suria

Pelanggan melecur ‘hot pot’ terbalik, restoran enggan bayar pampasan... Dakwa mangsa cuai letak banyak sayur, daging

Rakaman dari CCTV memaparkan insiden seorang pelanggan cedera selepas 'hot pot' terbalik. -Foto Thaiger

SEORANG lelaki berusia 34 tahun menuntut keadilan selepas mengalami lecur teruk apabila periuk panas (hot pot) terbalik ketika dia menjamu selera di sebuah restoran, 27 November lalu.

Mangsa, yang dikenali sebagai Title, mendakwa pihak restoran dan syarikat insurans cuba lepas tangan walaupun terdapat bukti jelas bahawa peralatan restoran tersebut rosak.

Dalam kejadian di sebuah restoran popular di Jalan Sutthisan Winitchai, daerah Huai Khwang, Bangkok itu, Title bersama rakan-rakannya memesan hidangan 'Jaew Hon' (periuk panas ala Thai). 

Ketika hidangan disediakan, kakitangan restoran menyedari dapur kecil yang memegang periuk panas itu tidak stabil. 

Bagi menyelesaikan masalah dengan segera, mereka melipat sekeping kertas dan menyelitkannya di bawah kaki dapur bagi mengimbanginya.

ARTIKEL BERKAITAN:  Padah kencing dalam periuk 'steamboat', 2 remaja diarah bayar saman RM1.2 juta

Walaupun berasa ragu, Title terus menikmati hidangan kerana menyangka ia selamat.

Namun ketika Title menyenduk makanan, kertas yang diselitkan di bawah kaki dapur mengembang akibat kepanasan, menyebabkan dapur condong dan periuk panas terbalik, dengan sup mendidih tertumpah ke atas kaki Title.

Pemeriksaan perubatan mengesahkan Title mengalami lecur tahap kedua.

Dia hanya menerima 2,000 baht (RM258) untuk kos rawatan, sementara tuntutan untuk pampasan penuh termasuk bil perubatan serta ganti rugi, ditolak. 

Restoran dan syarikat insurans memberikan alasan bahawa kejadian itu berpunca daripada 'kecuaian', dengan mengemukakan dua alasan: 

- Tugas kakitangan berakhir selepas makanan diletakkan di meja.

- Pelanggan sendiri menyebabkan kemalangan dengan memasukkan terlalu banyak sayur dan daging ke dalam periuk sehingga menyebabkan ketidakseimbangan dan tumpahan.

Menurut mereka, keselamatan semasa pelanggan menikmati makanan adalah tanggungjawab pelanggan sepenuhnya.

Tidak berpuas hati, Title mengemukakan bukti video kepada kumpulan advokasi 'Saimai Survive' untuk menuntut akauntabiliti dan layanan yang adil daripada pihak restoran serta syarikat insurans. -Agensi

Artikel Lain