suria

Salam keruk sampul kosong antara 7 sikap buruk tetamu majlis kahwin

Biasanya tetamu majlis kahwin akan menghulurkan wang yang dimasukkan ke dalam sampul dan jumlahnya bergantung kepada keiklhasan hati.

PERKAHWINAN merupakan satu detik bersejarah buat pasangan mempelai yang sudah bersedia untuk menempuh alam rumah tangga.

Biasanya selepas akad nikah, majlis resepsi diadakan untuk meraikan tetamu sebagai memenuhi tuntutan agama agar sesebuah perkahwinan itu dihebahkan.

Ia bertujuan untuk mengelak daripada berlakunya fitnah dan hendaklah diadakan secara besederhana tanpa pembaziran.

Namun, tak sedapnya ialah sikap buruk tetamu yang hadir dalam sesebuah majlis perkahwinan.

Di bawah ini disenaraikan antara sikap yang mungkin anda sedari. Adakah anda tergolong dalam kumpulan ini?

1. Salam keruk sampul kosong

Datang ke majlis kahwin dan melantak berpinggan-pinggan akhirnya hulur sampul kosong. Perkara ini sering berlaku melainkan bagi perkahwinan VIP atau orang kenamaan yang tidak memerlukan ‘salam keruk’ iaitu menghulurkan sampul berisi wang.

Bagi bakal raja sehari, anda jangan terkejut semasa sesi membuka hadiah dan ’angpau’, jika anda menerima banyak sampul kosong.

Tetamu majlis kahwin haruslah faham akan adab yang perlu diberi perhatian jika memenuhi undangan perkahwinan. Gambar hiasan.

2. Anak-beranak penuh meja

Untuk majlis yang tidak memerlukan tetamu membuat tempahan atau RSVP, sesetengah keluarga akan membawa anak beranak, datuk-nenek mereka ke majlis berkenaan. Bayangkan untuk satu meja yang muat 10 orang, ia penuh dengan ahli keluarga itu sahaja. Lebih buruk perangai, mereka terus duduk di kerusi dan meja yang sama tanpa mahu memberi ruang kepada orang lain yang sedang berdiri mencari tempat duduk untuk menikmati makanan.

3. Mengata pengantin

Sikap ini dah macam kebiasaaan. Ketika pengantin di atas pelamin, tetamu mula menjadi juri awam. Biasanya pasangan pengantin akan menjadi buah mulut jika personaliti atau fizikal kurang menarik. Selalunya yang menjadi mangsa ialah pengantin perempuan.

Bukan sahaja fizikal malah hiasan pelamin, pakaian dan juga solekan juga turut dikomen.

4. Merungut tentang makanan

Makanan yang dihidangkan kepada tetamu antara perkara penting. Bilangan lauk-pauk juga diambil kira oleh tetamu. Lebih menyedihkan kalau makanan majlis kenduri kurang enak dan tidak banyak pilihan, maka akan riuh sekampunglah orang bercakap. Ditakdirkan ada tetamu yang mengalami sakit perut selepas majlis itu, hmmmm… setahunlah orang akan bercakap buruk tentang pengantin.

Perkahwinan ialah satu majlis yang amat bernilai buat pasangan pengantin. Gambar hiasan.

5. Bawa balik makanan

Kalau zaman dulu-dulu, tetamu majlis kahwin akan bawa mangkuk tingkat. Dalam mangkuk itu mereka akan memasukkan barang-barang keperluan seperti gula, beras dan sebagainya untuk tuan rumah. Sebagai ganti, pihak tuan rumah akan menyediakan lauk kenduri kahwin dalam mangkuk tingkat itu. Amalan pertukaran barang sedemikian sudah tidak lagi diamalkan tetapi yang sering dilakukan apabila tetamu meminta dibungkuskan lauk-pauk dan nasi kenduri kahwin untuk dibawa pulang.

6. Nak rasa lauk makan beradab

Selalunya lauk-pauk di meja pengantin untuk makan beradab agak istimewa. Kebiasaan ada ayam golek, udang panjat, ikan siakap tiga rasa, pemanis mulut dan beberapa makanan lain. Ia tidak sama dengan hidangan untuk tetamu lain. Pengantin dan ahli keluarga yang duduk di meja makan beradab biasanya tidak makan banyak. Jadi, ada tetamu yang tak tahu malu mahu meminta makanan itu untuk menikmatinya.

Ayam golek antara masakan yang sering menjadi kemestian untuk dihidangkan di meja makan beradab bagi perkahiwinan Melayu.

7. Minta lebih goodies atau buah tangan

Selain bunga telur, pihak keluarga pengantin akan meyediakan buah tangan buat tetamu sebagai kenang-kenangan kerana menghadiri majlis perkahwinan yang diadakan. Ada juga tetamu meminta lebih daripada satu barangan yang diberikan. Kalau yang hadir itu membawa lima orang anak, bayangkan dah berapa banyak buah tangan tuan rumah terpaksa berikan untuk sebuah keluarga itu?

Apa-apa pun, sebagai tetamu yang menghadiri sesebuah majlis kahwin, sikap hormat kepada tuan rumah adalah perkara yang paling mustahak kerana bukan mudah menguruskan majlis perkahwinan kerana ia melibatkan kos yang tinggi.

Jadi, jika anda melihat apa juga kelemahan ketika menghadiri majlis perkahwinan, tidak perlu memberikan banyak komen sebaliknya jadikan majis itu sebagai tempat mengeratkan silaturahim.

kahwin, majlis kahwin

Artikel Lain