suria

Projek Kampung Angkat Madani di bawah MITI siap lebih awal, kemudahan kampung dan sekolah dinaik taraf

Ketua Setiausaha MITI, Datuk Hairil Yahri Yaacob (kiri) menurunkan tandatangan ketika Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Kemudahan Sekolah Kebangsaan Rinching Hilir, Semenyih, Selangor.

KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berjaya menyiapkan projek pembangunan serta pengindahan di Kampung Batu 3 dan Sekolah Kebangsaan Rinching Hilir, Semenyih, Selangor di bawah inisiatif Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani 2025 lebih awal daripada perancangan.

Sebagai tanda kejayaan pelaksanaan ini, Majlis Penyerahan Projek Pembaikan Jalan Kampung Batu 3 dan Pengindahan Masjid Kariah Kampung Batu 3 telah diadakan di Masjid Kariah Kampung Batu 3 pada Jumaat lalu.

Dianjurkan oleh MITI dengan kerjasama penduduk setempat, majlis ini menyaksikan kehadiran wakil-wakil daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selaku rakan strategik MITI, penghulu Mukim Semenyih, ketua Kampung Batu 3, nazir Masjid Kariah Batu 3 dan para penduduk setempat.

Pada hari sama, MITI turut menganjurkan Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Kemudahan Sekolah Kebangsaan Rinching Hilir di sekolah berkenaan yang dihadiri oleh guru besar, guru, murid-murid dan wakil dari Pejabat Pendidikan Negeri dan Daerah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). 

Program Kampung Angkat Madani merupakan inisiatif berimpak tinggi yang diumumkan oleh perdana menteri dalam Belanjawan 2024.

Ketua Setiausaha MITI, Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata pelaksanaan projek ini selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan nilai Ihsan dan kesejahteraan dalam setiap inisiatif Kerajaan Madani.

"Program ini membuktikan tekad kerajaan untuk memperkasa agenda pembangunan yang seimbang antara bandar dan luar bandar melalui kerjasama dan sinergi pelbagai kementerian dan agensi yang merupakan antara teras Malaysia Madani dalam setiap inisiatif kerajaan," katanya.

Untuk rekod, Program Kampung Angkat Madani merupakan inisiatif berimpak tinggi yang diumumkan oleh perdana menteri dalam Belanjawan 2024 bagi meningkatkan kemudahan asas serta menyokong pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar.

Majlis Penyerahan Projek Pembaikan Jalan dan Pengindahan Masjid Kariah Kampung Batu 3.

Peruntukan RM1 juta

Di bawah inisiatif Kampung Angkat Madani, MITI telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta dengan RM600,000 dikhususkan bagi kerja-kerja membaiki jalan-jalan kampung. 

Cukup membanggakan apabila projek yang diterajui oleh KKDW sebagai rakan strategik MITI ini berjaya disiapkan dua bulan lebih awal daripada perancangan.

Selain itu, MITI turut melaksanakan projek pengindahan Masjid Kariah Batu 3 merangkumi naik taraf ruang solat, baik pulih kerosakan serta inisiatif kelestarian Sungai Semenyih melalui penanaman lebih 300 benih pokok buluh dan 2,000 benih rumput vetiver. 

Pada September lalu, suasana di Kampung Batu 3 meriah apabila MITI menganjurkan sambutan Hari Malaysia dengan pelbagai pengisian program termasuk perarakan penduduk dan warga MITI bagi mengeratkan silaturahim serta menyemarakkan semangat patriotisme.

Program gotong-royong turut diadakan melibatkan warga MITI serta masyarakat setempat pada Mei lalu.

Ruang solat di Masjid Kariah Kampung Batu 3 kini telah naik taraf dan kerosakan dibaik pulih.

Projek-projek ini dilaksanakan dengan pendekatan whole of government melalui kerjasama MITI bersama KKDW, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (Luas), syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti kampung.

Program Sekolah Angkat Madani

Bagi Program Sekolah Angkat Madani MITI pula, projek naik taraf kemudahan pembelajaran dan keceriaan di Sekolah Kebangsaan Rinching Hilir, Semenyih dilaksanakan melibatkan peruntukan sebanyak RM100,000.

Sejumlah RM30,000 dari jumlah itu diperuntukkan untuk meningkatkan kemudahan internet berkelajuan tinggi 5G di seluruh kawasan sekolah.

Inisiatif ini diharap dapat membantu menarik minat serta mendekatkan murid-murid dengan dunia Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara lebih interaktif di samping meningkatkan capaian Internet bagi tujuan pembelajaran.

Dalam pada itu MITI turut membantu menjayakan pelbagai inisiatif penambahbaikan infrastruktur termasuk penggantian kerusi kantin yang daif, penyediaan dataran simen mesra OKU, mural kebitaraan sekolah, pemasangan smart board dan CCTV di semua bilik darjah.

Usaha ini dilakukan bagi menyemarakkan semangat cintakan ilmu dan sekolah di samping memberi keselesaan dan keselamatan kepada para guru dan murid-murid Sekolah Kebangsaan Rinching Hilir.

Pelaksanaan kedua-kedua projek ini bukan sahaja berjaya mencapai matlamat yang dihasratkan dalam meningkatkan kualiti infrastruktur sedia ada, malah memberi nilai tambah terhadap aspek sosial, ekonomi dan kelestarian alam untuk manfaat jangka masa panjang buat penduduk Kampung Batu 3, warga Sekolah Kebangsaan Rinching Hilir dan penduduk sekitarnya.

Artikel Lain