ORANG ramai diingatkan bahawa keputusan elektrokardiogram (ECG) yang normal tidak bermakna seseorang itu bebas daripada masalah jantung, khususnya serangan jantung.Pakar Jantung, Hospital Pakar Tawakkal, Dr Zul Hilmi Yaakob, berkata beliau pernah berdepan satu kes serius melibatkan pesakit berusia dalam lingkungan 40-an yang hampir terlepas daripada rawatan segera akibat salah tafsiran simptom. “Pesakit ini dua kali pergi ke klinik biasa, buat ECG dan keputusannya normal. Dia disangka mengalami gastrik kerana sakit di bahagian ulu hati."Baru main badminton, takkan kena serangan jantung kan? Namun pukul 3 pagi, pesakit disahkan alami serangan jantung yang besar," katanya.Aktif bersukan bukan jaminan selamat daripada serangan jantung. -Gambar hiasan AIDr Zul Hilmi menjelaskan, simptom serangan jantung tidak semestinya sakit dada, sebaliknya sering hadir sebagai sakit di ulu hati, menyebabkan ramai pesakit keliru dan menyangka ia hanyalah masalah gastrik.“Ini antara perangkap paling kerap saya jumpa. ECG normal tidak bermaksud jantung itu okey."Dalam kes ini, salur darah jantung pesakit tersumbat sepenuhnya, 100 peratus,” jelasnya.Tambah beliau, keadaan seperti ini memerlukan rawatan kecemasan segera melalui prosedur angiogram dan angioplasti bagi membuka semula salur darah yang tersumbat.“Prosedur ini bukan pembedahan besar. Tak perlu belah dada, biasanya melalui tangan sahaja. Pesakit pun sedar dan boleh melihat prosesnya. "Yang penting, ia adalah rawatan yang menyelamatkan nyawa,” katanya.Sehubungan itu, Dr Zul Hilmi menasihatkan orang ramai, khususnya golongan muda, agar tidak memandang ringan simptom seperti sakit ulu hati yang berpanjangan, lebih-lebih lagi jika disertai rasa tidak selesa yang luar biasa.“Sekarang ini ramai orang muda terkena serangan jantung. Jangan anggap sebab masih aktif bersukan atau baru berusia 40-an, mustahil kena penyakit jantung,” katanya.