suria

Demi survival dan ekosistem lebih baik, Jurey Latiff cadang wujud ‘Rumah Seni’... Seru artis tampil bersuara

Jurey mencadangkan agar 'Rumah Seni' diwujudkan untuk membela nasib industri hiburan.

PRIHATIN terhadap nasib anak seni, pengarah dan penerbit Datuk Jurey Latiff Rosli mengambil inisiatif untuk mewujudkan satu medium yang dapat menjadi tempat membincangkan isu semasa yang berlaku.

Jurey menerusi cadangannya mewujudkan 'Rumah Seni' berharap ia dapat menjadi platform buat penggiat seni menyuarakan pendapat serta keluhan mereka.

Malah, secara tidak langsung ia mampu mewujudkan satu ekosistem yang lebih dinamik dalam kalangan mereka.

Antara cadangan yang dikemukakan oleh Jurey.

"Mungkin sudah tiba masanya kita memikirkan satu ruang penyatuan. Kita panggil ia 'Rumah Seni'.

"Satu ruang untuk semua penggiat seni Malaysia duduk bersama, bercakap secara jujur tentang masa depan industri ini.

"Bukan untuk berpolitik. Bukan untuk mencari siapa salah atau siapa betul, tetapi untuk membincangkan perkara paling asas, iaitu kebajikan dan survival penggiat seni di Malaysia.

"Jika kita mampu bersatu suara, kerajaan juga akan melihat bahawa industri seni bukan sekadar hiburan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penggiat seni menganggur tiada peluang kerja, Jurey Latiff minta PM campur tangan isu perolehan rancangan

ARTIKEL BERKAITAN: PTVM harap calon berwibawa terajui RTM selepas Suhaimi Sulaiman letak jawatan

Menerusi satu perkongsian yang dibuat di Facebook miliknya, Jurey juga mengajak rakan industri untuk sama-sama hadir pada sebuah acara yang tarikhnya masih belum ditetapkan.

Jurey menjelaskan inisiatif ini difikirkan selepas beliau sering kali mendengar keluhan penggiat seni serta artis veteran yang menghadapi kekangan pekerjaan dan bisnes yang semakin teruk.

"Sejak kebelakangan ini saya banyak bertemu dengan penggiat seni. Saya jumpa artis veteran dan ayat yang saya dengar hampir sama, sudah lama tiada job dan bisnes sekarang teruk, hanya bertahan.

Jurey sentiasa memikirkan masa depan penggiat seni.

"Hakikatnya semakin ramai penggiat seni bercakap tentang satu perkara yang sama, iaitu survival. Kita melihat dalam dunia politik ada usaha mewujudkan 'Rumah Bangsa', satu ruang untuk pihak yang berbeza duduk bersama berbincang demi kepentingan bangsa.

"Jika ahli politik boleh duduk bersama demi perjuangan mereka, kenapa kita dalam dunia seni masih bergerak secara berasingan?" ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain