PEMBENTUKAN mesej ekstremisme dan keganasan yang aktif disebarkan melalui platform digital masa kini mempunyai persamaan ketara dengan kaedah pemasaran komersial.
Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, mesej radikal dirangka secara teratur menggunakan simbol, bahasa dan sentimen tertentu.
Jelasnya, mesej tersebut disasarkan kepada individu yang mempunyai kecenderungan tertentu, sama seperti strategi promosi produk.
Kamal Affandi berpandangan sokongan kewangan memainkan peranan dalam menjayakan perancangan kumpulan ektremis. -Foto Ronnie Chin/SMG.
“Mereka menggunakan elemen blind faith atau kepercayaan membuta tuli sebagai komoditi utama untuk menggerakkan naratif mereka.
"Teknik ini sama seperti kempen pemasaran yang mensasarkan emosi pengguna,” katanya kepada mStar.
Faktor penerimaan
Menurut Kamal Affendi lagi, faktor penerimaan seseorang terhadap mesej ekstremis banyak bergantung kepada latar kepercayaan dan ideologi individu itu.
Jelasnya, ada yang cenderung terpengaruh apabila naratif radikal disampaikan melalui pendekatan agama atau perjuangan yang dianggap membawa kemuliaan.
“Jika seseorang percaya bahawa berbakti kepada agama harus dilakukan melalui angkat senjata atau perjuangan militan, mereka lebih mudah digerakkan apabila bertemu pihak yang menawarkan ruang itu,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa proses radikalisasi tidak semestinya berlaku melalui penglibatan fizikal dalam kumpulan ekstremis.
Katanya, ada pengikut yang hanya memberikan sokongan kewangan atau logistik, namun tetap memainkan peranan dalam menjayakan perancangan kumpulan berkenaan.
Penyebaran idealogi
Kamal berkata penyebaran ideologi ekstremis kini tidak hanya berlaku melalui laman sesawang terbuka, sebaliknya turut melibatkan platform yang lebih sukar dijejaki seperti Telegram, TikTok dan dark web.
“Ini antara saluran yang sering digunakan kerana ia berada di luar kawalan biasa.
"Selain itu, penyebaran dari individu ke individu juga sangat berkesan dalam menarik pengikut baharu,” katanya.
Penyebaran idealogi boleh berlaku menerusi Telegram, TikTok dan dark web. -Foto Faihan Ghani/SMG.
Mengulas mengenai keupayaan sekatan awal, beliau memaklumkan bahawa pihak berkuasa termasuk kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan pelbagai bentuk kawalan.
Namun, katanya pengawasan terhadap individu atau kumpulan kecil adalah cabaran utama.
“Kumpulan seperti ini ada kaedah sendiri. Apa yang dapat dikesan hanyalah simptom awal seperti kecenderungan mengasingkan diri, hanya bergaul dalam kelompok tertentu, perubahan gaya pakaian, penggunaan ikon atau simbol tertentu.
"Selain ada sebahagiannya melayari laman yang mengandungi kandungan ekstremis,” katanya.
Kamal menegaskan bahawa kesedaran masyarakat penting untuk mengesan perubahan sedemikian agar tindakan awal dapat diambil sebelum seseorang terseret lebih jauh dalam kegiatan radikalisasi.
“Pencegahan bermula dengan keprihatinan. Semakin cepat kita mengesan perubahan tingkah laku, semakin besar peluang untuk menghalang individu daripada terjebak dalam ideologi berbahaya,” katanya.


