suria

Jamal Abdillah akui silap diri gagal dalam 3 perkahwinan, kini bahagia dengan Izzati

Jamal Abdillah dan isteri, Zai Izzati Khiruddin berkahwin pada 1 April 2017. Foto NORAFIFI EHSAN

TIGA kali gagal dalam perkahwinan tidak pernah membuatkan penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah menutup hatinya untuk kembali berumah tangga dan mengecapi kebahagiaan.

Pada usianya 58 tahun, hero filem 'Azura' ini kembali memegang status sebagai suami apabila berkahwin dengan wanita pilihannya, Datin Zai Izzati Khiruddin pada 1 April 2017.

Jarak usia 35 tahun tidak menjadi penghalang buat Jamal dan Izzati menyulam cinta, namun kata penyanyi lagu Seniman Menangis ini pada awalnya perkahwinan mereka bukan mudah.

Jelas Jamal, usianya yang lebih tua daripada isteri membuatkan dia sedikit sebanyak berasa janggal kerana sedar cara 'old school' mungkin tidak lagi sesuai dalam memikat hati Izzati.

"Pada awalnya saya akui memang sukar sebab jarak usia kami yang agak besar sehinggakan ada rasa janggal untuk enam bulan pertama kami berkahwin.

Jamal memberitahu pada awalnya berasa kekok berkahwin dengan wanita jauh lebih muda daripadanya.

"Tetapi apabila difikirkan kembali usia itu hanya angka. Paling penting bagaimana kami sebagai suami-isteri menjayakan masjid yang dibina.

"Alhamdulillah lama-kelamaan rasa janggal itu hilang dengan sendiri kerana daripada tiga kegagalan perkahwinan sebelum ini banyak mengajar saya untuk lebih bijak mengemudi rumah tangga kami.

"Apa paling penting, kita saling menghormati tidak kira isteri kita itu masih muda atau sebaliknya," kata beliau kepada mStar Online.

Jamal pernah berkahwin dengan Basirah Abdul Latiff pada 1988 namun mereka bercerai pada 1996.

Penat menghiburkan hati orang tetapi hati saya sendiri sering berasa sunyi dan sepi.

Datuk Jamal Abdillah

Penyanyi

Penyanyi lagu Kekasih Awal dan Akhir ini kemudiannya bertemu jodoh dengan Noraina Mohd Yusof pada 2001 dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Osama Yamani yang kini berusia 18 tahun.

Selepas bercerai dengan Noraina, Jamal kemudiannya berkahwin pula dengan Fatimatuzahrah Samad pada 2006 namun bercerai pada 2009.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Zaki Yamani, 12 tahun.

Hiburkan hati orang, hati sendiri kosong

Bercakap lanjut mengenai isterinya, Jamal berkata, Izzati adalah seorang isteri yang memahami dirinya selain menyifatkan kehadiran wanita itu memberi ketenangan kepadanya sejak sekian lama menduda.

Jamal menyifatkan kehadiran Izzati dalam hidupnya sebagai anugerah daripada Allah.

Kata Jamal, isterinya itu seorang yang matang dalam pelbagai segi walaupun baru berusia 25 tahun, selain keperibadiannya yang lembut membuatkan dia tertarik hati.

"Kalau dulu tengok dinding saja setiap malam... Penat menghiburkan hati orang tetapi hati saya sendiri sering berasa sunyi dan sepi. Ada isteri ni kehidupan saya lebih tenang dan ada teman bicara untuk berkongsi cerita dan masalah.

"Alhamdulillah, Izzati pandai menguruskan rumah tangga, menjaga keperluan saya dan paling penting dia seorang yang matang dan memahami kerjaya saya sebagai penyanyi... Dia anugerah Allah buat saya," ujarnya.

Kegagalan rumah tangga salah sendiri...

Menempuh tiga kegagalan perkahwinan sebelum ini, Jamal memberitahu dia tidak pernah menyalahkan sesiapa sebaliknya meletakkan kesalahan itu dibahunya sendiri.

Jamal memberitahu kegagalan tiga perkahwinannya sebelum ini adalah kesalahannya.

Kata Jamal, sebagai lelaki dia tidak malu untuk mengakui tentang kekesalan kerana tidak dapat mempertahankan rumah tangganya, selain memberi kehidupan normal kepada anak-anaknya.

Pun begitu kata Jamal, pengalaman itu menjadikan dia seorang lelaki dan suami lebih baik untuk Izzati selain lebih menghargai orang di sekelilingnya.

"Setiap manusia itu mengharapkan kebahagian dalam hidup termasuk diri saya tetapi malangnya itu tidak berlaku kepada saya sebelum ini.

"Saya tak pernah salahkan sesiapa tetapi diri saya sendiri yang gagal mengemudi perkahwinan saya dengan baik namun saya lihat ia sebagai satu pengalaman dan pengajaran buat diri saya.

"Apa-apa pun fokus saya kini adalah terhadap kehidupan sekarang, membahagiakan isteri dan dua anak saya," katanya.

Jamal Abdillah

Artikel Lain