Aqis suburkan legasi ‘Cowboy Malaysia’ di kandang kuda - Famili | mStar

Aqis suburkan legasi ‘Cowboy Malaysia’ di kandang kuda

Tiga generasi jadikan kuda sebagai gaya hidup.

MANA tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi? Itulah perumpamaan yang dapat menggambarkan minat dan kecintaan Nek Ahmad Maheer Nek Abd Rahman terhadap haiwan kesayangannya.

Kebolehan luar biasa pemuda berusia 29 tahun ini melatih kuda liar diwarisi daripada bapanya, Datuk Dr Nek Abd Rahman Salleh yang sememangnya dikenali ramai dengan jolokan Cowboy Malaysia.

Usahawan muda itu kini turut bergelar jurulatih dan menguruskan Niemans The Hideout (NTH) sepenuh masa bersama isterinya, Nora Shahida Mohd Fauzi.

Pemandangan indah berlatarbelakangkan bukit, air terjun dan desiran air di anak sungai menjadikan NTH sebagai alternatif baharu buat warga kota yang ingin mencari ketenangan sambil menunggang kuda.

Kata Nek Ahmad Maheer, dia mewarisi minat terhadap kuda seawal usia tujuh tahun dan menerima latihan intensif daripada unit latihan berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika berusia sembilan tahun.

Nek Ahmad Maheer mengakui anaknya, Aqis masih takut-takut untuk mendekati kuda.

“Kenangan yang tidak boleh saya lupakan sampai bila-bila adalah ketika menjalani latihan bersama pasukan polis yang sangat tegas.

“Semuanya perlu mengikut peraturan dan saya tidak dibenarkan turun daripada kuda selagi tugasan yang diberikan tidak selesai,” katanya yang mengikuti program latihan hampir lima bulan bersama pasukan keselamatan itu.

Tambah bapa kepada dua cahaya mata itu, dunia kuda sudah sebati dengan dirinya dan menjadi sebahagian daripada hidup kerana telah lama memasang cita-cita untuk membina kerjaya dalam bidang tersebut sejak masih kecil lagi.

Kini, legasi famili itu diteruskan cucu sulung keluarga Cowboy Malaysia, Nek Ariana Balqis atau Aqis yang baru berusia tiga tahun.

Si cilik itu yang diberi gelaran ‘Ratu Bukit’ oleh datuknya sudah didedahkan dengan kuda ketika berusia lima bulan.

Aqis sudah mula menunjukkan minat untuk menunggang kuda.

Gelaran itu diberikan kepada Aqis dengan harapan si comel itu cekap mengendalikan kuda sewaktu membesar di NTH yang terletak di Bukit Tinggi, Pahang.

Menurut Nek Ahmad Maheer, dia menjangkakan anaknya itu dapat mengawal kuda dengan sendiri apabila usia mencecah empat tahun kelak.

“Mula-mula Aqis takut melihat kuda, tapi sekarang dia yang sering ingatkan kami tentang kuda… bertanya sama ada kuda sudah diberi makan atau belum.

“Saya dan isteri akan meletakkan Aqis di atas kuda dan membawanya menunggang di sekitar kawasan ini supaya dia lebih cepat dapat biasakan diri,” ujarnya yang berhasrat untuk melihat anaknya itu berkecimpung dalam aktiviti dressage dan jumping.

Pastinya, segala yang diwarisi Nek Ahmad Maheer dan Aqis itu bermula daripada insan yang penuh berdisiplin dan tekad dalam melakukan sesuatu, di sebalik sifat humor dalam ketegasannya itu.

Nek Abd Rahman bersama kudanya yang bernama Jerantut Hill di NTH, Bukit Tinggi.

Pengetahuannya tentang kuda tidak hanya terbatas kepada baka kuda atau kaedah penjagaannya, malah pesara polis berpangkat Asisten Supritendan itu juga arif mengenai cara menjinakkan kuda.

Ketika ditemui, datuk berusia 62 tahun ini lengkap mengenakan sut persalinannya, malahan Nek Abd Rahman benar-benar mempunyai karisma sebagai seorang koboi dan gayanya persis bintang Hollywood, Clint Eastwood dalam filem A Fistful of Dollars.

Bagi yang belum mengenalinya pasti beranggapan Cowboy Malaysia itu didedahkan dengan kuda seawal usia muda, namun sebenarnya takdir telah menemukan Nek Abd Rahman dengan seorang lelaki sewaktu dalam penerbangan ke Bali pada 1996, ketika beliau berusia 40 tahun.

“Ketika itu, saya dalam penerbangan untuk bercuti di Bali dan berbual dengan seorang lelaki yang ingin mencari susu kuda untuk dijadikan penawar bagi merawat penyakit kanser yang dihidapi anak perempuannya.

“Pada awalnya saya tidak percaya kerana tidak pernah mendengar tentang khasiat susu kuda, namun minat untuk mengetahui tentang kebenaran dakwaan itu semakin mendalam,” katanya ketika ditemui mStar Online.

Pertemuan tidak diduga itu menyingkap lembaran baharu dalam hidup anak jati Kota Bharu, Kelantan tersebut yang kemudiannya bertekad untuk melakukan penyelidikan lebih mendalam tentang susu kuda.

Nek Abdul Rahman merupakan Penaung Kelab Kuda Kelantan.

Beliau yang berkelulusan Undang-Undang Perubatan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan penyelidik di Universiti Putra Malaysia tentang khasiat susu kuda.

Selepas hasil penyelidikannya berjaya, Penaung Kelab Kuda Kelantan itu mula menghasilkan formulasi susu kuda untuk merawat pelbagai jenis kanser dan penyakit kronik lain yang kini turut dipasarkan ke luar negara.

Kira-kira 18 tahun kemudian, beliau membuka pusat latihan kuda di Bukit Tinggi pada 2014, sebelum memperluaskan operasi apabila menawarkan untuk kegunaan awal bermula tahun ini.

Antara program yang ditawarkan di NTH adalah neuro-linguistic programming (NLP) iaitu latihan hubung kait antara cara individu berfikir dan menggunakan minda, seiring dengan bahasa yang dituturkan serta pergerakan untuk mencapai sesuatu yang diingini.

Selain itu, NTH turut menawarkan program kepimpinan kecerdasan kuda (EILP) dan program peluang kedua yang membantu memberikan terapi kepada mereka yang mengalami masalah kemurungan sehingga mendorong mereka untuk membunuh diri.


kuda

Artikel Lain