suria

Awas! Jangan pandang ringan tanda pneumonia

Bawalah anak anda berjumpa doktor segera jika demam melebihi 38 darjah Celsius.

PENYAKIT pneumonia dijangka boleh menyebabkan kematian kira-kira 11 juta kanak-kanak berusia bawah lima tahun menjelang hujung dekad akan datang.

Perkara itu didedahkan dalam satu kajian yang dilakukan Universiti John Hopkins dan kumpulan bantuan Save the Children berdasarkan trend masa kini.

Lebih 880,000 kanak-kanak terutama yang berusia bawah dua tahun meninggal dunia akibat penyakit itu pada 2016.

Apa itu pneumonia? Pneumonia adalah jangkitan kuman pada tisu paru-paru yang mudah menjangkiti kanak-kanak dan juga warga emas.

Pneumonia biasanya disebabkan jangkitan kuman bakteria dan virus, tetapi kadang-kadang boleh disebabkan kulat atau parasit.

Ramai ibu bapa menyangka ia penyakit biasa seperti batuk dan selesema yang boleh dirawat dengan ubat batuk dan paracetamol yang dibeli di farmasi sehinggalah keadaan bertambah buruk.

Kanak-kanak menghidap pneumonia selalunya dikesan pada tahap yang sudah parah.

Dr Aminah Bee Mohd Kassim. Foto The Star

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Aminah Bee Mohd Kassim, kanak-kanak bawah umur lima tahun senang dijangkiti pneumonia kerana sistem imunisasi mereka belum cukup kuat.

"Tanda pneumonia yang mungkin nampak serius dan tidak patut dipandang remeh ibu bapa apabila anak mereka mengalami demam tinggi, batuk berkahak dan sukar bernafas.

"Apabila dijangkiti, tidur mereka biasanya terganggu dan tanda bertambah teruk apabila mereka langsung tidak aktif dan kurang bermaya, malah ada yang alami hilang selera makan," katanya kepada mStar Online ketika ditemui baru-baru ini.

Dr Aminah Bee juga mengakui kanak-kanak yang dihantar di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) lebih mudah terdedah kepada penyakit tersebut.

"Golongan ini lebih berisiko kerana pneumonia merebak melalui titisan bawaan udara yang dihembuskan orang yang dijangkiti apabila mereka batuk atau bersin," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, pneumonia boleh dicegah dengan pemberian susu ibu kepada bayi selama enam bulan pertama selepas kelahiran, suntikan vaksin pneumokokal seawal dua bulan dan juga penjagaan kebersihan diri.

"Nak elak jangkitan ini berilah anak anda susu ibu. Ini kerana antibodi dalam ibu keluar melalui susu kepada bayi. Tapi kalau kita nak aktifkan antibodi bayi, kita kena bagi imunisasi kerana ia akan bina antibodi sendiri untuk mencegah sesuatu penyakit.

"Selain itu ibu bapa digalakkan membawa bayi mereka ke klinik atau hospital swasta untuk diberikan vaksin pneumokokal bagi mencegah pneumonia. Namun mereka perlu membayar sendiri vaksin itu kerana ia tidak tersenarai di bawah Program Imunisasi Kebangsaan," katanya.

Vaksin pneumokokal boleh mengurangkan risiko pneumonia. 

Dalam pada itu, Dr Aminah Bee berkata pneumonia tidak hanya menyerang kanak-kanak tetapi golongan dewasa terutamanya warga emas berpotensi dijangkit penyakit yang boleh membawa maut ini.

"Warga emas berusia 60 tahun ke atas mudah diserang pneumonia kerana kebanyakan mereka mempunyai masalah berkaitan paru-paru ditambah pula dengan beberapa penyakit lain seperti diabetes dan buah pinggang.

"Antibodi mereka tak boleh lawan kuman, jadi risiko untuk dijangkiti itu lebih tinggi. Jadi kita juga galakkan golongan ini untuk ambil vaksin. Pergilah segera berjumpa doktor jika terdapat simptom seperti demam tinggi yang melebihi 38 darjah Celsius, sukar bernafas dan hilang selera makan," katanya.

Tanda-tanda pneumonia:

1. Kesukaran bernafas atau bernafas dengan laju.

2. Demam panas melebihi 38 darjah Celsius

3. Batuk dengan atau tanpa kahak.

4. Sakit dada.

5. Hilang selera makan (untuk kanak-kanak) dan menolak susu (untuk bayi).

6. Muntah atau cirit-birit.

7. Rasa tidak sihat, sering merengek.

pneumonia, Dr Aminah Bee

Artikel Lain