai Nocturnal Enuresis dan ia bukan salah anak,” jelasnya.

Tambah beliau, memarahi atau memalukan anak kerana kerap terkencing boleh memberi kesan negatif terhadap emosi mereka.

“Kalau selalu dimarah atau dimalukan, anak boleh jadi tertekan dan rasa rendah diri,” katanya.

Punca kanak-kanak kencing malam

- Pundi kencing kecil.

- Kekurangan hormon vasopressin ketika tidur – hormon ini berfungsi mengurangkan penghasilan air kencing pada waktu malam.

Tips untuk ibu bapa

- Pastikan anak minum air secukupnya pada waktu siang.

- Biasakan anak ke tandas empat hingga tujuh kali sehari.

- Pastikan anak kencing sebelum tidur.

- Gunakan alas tilam kalis air (waterproof mattress protector).

- Beri ganjaran seperti pelekat atau pujian jika anak tidak kencing malam.

- Hadkan pengambilan air dua jam sebelum tidur.

- Elakkan minuman berkafein seperti kopi dan minuman bergas.

Dr Redza menegaskan bahawa masalah ini lazim berlaku dan kebiasaannya akan pulih sendiri apabila kanak-kanak semakin membesar.

“Yang penting, ibu bapa perlu bersabar dan beri sokongan, bukan hukuman,” katanya.

Artikel Lain