Terapi hirudo kurangkan bengkak pada luka, Malaysia diiktiraf perintis lintah steril pertama dunia - Famili | mStar

Terapi hirudo kurangkan bengkak pada luka, Malaysia diiktiraf perintis lintah steril pertama dunia

Terapi hirudo akan diperkenalkan di hospital kerajaan dalam tempoh dua tahun lagi.

SEBUT sahaja pasal lintah, pasti ramai yang geli membayangkannya.

Yalah cuba bayangkan kalau haiwan yang berlendir, lembik dan licin itu merayap di betis, mahu mereka yang geli akan menjerit sekuat hati.

Biarpun ramai yang tidak sukakan haiwan itu, realitinya lintah merupakan aset dalam dunia perubatan.

Rawatan lintah atau nama saintifiknya hirudo medicinalis sebenarnya sudah lama menjadi amalan perubatan tradisional di negara ini.

Dr Harikrishna K.R.Nair.

Manfaat lintah turut menarik perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk diguna pakai sebagai alternatif perubatan di hospital kerajaan dalam tempoh dua tahun lagi.

Ketua Unit Penjagaan Luka, Jabatan Perubatan Dalaman, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Profesor Dr Harikrishna K.R.Nair berkata, kaedah yang dikenali sebagai terapi hirudo itu berupaya mengurangkan kesakitan dan bengkak pada luka.

Jelasnya, kaedah terapi itu juga membantu melancarkan aliran darah pesakit.

"Lintah akan bertindak menghisap darah dan mengurangkan bengkak dan kesakitan. Pada masa sama ia juga dapat melancarkan peredaran darah pesakit.

Lintah bersaiz 10 sentimeter (cm) itu akan disteril dan dibersihkan terlebih dahulu di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sebelum digunakan terhadap pesakit.

Profesor Dr Harikrishna K.R.Nair

Ketua Unit Penjagaan Luka, Jabatan Perubatan Dalaman, Hospital Kuala Lumpur (HKL)

"Ini kerana lintah mengeluarkan hirudin atau zat anti pembekuan darah untuk memastikan aliran darah lebih baik. Sebab itu bila anda tarik lintah yang melekat pada kaki ia akan berdarah," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama mStar Online. 

Menurut Dr Harikrishna, kaedah rawatan ini mampu mempercepatkan proses penyembuhan dan penutupan luka.

"Pesakit boleh sembuh dalam tempoh sehari berbanding tiga hingga lima hari seperti kebiasaannya.

"Malah rawatan ini sesuai digunakan pesakit pelbagai peringkat umur untuk merawat mana-mana luka termasuk luka penghidap diabetis," katanya.

Dr Harikrishna berkata, terapi ini berbeza dengan negara luar kerana Malaysia berjaya menghasilkan lintah steril yang pertama di dunia.

Peranan lintah dalam perubatan tradisional telah diamalkan sejak ratusan tahun lalu.

"Kita menggunakan lintah jenis hirudo nensis malenensis dari Terengganu dan Kuala Lumpur. Ia bukan lintah biasa-biasa tapi ada kelebihan tersendiri.

"Lintah bersaiz 10 sentimeter (cm) itu akan disteril dan dibersihkan terlebih dahulu di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sebelum digunakan terhadap pesakit.

"Lintah tersebut akan bertindak menghisap 15 mililiter (ml) darah dan akan jatuh dengan sendirinya," katanya.

Tambah Dr Harikrishna yang juga Presiden Persatuan Perawatan Luka Profesional Malaysia (MSWCP), pihaknya sedang menunggu kelulusan Jawatankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan bagi fasa terakhir kajian terapi lintah itu.

"Kita sudah usahakan kajian ini lebih setahun yang lalu. Sebaik sahaja dapat kelulusan kita akan uji 30 pesakit guna terapi lintah dan kemudian tengok perubahan mereka selepas menggunakan kaedah tersebut," katanya.

Sebaik kajian itu berakhir, beliau berkata, teknologi itu akan diberikan kepada mana-mana syarikat yang berminat sebelum ia digunakan di hospital kerajaan.

"Ini hanyalah sebahagian daripada teknologi perubatan yang diterajui Malaysia selepas kita berjaya menggunakan terapi ulat untuk mengubat luka sebelum ini," katanya.

lintah , steril

Artikel Lain