Ejakulasi luar faraj belum tentu dapat cegah kehamilan - Dr Harlina - Famili | mStar

Ejakulasi luar faraj belum tentu dapat cegah kehamilan - Dr Harlina

Ketahui teknik perancangan kehamilan yang betul dan bukannya mendengar cakap-cakap orang. Gambar hiasan.

TIDAK dinafikan anak pelengkap kepada keluarga dalam sesebuah perkahwinan. Bagaimanapun, sesetengah pasangan muda khususnya yang baharu berkahwin berasakan memiliki anak dalam keadaan kos sara hidup yang semakin menekan bukan suatu keputusan yang bijak.

Maka, perancangan kehamilan serta teknik yang betul dalam mengawal kehamilan harus diambil kira!

Meskipun pelbagai cara boleh dilakukan untuk mencegah kehamilan, namun teknik ejakulasi luar faraj ini antara yang sering diamalkan sehingga kini.

Teknik ini dipilih kononnya kerana caranya lebih semula jadi, selamat, mudah dan tiada kesan sampingan.

Professor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj.

Bagaimanapun, adakah ia teknik terbaik dan benar-benar berkesan?

Menurut Pakar Sakit Puan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Harlina Halizah Siraj, kaedah ejakulasi luar faraj ini bukan kaedah terbaik untuk mencegah kehamilan ketika melakukan hubungan kelamin.

"Kaedah ini ada banyak gelaran dan biasanya 'diajar' rakan-rakan di pejabat.

Ini kerana air mazi atau precum yang keluar sebelum klimaks berkemungkinan mengandungi air mani yang tinggal dalam salur kencing daripada ejakulasi sebelumnya.

PROF. DATUK DR. HARLINA HALIZAH SIRAJ

Pakar Sakit Puan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, HUKM

"Penting untuk anda tahu pasangan yang mengamalkan kaedah ejakulasi luar rahim ini masih berpotensi untuk hamil, cuma jumlahnya lebih rendah.

"Ini kerana air mazi atau precum yang keluar sebelum klimaks berkemungkinan mengandungi air mani yang tinggal dalam salur kencing daripada ejakulasi sebelumnya," katanya ketika ditemui mStar Online.

Oleh kerana itu, pengetahuan mengenai kesihatan seksual dan reproduktif terutama bagi pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga adalah sangat penting.

Kurangnya pendidikan seksual dalam golongan milenia.

Bercakap mengenai cara terbaik mencegah kehamilan misalnya masih ramai wanita yang tidak cakna mengenai perihal itu.

Mengamalkan petua dan kaedah tradisional seperti pengambilan jamu dan kaedah beritma masih diamalkan sehingga kini.

Menurutnya, meskipun pelbagai kaedah disediakan bagi mengawal kehamilan, sesetengah wanita tidak memilih untuk mengambil sebarang ubat mahupun peralatan perancang kehamilan.

"Wanita masa kini tidak terdedah dengan metod yang ada ditawarkan di hospital-hospital. Sesetengahnya ada yang lebih percayakan ubatan tradisional seperti jamu yang didakwa boleh merawat pelbagai penyakit dalam satu capsule.

"Mereka juga tidak gemar mengambil sebarang peralatan mencegah kehamilan kerana berpendapat setiap daripada kaedah itu mempunyai kesan sampingan dan sebagainya," jelasnya.

Pengambilan jamu untuk mencegah kehamilan masih dipraktikkan sehingga kini.

Dr Harlina berkata, dalam zaman moden kini pelbagai kaedah yang lebih selamat ada ditawarkan pakar kesihatan.

Antaranya kaedah yang boleh digunakan adalah penggunaan pil perancang, suntikan, IUD atau implan.

Menurutnya meskipun setiap metod itu mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri, ia dapat diatasi dengan mengikut nasihat yang diberi daripada pakar.

"Tak dinafikan setiap kaedah pasti akan ada kelebihan dan kekurangan tersendiri.

"Tapi anda tidak perlu bimbang kerana perkara-perkara itu boleh diatasi dengan mengikut nasihat serta panduan yang diberikan doktor.

IUD salah satu kaedah rawatan yang disarankan untuk mencegah kehamilan.

"Untuk mengetahui teknik lain yang lebih berkesan adalah dengan mendapatkan nasihat doktor bukannya mendapatkan 'nasihat' dari kawan pejabat," selorohnya.

Maka, sekarang anda sedia maklum, menganai teknik ‘buang luar’ sebenarnya bukan cara terbaik mencegah kehamilan.

rancang kehamilan

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel