Pembedahan bariatrik bukan sahaja atasi obesiti, mampu kawal diabetis dan darah tinggi - Famili | mStar

Pembedahan bariatrik bukan sahaja atasi obesiti, mampu kawal diabetis dan darah tinggi

Penyanyi Aishah kini kelihatan lebih langsing selepas melakukan pembedahan bariatrik. Foto Instagram @dr.mustafamt

MASALAH obesiti dalam kalangan masyarakat Malaysia semakin meruncing kerana tabiat pemakanan dan gaya hidup yang tidak sempurna.

Berdasarkan laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, kira-kira 5.6 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas di negara ini mempunyai masalah berat badan berlebihan.

Lebih membimbangkan, dianggarkan 3.3 juta individu juga disahkan mengalami masalah obesiti dan hal ini berkait rapat dengan faktor pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.

ARTIKEL BERKAITAN: Obesiti, gastrik dan gangguan tidur punca Rahim Sepahtu lakukan pembedahan

ARTIKEL BERKAITAN: Kaki Dah Tak Mampu Tampung Berat Aishah

Obesiti turut menjadi penyumbang utama kepada masalah perubatan lain seperti diabetes, hipertensi, hyperkolesterol, gangguan tidur dikenali sebagai obstructive sleep apnea (OSA) dan lain-lain.

Sebanyak 80 peratus bahagian perut pelawak Rahim Sepahtu dibuang selepas melakukan pembedahan Sleeve Gastrectomy.

Pun begitu, semenjak kebelakangan ini, pembedahan dikenali sebagai bariatrik semakin menjadi pilihan dalam kalangan pesakit obesiti yang dilihat sebagai salah satu kaedah penurunan berat badan terbaik malah berkesan.

Menurut Pakar Bedah Bariatrik di iHeal Medical Centre dan KPJ Ampang Puteri, Dr. Mustafa Mohamed Taher, pembedahan itu sebenarnya bukan semata-mata untuk mengurangkan berat badan sebaliknya dilakukan bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan dalam jangka masa panjang.

Tiga jenis pembedahan bariatrik

Secara asasnya kata Dr. Mustafa, pembedahan bariatrik terbahagi kepada tiga iaitu Sleeve Gastrectomy, Gastric Bypass dan Adjustable gastric band atau Band Gastrik boleh laras.

"Ketiga-tiga pembedahan ini secara asasnya mengurangkan saiz perut yang akan mengehadkan penyerapan dan pencernaan makanan ekoran pengambilan makanan dalam kuantiti terhad selepas pembedahan.

"Rahim (Sepahtu) sebagai contoh, saya melakukan pembedahan Sleeve Gastrectomy ke atasnya yang mana prosedur itu melibatkan pembuangan 70 ke 80 peratus perut.

Dr. Mustafa bersama salah seorang pesakitnya, Wan Hatinie Wan Pa yang berjaya mengurangkan berat badannya sehingga 78 kilogram.

"Ia bersesuaian dengannya kerana beberapa faktor kesihatan dialaminya selain Rahim juga mengalami masalah OSA yang agak teruk sejak dua tahun lalu," jelasnya.

Manakala penyanyi Aishah dan pelawak Vicha turut melalui prosedur Gastric Bypass di mana perut tidak dibuang memandangkan kedua-dua mereka mengalami masalah gastrik yang teruk.

Kebiasaannya sebelum pembedahan pesakit perlu menjalani ujian kesihatan termasuk memeriksa setiap organ dalam badan seperti paru-paru, jantung menerusi kaedah ultra bunyi.

Dr. Mustafa Mohamed Taher

Pakar Bedah Bariatrik

"Makanan yang memasuki bahagian perut akan memintas bahagian pertama dan tengah usus kecil ke bahagian akhir usus kecil yang akan melambatkan penernaan dan penyerapan makanan," ujarnya.

Bariatrik untuk pesakit diabetes

Dr. Mustafa memberitahu kebanyakan pesakitnya bukan sahaja mengalami masalah obesiti sebaliknya penghidap diabetes dan darah tinggi tidak terkawal.

Dr. Mustafa memberitahu risiko pembedahan bariatrik tidak tinggi dan selamat.

Katanya, pembedahan bariatrik sebenarnya membantu pesakit ini untuk mengawal kandungan glukosa dalam badan dan kebanyakan kes memperlihatkan pesakit mula berhenti mengambil suntikan insulin dan ubat-ubatan selepas beberapa bulan melakukan pembedahan.

"Selepas pembedahan perubahan dalam pemakanan akan berlaku ekoran saiz perut yang sudah mengecil dan bagi pesakit yang menghidap diabetes dan darah tinggi ia memberi kelebihan kepada mereka.

"Dalam tempoh dua ke enam minggu selepas pembedahan berat badan pesakit bukan sahaja akan turun sehingga 70 peratus tetapi kandungan glukosa selain tekanan darah bagi pesakit darah tinggi akan kembali normal.

"Ini terjadi kerana ia berkait rapat dengan perubahan kuantiti makanan yang diambil membantu kawalan glukosa dalam badan.

Dr. Mustafa memberitahu pembedahan bariatrik terbahagi kepada tiga jenis mengikut kesesuaian pesakit.

"Alhamdulillah ramai pesakit saya yang menderita penyakit ini sudah tidak lagi bergantung kepada ubat-ubatan selain menitikberatkan pemakanan dan senaman berterusan," katanya.

Persediaan sebelum pembedahan

Menjelaskan lebih terperinci mengenai pembedahan itu, Dr. Mustafa berkata, pesakit perlu menjalani ujian saringan terlebih dahulu bagi memastikan tiada sebarang masalah timbul selepas pembedahan.

"Kebiasaannya sebelum pembedahan pesakit perlu menjalani ujian kesihatan termasuk memeriksa setiap organ dalam badan seperti paru-paru, jantung menerusi kaedah ultra bunyi.

"Sekiranya pesakit mengalami masalah diabetes, darah tinggi atau penyakit lain kita akan stabilkan dahulu keadaan mereka dan sekiranya perlu pesakit dikehendaki mengambil ubat dan diet khas seminggu sebelum pembedahan.

"Risiko pembedahan ini tidak tinggi sebenarnya tetapi langkah-langkah berjaga-jaga ini perlu diambil kira bagi memastikan pesakit berada dalam keadaan baik," jelasnya.

Dr. Mustafa (dua dari kiri) bersama Rahim (kanan) yang menjalani pembedahan pada tahun lalu.

Ditanya mengenai golongan sesuai untuk pembedahan ini, Dr. Mustafa berkata, pesakit berusia 18 hingga 65 tahun yang mempunyai BMI  lebih daripada 32.5 tanpa sebarang penyakit layak melakukan pembedahan.

Manakala calon yang mempunyai sejarah penyakit seperti dibincangkan dengan BMI>27.5 layak untuk menjalani pembedahan.

Berjaya kurangkan berat badan daripada 114 kilogram kepada 78 kilogram

Bagi usahawan, Wan Hatinie Wan Pa, beliau memberitahu masalah seperti diabetes, darah tinggi dan sakit lutut menjadi pendorong utamanya untuk menjalani pembedahan bariatrik pada Januari tahun lalu.

Kata Wan Hatinie, sebelum pembedahan berat badannya mencecah 114 kilogram dan sejak itu dia berjaya mengurangkan kepada 78 kilogram.

Paling utama katanya, dia kini dapat menjalani gaya hidup sihat selain kualiti hidup lebih baik dalam melakukan aktiviti sehariannya.

"Alhamdulillah masalah tidur, diabetes, darah tinggi selain sakit lutut dan belakang sudah tidak ada lagi.

Berat badan Wan Hatinie sebelum ini pernah mencecah 114 kilogram.

"Malah beberapa hari selepas pembedahan saya tidak lagi berdengkur dan sakit lutut dan belakang berkurangan sejajar dengan penurunan berat badan.

"Paling utama saya tidak lagi mengambil ubat untuk penyakit kencing manis dan darah tinggi... Boleh dikatakan saya pulih sepenuhnya daripada penyakit itu," ujarnya.

Bagaimanapun kata Wan Hartinie, perubahan itu bukan alasan untuk dia kembali dengan tabiat lama sebaliknya disiplin dan gaya hidup menjadi kunci utama selepas pembedahan.

"Selepas pembedahan memang selera makan itu bertukar secara automatik dan pengambilan makanan pun lebih sedikit berbanding dahulu.

"Ia memang banyak membantu tetapi ia juga bergantung kepada diri sendiri untuk memastikan kesihatan terus berada dalam tahap baik kerana ini bukan pembedahan kosmetik atau buang lemak," ujarnya.

Artikel Lain