suria

Jangan lupa 8 peralatan ini sebelum bertolak ke kampung, boleh jadi penyelamat ketika kecemasan di jalan raya

Perjalanan pulang ke kampung lebih lancar jika membuat persediaan kenderaan. -Gambar hiasan

BEBERAPA hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan seperti kebiasaan setiap tahun, ramai yang akan pulang ke kampung halaman bagi meraikan hari istimewa itu bersama keluarga tersayang.

Bagi yang merancang untuk memandu pulang, antara perkara penting perlu dilakukan ialah memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan jauh.

Selain melakukan pemeriksaan asas seperti minyak enjin, tayar dan sistem brek, pemandu juga dinasihatkan supaya menyediakan beberapa peralatan penting dalam kereta sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku situasi kecemasan di jalan raya.

Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Peralatan kecil yang disimpan dalam kenderaan ini mungkin kelihatan remeh, namun boleh menjadi penyelamat dalam keadaan tidak dijangka.

1. Alat pemadam api

Risiko kereta terbakar tetap ada terutamanya jika berlaku litar pintas atau kerosakan pada sistem enjin.

Dengan adanya alat pemadam api bersaiz kecil, pemandu boleh bertindak segera untuk mengawal kebakaran pada peringkat awal sebelum ia menjadi lebih serius.

2. Tukul cermin pelbagai fungsi

Tukul kecemasan atau emergency hammer biasanya dilengkapi dengan pemecah cermin serta pemotong tali pinggang keledar.

Peralatan ini amat berguna sekiranya berlaku kemalangan atau situasi kecemasan seperti kenderaan terperangkap atau terjatuh ke dalam air.

3. Kabel jumper

Kabel jumper digunakan untuk menghidupkan semula enjin kenderaan yang tidak boleh dihidupkan akibat bateri lemah atau habis.

Dengan bantuan kenderaan lain, kabel ini membolehkan arus elektrik dipindahkan daripada bateri yang masih baik bagi menghidupkan semula enjin.

4. Segi tiga amaran

Apabila berlaku kerosakan atau kecemasan, pemandu boleh meletakkan alat ini beberapa meter di belakang kenderaan bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain.

Langkah ini dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan terutama pada waktu malam atau ketika keadaan lalu lintas sibuk.

5. Jerry can

Jerry can atau bekas simpanan minyak tambahan juga boleh menjadi penyelamat sekiranya pemandu kehabisan bahan api di tengah perjalanan.

Bekas ini amat berguna terutama ketika melalui kawasan yang mempunyai jarak jauh antara stesen minyak.

6. Kit pertolongan cemas

Ia biasanya mengandungi peralatan asas seperti pembalut luka, kapas antiseptik, plaster dan gunting kecil yang boleh digunakan sekiranya berlaku kecederaan ringan.

Peralatan ini mungkin kelihatan ringkas, tetapi sangat membantu sebelum mendapatkan rawatan lanjut di klinik atau hospital.

7. Jek kereta dan lug wrench

Sekiranya tayar pancit di tengah perjalanan, jek kereta dan lug wrench atau kunci tayar amat diperlukan untuk menukar tayar dengan cepat.

Kebanyakan kenderaan sememangnya dilengkapi dengan peralatan ini, namun pemandu perlu memastikan ia masih berada dalam keadaan baik dan mudah digunakan.

Selain itu, pastikan juga tayar simpanan berada dalam keadaan sempurna sebelum memulakan perjalanan jauh.

8. Kamera papan pemuka

Kamera papan pemuka atau dashcam kini semakin menjadi kelengkapan penting dalam kenderaan.

Peranti ini merakam keadaan jalan raya sepanjang perjalanan dan boleh menjadi bukti penting sekiranya berlaku kemalangan atau pertikaian di jalan raya.

Selain membantu dari segi keselamatan, rakaman tersebut juga boleh digunakan untuk tujuan laporan kepada pihak berkuasa atau syarikat insurans jika diperlukan.

Walaupun tidak semua peralatan ini mungkin digunakan sepanjang perjalanan, menyediakannya sebagai langkah berjaga-jaga boleh memberi ketenangan kepada pemandu dan penumpang.

Artikel Lain