suria

Susu ibu imunisasi pertama cegah pneumonia jangkiti kanak-kanak - Dr Zulkifli

Penyakit pneumonia boleh dicegah dengan pemberian susu ibu dalam tempoh enam bulan pertama selepas dilahirkan.

SERAMAI 50,000 dimasukkan ke wad di hospital di seluruh negara akibat jangkitan pneumonia atau radang paru-paru setiap tahun.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 150 kanak-kanak bawah lima tahun maut disebabkan jangkitan penyakit berbahaya itu di negara ini saban tahun.

Maka tidak hairanlah, pneumonia menjadi punca kematian ketiga terbesar bagi kanak-kanak berusia bawah lima tahun di negara ini.

Pakar Perunding Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail menyifatkan pneumonia sebagai jangkitan paru-paru yang serius.

"Jangkitan itu menyebabkan kantung udara (alveoli) dipenuhi cecair atau nanah, mengakibatkan penghidapnya menderita kesakitan dan mengalami kesukaran untuk bernafas.

"Bakteria yang menyebabkan pneumonia juga boleh memasuki aliran darah lalu merebak ke seluruh badan dan menyebabkan kegagalan organ," katanya ketika ditemui dalam sesi dialog berkenaan penyakit itu baru-baru ini.

Dr Zulkifli berkata selain suntikan vaksin pneumokokal, penyakit yang boleh membawa maut itu boleh dicegah dengan pemberian susu ibu.

Dr Zulkifli Ismail.

"Kami galakkan agar bayi diberikan susu badan sahaja selama enam bulan pertama selepas lahir.

"Ini seakan-akan imunisasi pertama kerana susu badan mengandungi antibodi yang dapat melindungi bayi daripada penumonia," katanya yang bertugas di Pusat Perubatan Pakar KPJ Selangor.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Immunise 4Life (IFL) berkata aspek kebersihan diri terutamanya amalan membasuh tangan dengan betul menggunakan sabun dan air juga penting bagi menjauhkan organisma yang boleh menyebabkan pneumonia.

Antara organisma yang boleh menyebabkan pneumonia adalah bakteria seperti Haemophilus influenzae jenis b, pneumokokus dan virus seperti campak, influenza dan cacar air.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Hishamshah Mohd Ibrahim berkata kanak-kanak berusia bawah dua tahun senang dijangkiti pneumonia.

Katanya, merawat pneumonia pada kanak-kanak kecil boleh menjadi kompleks.

"Penyakit ini boleh melarat dengan cepat dan pesakitnya akan memerlukan oksigen, drip intravena untuk menghantar ubat antibiotik yang kuat dan mungkin juga pembedahan untuk mengeluarkan cecair dari paru-paru.

"Jika kegagalan paru-paru, kita perlu menyambungkan anak-anak kecil ini dengan mesin ventilator supaya dia boleh bernafas," katanya.

Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Meskipun pneumonia mengancam kanak-kanak, Dr Hishamshah berkata golongan miskin lebih mudah terjejas disebabkan faktor persekitaran kerana kurang didedahkan dengan penyakit berbahaya ini.

"Mereka sukar mendapatkan rawatan. Alangkah sedihnya melihat kanak-kanak menderita atau meninggal dunia akibat penyakit yang boleh dicegah ini.

"Pesakit yang pulih pula mungkin ada sebilangan kecil mereka akan mengalami kerosakan paru-paru kekal akibat pneumonia yang dihidapi semasa kanak-kanak. Pneumonia lebih baik dicegah supaya tidak berlaku," katanya.

Mengenai suntikan vaksin pneumokokal, Dr Zulkifli berkata vaksin konjugat pneumokokus (PVC) sesuai diberikan kepada kanak-kanak berusia seawal dua bulan ke atas.

Katanya, vaksin tersebut boleh diberikan sebanyak tiga hingga empat dos sehingga bayi berusia 15 bulan.

"PVC memberikan perlindungan seumur hidup terhadap bakteria S.pneumoniae iaitu punca utama pneumonia yang teruk dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun.

"Setakat Oktober 2018, kira-kira 142 negara sudah menawarkan vaksin pneumokokal secara percuma melalui program imunisasi untuk kanak-kanak kebangsaan masing-masing," katanya.

Ilustrasi grafik bagaimana pneumonia menjangkiti kanak-kanak.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli turut menasihati ibu bapa agar berbincang dengan doktor tentang vaksin pneumokokal untuk anak mereka memandangkan ia tidak tergolong dalam senarai vaksin di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.

"Saya kecewa peruntukan tambahan untuk vaksin ini tiada dalam pembentangan Bajet 2019 tetapi saya yakin ia akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun lagi. Saya gembira Menteri Kesihatan (Dr Dzulkefly Ahmad) bercakap mengenainya.

"Vaksin ini amat penting tetapi tidak semua mampu memberikannya kepada anak mereka. Ini kerana setiap dos vaksin pneumokokal berharga antara RM250 hingga RM300. Ada empat dos tapi pemberian dos bergantung kepada umur kunjungan pertama untuk pemberian vaksin tersebut," katanya.

pneumonia, vaksin

Artikel Lain