suria

Pelajar tingkatan 2 maut ditembak rakan ketika main sorok-sorok 

Suspek menunjukkan lokasi kejadian. -Foto PDRM

KESERONOKAN bermain sorok-sorok bertukar tragedi apabila seorang pelajar tingkatan dua maut selepas ditembak rakannya menggunakan senapang buatan sendiri atau bakakuk pada Ahad.

Dalam kejadian di kawasan bekas kuarters polis di Keningau, Sabah pada pukul 8.15 pagi itu, mangsa berusia 14 tahun ditembak dari jarak kira-kira tiga meter ketika bersembunyi di bawah sebuah rumah.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superitendan Yampil Anak Garai berkata rakan sebaya mangsa secara tidak sengaja melepaskan tembakan selepas menarik picu senjata terbabit.

"Mangsa mengalami 14 kesan tembakan di bahagian badan, lengan dan lutut sebelum dibawa penduduk kampung ke Hospital Keningau, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di unit kecemasan.

"Siasatan awal mendapati rakan mangsa meminta untuk melihat senjata itu selepas ternampak mangsa memegang bakakuk di hadapan rumah berkenaan," katanya pada Isnin.

Menurut Yampil, adik suspek berusia 13 tahun didapati menyembunyikan bakakuk tersebut selepas kejadian. 

"Senjata itu dipercayai milik bapa mereka yang berusia 70 tahun," katanya.

Ketiga-tiga beranak itu kini ditahan bagi membantu siasatan, manakala polis turut merampas bakakuk, peluru hidup, kelongsong, pakaian suspek dan dua telefon bimbit.

Mangsa difahamkan rapat dengan keluarga suspek dan sering bermalam di rumah berkenaan. -The Star

Artikel Lain