suria

6 tip elak gangguan seksual di tempat kerja, muat turun aplikasi lapor kes tanpa dedah identiti

Seorang peserta melawat pameran Forum Gangguan Seksual di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diadakan baru-baru ini. -foto Bernama

APABILA bercakap tentang gangguan seksual, tidak ramai yang berani tampil untuk melaporkan kejadian yang menimpa diri mereka kerana takut dengan tanggapan negatif masyarakat.

Lebih buruk lagi jika ia berlaku di tempat kerja kerana mangsa berada dalam dilema sama ada mahu mengunci mulut atau mendapatkan pembelaan kerana bimbang akan kehilangan tempat mencari rezeki.

Tetapi, bagaimana jika kami beritahu anda sebenarnya boleh membuat laporan tanpa dikenali oleh sesiapa, sekali gus dapat membantu orang lain agar berwaspada.

Paparan skrin peta dunia yang menunjukkan bilangan kes dilaporkan ke aplikasi Safecity setakat ini. - Laman web Safecity

Menurut Presiden Gabungan Sisterhood, Radziah Radzi, orang ramai boleh menggunakan aplikasi Safecity yang diasaskan di India untuk melaporkan tentang pengalaman peribadi mereka dan namanya dirahsiakan.

Aplikasi Safecity membolehkan orang ramai untuk berkongsi maklumat (crowdsourcing) dan menandakan kawasan kejadian serangan seksual itu berlaku.

Perkongsian maklumat ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam dan menjaga keselamatan orang awam.

Radziah merupakan Presiden Gabungan Sisterhood Malaysia.

"Orang ramai akan lebih sedar tentang tahap keselamatan kawasan tersebut.

"Contohnya, tahun lepas saya perlu ke India dan dapat tengok 'titik panas' sesebuah kawasan agar saya lebih berhati-hati," ujarnya.

Radziah turut berkongsi tip untuk menangani serangan seksual di tempat kerja:

1. Beri amaran

Beri amaran kepada pelaku bahawa perbuatannya merupakan satu bentuk gangguan seksual. Amaran boleh dilakukan melalui penyampaian lisan, surat, emel atau ajak seorang teman untuk berdepan dengan pelaku sekiranya anda memerlukan sokongan.

2. Jangan pendam

Jangan simpan masalah seorang diri, tetapi maklumkan kepada rakan, keluarga atau induvidu yang anda percayai.

3. Sokongan emosi

Dapatkan sokongan emosi dan berbincang dengan pakar kaunseling daripada jabatan sumber manusia.

Antara kategori serangan seksual. - Laman web Safecity

4. Ubah cara kerja

Ambil perhatian tentang bagaimana serangan seksual yang dialami boleh menjejaskan diri anda dan kemudian ubah cara kerja untuk mengelakkan diri daripada gangguan pelaku.

5. Dokumentasi

Simpan segala kes gangguan seksual yang dialami supaya ia boleh dilaporkan.

6. Buat laporan

Laporkan insiden tersebut kepada penyelia atau pengurus sumber manusia melalui mekanisme dalaman.

Sekiranya tiada tindakan diambil, kemukakan aduan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau pihak polis.

Safecity, gangguan seksual

Artikel Lain