BALU kepada lelaki yang maut dalam tragedi kereta terjunam ke dalam cerun di Hulu Terengganu, Terengganu tidak mengetahui bahawa suaminya akan berkahwin baharu.
Che Norhashimah Hassan berkata dia menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu pada pukul 8.15 malam, memaklumkan Hassan Shazali, 52, meninggal dunia dalam insiden di Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring, Bukit Kawah pada Jumaat.
Wanita berusia 50 tahun itu berkata, dia tidak mengetahui mengenai rancangan arwah suaminya untuk berkahwin pada 25 Disember ini kerana mereka sudah bercerai dan tinggal berasingan.
"Kami sebenarnya sudah bercerai namun saya masih dalam tempoh idah. Sudah hampir tiga bulan kami tidak berhubung.
"Jadi saya sangat terkejut. Saya langsung tidak menyangka perkara seperti ini akan berlaku,” katanya pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Bakal pengantin maut, MPV masuk ke laluan ditutup sebelum terjun gaung
Che Norhashimah yang juga seorang guru memaklumkan mereka mempunyai lima anak berusia antara lapan hingga 24 tahun.
Katanya, bekas suaminya itu sangat mengambil berat terhadap keluarga dan tidak pernah mengabaikan anak-anak mereka.
Jenazah Hassan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kedai Menanti, Pasir Putih, Kelantan, selepas selesai bedah siasat.
Terdahulu, media melaporkan Hassan berkhidmat sebagai Guru Penolong Kanan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir dan pengusaha kantin, Suzaimah Che Azis, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mereka maut akibat kecederaan parah pada anggota badan selepas kenderaan yang dinaiki tercampak ke dalam gaung.


