suria

Bata Kids, konsep baharu tanda hargai sokongan pelanggan

Pelbagai pilihan kasut kanak-kanak ditawarkan di Bata Kids yang terletak di Sunway Pyramid.

MEMILIH kasut sekolah selalunya tugas hakiki ibu bapa, tapi mungkin itu dulu. Bagaimanapun, kini anak-anak yang akan memasuki alam persekolahan misalnya sudah terfikir jenama dan gaya kasut sekolah yang mereka inginkan.

Demikianlah perubahan dan peredaran zaman apabila generasi muda negara mula terdedah dengan perkembangan dunia teknologi maklumat.

Tentunya, dalam kalangan ibu bapa di negara ini, jenama Bata amat dekat di hati bukan sahaja untuk disarung ke sekolah, malahan juga untuk riadah.

Tidak dinafikan hampir semua di antara kita pernah memiliki kasut sekolah jenama ini terutamanya ketika zaman kanak-kanak.

Malah selipar Bata yang hanya berharga RM12 pernah laris semula pada Mei lalu susulan sekeping gambar yang tular. Foto itu menunjukkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad duduk di kerusi dengan berkaki ayam dan samping sepasang selipar di sebelah kakinya menjadi viral.

Kini, Bata Malaysia melebarkan sayapnya apabila membuka kedai konsep terbaharu, Bata Kids yang pertama di Asia memfokuskan kepada koleksi kasut kanak-kanak.

Lebih banyak pilihan dan mesra kanak-kanak. Begitulah gambaran kepada kedai konsep terbaharu Bata Kids yang dibuka di pusat membeli belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Koleksi kasut Disney's Marvel antara yang bakal mendapat sambutan di kalangan kanak-kanak.

Kedai tersebut menempatkan koleksi kasut dan aksesori kanak-kanak daripada jenama seperti BubbleGummers; Disney’s Marvel; Mickey Mouse; Hello Kitty; Barbie; My Little Pony; Skechers Kids; Nike; Levis dan Puma.

Menurut Pengurus Negaranya, Ajay Ramachandran idea untuk menubuhkan kedai konsep terbaharu itu tercetus selepas menerima keluhan daripada ibu bapa mengenai pilihan koleksi kasut kanak-kanak yang terhadap di cawangan sedia ada.

"Jika anda lihat di cawangan sedia ada, ruang kanak-kanak terlalu kecil. Jadi kami terima aduan daripada ibu bapa yang mahukan ruang koleksi kasut kanak-kanak yang lebih besar.

"Justeru kami mengambil inisiatif untuk membuka Bata Kids yang pertama di rantau Asia selepas mengambil kira jenama Bata menerima permintaan yang menggalakkan di negara ini," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Ajay berkata pembinaan kedai Bata Kids turut mengambil kira keselesaan ibu bapa dan anak masing-masing semasa membeli kasut kegemaran mereka.

Ruang khas untuk kanak-kanak turut disediakan di dalam kedai ini.

"Kanak-kanak boleh menyerlahkan kreativiti mereka menerusi aktiviti mewarna di satu sudut khas.

"Malah ruang di dalam kedai itu turut boleh memuatkan beberapa kereta sorong," katanya.

Jelas Ajay lagi, harga kasut yang ditawarkan Bata Kids juga sesuai dengan kemampuan rakyat di negara ini.

"Terdapat hampir setiap jenama yang ibu bapa mahukan bermula dari harga paling murah sehinggalah yang mahal disediakan di kedai ini.

"Kedai ini menempatkan kolekasi kasut kanak-kanak seawal usia enam bulan hingga 12 tahun. Jadi kami yakin Bata Kids akan mendapat sambutan menggalakkan di negara ini," katanya.

Ajay (kiri) hadir menyaksikan pembukaan Bata Kids baru-baru ini.

Sementara itu, Ajay berkata Bata Malaysia mensasarkan untuk membuka antara 10 hingga 13 cawangan Bata Kids di negara ini dalam tempoh tiga tahun.

"Sudah tentu ini adalah ujian pertama kami. Jadi keputusan (sambutan) dapat dilihat dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi.

"Jika sambutan luar jangka, kita akan buka lebih banyak cawangan lagi dalam masa terdekat di sekitar Lembah Klang sebelum diperluaskan ke Johor Baru, Pulau Pinang dan Sabah serta Sarawak," katanya.

Bata Malaysia kini mengendalikan lebih 250 rangkaian runcit di negara ini merangkumi Bata City, Bata Family dan Primavera.

Bata Kids

Artikel Lain