Boleh bahagia kahwin muda asalkan tahu tanggungjawab - Hisyam Hamid - Famili | mStar

Boleh bahagia kahwin muda asalkan tahu tanggungjawab - Hisyam Hamid

Hisyam Hamid dan isteri Rosmawati Hanafi bahagia melayari rumah tangga bersama dua cahaya mata. Foto Instagram @hisyamhamid7

MELAYARI bahtera perkahwinan pada usia muda bukan lagi perkara asing dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Namun kurangnya kefahaman dan ilmu mengenai tanggungjawab individu berstatus suami atau isteri boleh memudaratkan hubungan itu hingga menyebabkan berlakunya perceraian.

Bagi pelakon Hisyam Hamid, berkahwin pada usia yang cukup muda iaitu 21 tahun bukan perkara negatif, malahan ia boleh mengecap bahagia sekiranya pasangan itu tahu maksud hidup berumah tangga dan tanggungjawab masing-masing.

Selama 12 tahun melayari kehidupan suami-isteri bersama Rosmawati Hanafi, 37, Hisyam mengakui pada awalnya ia bukan perkara mudah, lebih-lebih lagi kerana kurang berpengalaman dan masih muda.

Hisyam bersama isteri dan dua anak kesayangan mereka. 

Bapa kepada dua cahaya mata ini bagaimanapun memberitahu sehingga hari ini dia masih menganggap ia sebagai proses pembelajaran dan memperbaiki diri, namun meletakkan komunikasi dan memahami pasangan dan peranan sebagai kunci kebahagiaan.

"Perkahwinan itu bukan sekadar rasa cinta antara pasangan, tetapi ia juga tanggungjawab dan amanah.

"Saya sendiri tidak menafikan pada awal perkahwinan ada turun naiknya kerana usia masih muda tetapi satu perkara yang saya pegang,  komunikasi di antara pasangan itu amat penting.

"Mendirikan rumah tangga pada usia muda barangkali antara keputusan terbaik pernah saya lakukan kerana ia mengubah saya menjadi insan lebih baik," katanya aktor berusia 33 tahun ini.

Toleransi dan komunikasi kunci kebahagiaan Hisyam dan Rosmawati. 

Jelas Hisyam, dugaan serta cabaran dalam hidup berumah tangga adalah perkara biasa namun setiap pasangan itu perlu bijak menangani sesuatu masalah.

Ini termasuk membuang sifat ego dan lebih bertoleransi dengan pasangan agar sesuatu situasi itu dapat diselesaikan dengan berhemah.

"Macam saya, masa muda sikap panas baran itu memang ada tetapi saya selalu ingatkan diri agar buang jauh-jauh sifat ego dan lebih banyak beralah.

"Bayangkan kalau dua-dua sifatnya 'api' - memang akan musnah! Sebagai ketua keluarga kita sendiri perlu bijak menangani masalah dan bukannya menambah bara!," jelasnya.

Nurish Syameliah (kiri) dan Haydeen (kanan) penguat semangat Hisyam.

Angap macam kawan pengerat hubungan Hisyam dan anak-anak

Kehadiran puteri sulung, Nurish Syameliah hanya selepas setahun berkahwin, Hisyam berkata, kelahiran anaknya itu menjadi pembuka mata dan penggerak kepadanya untuk lebih matang sebagai lelaki.

"Memiliki anak pada usia muda harus saya akui ia tanggungjawab sangat besar kerana banyak perkara yang perlu saya pelajari dan pada masa sama memastikan keperluan keluarga terjaga.

"Kehadiran anak-anak ketika usia di awal 20an juga menjadi penggerak untuk saya bersungguh-sungguh dalam mencari rezeki kerana ingin memberi kehidupan lebih baik buat mereka.

Walaupun sering berjauhan dengan anak-anak namun Hisyam akan memastikan sentiasa berkomunikasi dengan mereka.

"Pengalaman ini membuatkan saya banyak belajar pelbagai perkara, selain mematangkan diri  sebagai seorang lelaki, suami dan bapa," jelasnya yang turut mempunyai seorang anak lelaki, Haydeen yang kini berusia sembilan tahun.

Galak bercerita mengenai anak-anak kesayangannya, Hisyam berkata, biarpun kini mereka berjauhan kerana tuntutan kerjayanya sebagai pelakon di Malaysia namun ia tidak pernah menjadi penghalang untuk membentuk hubungan akrab dengan kedua-dua cahaya matanya.

Malah kata Hisyam, dia menganggap anak-anaknya seperti seorang kawan kerana mahu mereka berasa selesa dengannya, selain berkongsi perkara yang kebiasaannya tidak dikongsi dengan ibubapa.

Perkahwinan itu bukan sekadar tentang rasa cinta antara pasangan tetapi ia tentang tanggungjawab dan amanah.

Hisyam Hamid

Pelakon

"Walaupun jauh setiap hari saya akan buat panggilan video dengan anak-anak, bertanya khabar dan berbual mengenai pelbagai perkara dengan mereka.

"Apabila saya tidak meletakkan jurang dan menganggap mereka seperti kawan, lebih mudah saya berkomunikasi dengan anak-anak malah kami boleh berkongsi apa juga perkara.

"Ada sahaja waktu terluang, saya memang akan kembali ke Singapura untuk bertemu isteri dan anak-anak kerana merekalah nyawa saya," ujarnya.

Walaupun berkahwin pada usia muda tetapi ia mematangkan Hisyam dalam menjadi ketua keluarga.

Pun begitu kata Hisyam, dia tidak akan sesekali berkompromi mengenai pelajaran anak-anaknya dan bersikap tegas tentang hal itu.

"Mereka juga tahu... Saya memang rapat dengan mereka seperti kawan tetapi bab pelajaran saya bukan lagi 'kawan' mereka.

"Saya tegas kerana mahu mereka bersungguh-sungguh dalam pelajaran kerana itu adalah penentu masa depan mereka kelak," katanya.

Hisyam Hamid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tip kesan kanser payudara

Lebih Artikel

Harga petrol, diesel naik!