Dimarahi kerana perangai pelik anak autistik, si ibu ini hanya mampu meminta maaf dan menangis - “Terfikir juga mungkin saya silap makan, cakap ketika mengandung” - Famili | mStar

Dimarahi kerana perangai pelik anak autistik, si ibu ini hanya mampu meminta maaf dan menangis - “Terfikir juga mungkin saya silap makan, cakap ketika mengandung”

Zahidah bersama anak keduanya, Amirul Faiz Kamal Azwan yang didiagnos menghidap autisme.

TUGAS sebagai ibu bapa dalam membesarkan anak-anak bukanlah satu tanggungjawab yang mudah.

Apatah lagi sekiranya pasangan itu dikurniakan anak istimewa, maka tugas yang dipikul di bahu seolah-olah berat berkali ganda.

Begitulah kisah seorang ibu, Zahidah Ismail, yang berdepan cabaran dalam membesarkan seorang anak autistik.

ARTIKEL BERKAITAN: Diejek konon kahwin Orang Asli kena tinggal dalam hutan, panjat pokok petai... wanita ini tambat hati mentua dengan daun pijat 

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sempurna namun berbakat, 30 lukisan dari jiwa golongan istimewa buat khalayak terpegun 

Berkongsi cerita dengan mStar, Zahidah berkata anak keduanya, Amirul Faiz Kamal Azwan didiagnos menghidap autisme pada usia 10 tahun.

“Sebenarnya sebagai ibu, saya dapat rasakan kelainan pada Amirul ketika usianya setahun lagi, dia tiada ‘eye-contact’. Kemudian, dia cepat sangat demam. Saya dan suami bawa dia berjumpa dengan doktor sebelum kami diminta membawa Amirul untuk didiagnos.

“Sejak dia menunjukkan ‘kelainan’, banyak diagnos yang dibuat dan pada usia tiga tahun, dia didiagnos menghidap disleksia. Namun pada usia 10 tahun, diagnos itu lebih menjurus kepada autistik,” ceritanya.

Bercerita lebih lanjut, Zahidah mendedahkan dia pada mulanya agak ‘denial’ dan menyalahkan diri sendiri kerana sukar menerima hakikat bahawa anak keduanya merupakan kanak-kanak istimewa.

Amirul yang didiagnos sebagai autistik mempunyai hobi gemar melukis. 

“Bila tahu keputusan diagnos, rasa macam tak mahu beranak lagi sebab nak tumpukan kepada Amirul. Kadang-kadang ada juga mempersoalkan kenapa Allah bagi saya ujian ini.

“Saya juga terfikir, adakah anak saya jadi macam ini sebab saya silap makan atau silap cakap semasa mengandung. Tapi suami sedarkan saya, mengatakan ini rahmat dari Allah, itu yang buat saya sedar. Sejak itu, kami mula sertai kumpulan ibu bapa yang berdepan situasi sama,” ujar wanita berusia 53 tahun ini.

Cabaran

Tidak berselindung, Zahidah meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang masih mempunyai tanggapan negatif terhadap golongan anak istimewa ini.

Ibu kepada lima cahaya mata ini mengakui, cabaran terbesar adalah untuk berdepan dengan sikap masyarakat yang masih lagi ‘jahil’ (ignorance) mengenai anak istimewa.

“Orang kita kalau lihat anak tu pelik sikit, maka dengan sewenangnya buat ‘judgement’. Sebab dalam kepala mereka dah ada mindset bahawa anak yang lambat bercakap atau pelik ni terencat dan sebagainya.

“Pernah masa kami singgah sembahyang di surau, Amirul ni hyperaktif, dia berlari-lari dan melintas orang sedang solat. Ada seorang hamba Allah ni, dia marah saya kata tak reti ajar anak. Marah pulak depan orang.

“Saya hanya mampu minta maaf. Bila masuk kereta, menangis teresak-esak. Ayah dia yang tenangkan. Itu antara peristiwa yang tak dapat dilupakan. Susah apabila orang tak faham, orang marah dia dan marah kita sekali,” katanya.

Masa Amirul masih kanak-kanak, dia selalu ‘bermain’ dengan kawan imaginasi dia bernama Mimi. Nak tidur pun bercakap dengan Mimi. Siap bersembang-sembang, bertumbuk-tumbuk. Mula-mula tu takut juga. Kami pergi Darul Syifa, dan seorang ustaz di sana ajarkan doa dan minta kami ajak dia selalu bersolat

ZAHIDAH ISMAIL

Menceritakan lebih lanjut, Zahidah berkata selain persepsi daripada masyarakat luar, dia juga berdepan dengan cabaran tertentu dalam membesarkan Amirul ketika anaknya itu masih kecil.

“Masa Amirul masih kanak-kanak, dia selalu ‘bermain’ dengan kawan imaginasi dia bernama Mimi. Nak tidur pun bercakap dengan Mimi. Siap bersembang-sembang, bertumbuk-tumbuk. Mula-mula tu takut juga. Kami pergi Darul Syifa, dan seorang ustaz di sana ajarkan doa dan minta kami ajak dia selalu bersolat.

“Alhamdulillah walau dia tak boleh baca surah, kami dapat lihat perubahan. Setahun juga berubat dengan Darul Syifa, dia dah ada ‘eye contact’,” ujar Zahidah.

Berdikari

Kini, menginjak usia 27 tahun, Zahidah berkata Amirul menunjukkan perkembangan yang amat baik dan sangat membanggakan.

Menurutnya, Amirul sudah pandai berdiri di atas kaki sendiri hasil usaha mereka sekeluarga yang tidak jemu membantu, sama ada dari segi pendidikan mahupun kemahiran asas.

Antara lukisan hasil karya Amirul.

“Kami pernah hantar ke sekolah biasa yang ada kelas khas, tapi mungkin di sekolah itu tiada kepakaran khusus untuk anak istimewa. Kemudian kami hantar ke Pusat Disleksia Malaysia dan Pertubuhan Kelainan Upaya Pembelajaran (GOLD), dari situ banyak yang dia improve sehingga mampu berdikari.

“Dia naik bas dan tren ke tempat kerja di GOLD. Dia juga pandai rancang perbelanjaan, sangat teliti pasal solat. Hobi dia suka kumpul Gundam dan melukis kartun animasi. Kalau duduk rumah, dia duduk di bilik bacaan sehari suntuk. Dia juga boleh masak hidangan ringkas,” ujarnya.

Sikap terbukaTambah Zahidah lagi, beliau amat berharap agar masyarakat bersikap lebih terbuka dan tidak lagi berfikiran sempit terhadap anak istimewa.

Dengan kemudahan yang kini boleh diakses di hujung jari sahaja, Zahidah berkata, komuniti sepatutnya lebih peka dan sensitif mengenai perkara ini.

“Dulu mungkin mereka tak faham, tapi sekarang, komuniti patut lebih terbuka. Maaf cakap, tahap pemikiran dan penerimaan dalam kalangan orang Melayu sangat rendah jika dibandingkan dengan bangsa lain,” akhirinya.  

autistik , gundam , GOLD

Artikel Berkaitan

Artikel Lain