suria

Kes Sindrom Goncang Bayi... masih tiada undang-undang terhadap pengasuh tidak formal

R.Age mengupas mengenai taska tidak berdaftar yang menjadi kegusaran ibu bapa hari ini.

PADA 2017, Nornazlina Mohamad Ghazali menghantar anaknya yang berusia dua bulan ke rumah pengasuh tidak formal iaitu seorang wanita pertengahan usia.

Bukan hanya anak Nornazlina, wanita itu turut menjaga seorang lagi kanak-kanak lain di kawasan kejiranannya iaitu sebuah kem tentera.

Selepas menjalankan rutin harian itu, dia kemudian meneruskan perjalanan ke tempat kerja.

Inilah tanggungjawab Nornazlina selama beberapa minggu. Namun pada hari kejadian, suami kepada pengasuhnya (yang juga merupakan rakan sekerja), menyampaikan berita yang mengejutkan iaitu anaknya mengalami sawan.

Nornazlina bersama suaminya menjadi trauma selepas anak mereka lumpuh selepas dihantar ke rumah pengasuh.

Selepas kejadian itu, ada perubahan pada anaknya sebelum akhirnya lumpuh.

Disebabkan masih bayi, doktor tidak dapat mengenal pasti sejauh mana kecacatan dialami anaknya itu, namun besar kemungkinan anaknya turut kehilangan daya penglihatan.

Laporan perubatan menunjukkan bayi itu mengalami Sindrom Goncang Bayi, iaitu satu kecederaan serius di bahagian otak akibat digoncang dengan kuat.

Nornazlina mendapatkan bantuan pihak berkuasa untuk menyiasat, namun tanpa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh membuktikan bahawa kecederaan itu berpunca daripada pengasuhnya, kes berkenaan tidak dapat diteruskan.

“Kami terpaksa mengambil risiko menghantar anak ke pengasuh tidak formal. Jika inginkan pengasuh yang lebih baik, kami perlu mencari di luar kawasan kem dan ia menyukarkan,” ujar Nornazlina.

Jika tiada sesiapa yang mengaku bersalah, kami akan melihat kepada bukti-bukti lain, seperti rakaman CCTV.

BAIZURA KAMAL

Ketua Unit Jenayah Seksual dan Keganasan Rumah Tangga, Jabatan Peguam Negara.

Bagi Nornazlina, keadaan anaknya kini amat menyedihkan namun apa yang mengusarkannya ialah wanita terbabit masih meneruskan kerjanya sebagai pengasuh.

“Kita dapat lihat sekarang ada banyak (kes penderaan dan kematian) membabitkan pengasuh, dan kalau kita tidak lakukan sesuatu, jumlah ini dikhuatiri akan meningkat.

“Yang menjadi mangsa adalah ibu bapa,” katanya sambil mengusap anak yang dipangkunya.

Kesan biru di dahi

Bagi Abu Nain Umar pula, dia kehilangan anak perempuannya,  Abu Zea Ophelia akibat kecederaan sewaktu dalam jagaan pengasuh tidak berdaftar.

Menurut pengasuh terbabit, dia ingin memandikan Ophelia apabila bayi tersebut mengalami sawan secara tiba-tiba.

“Semasa saya tengok dia di wad kecemasan, mata dia ke atas, dia dah tak sedar dan ada kesan biru di dahi,” ujarnya.

Terdapat juga keretakan sepanjang lapan sentimeter di belakang kepala anaknya itu.

Ophelia meninggal dunia selepas seminggu bertarung nyawa.

Abu Nain yang masih terkesan dengan pemergian anak perempuanya berazam untuk tidak menghantar anak keduanya ke mana-mana Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), termasuk taska berdaftar.

Terdapat kesan keretakan di kepala anak Abu Nain yang akhirnya menyebabkan bayi itu meninggal dunia.

Isterinya kini terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak keduanya yang baru lahir.

“Kami akan menjaganya sendiri sehingga dia berusia sekurang-kurangnya tiga tahun. Jika berlaku apa-apa, dia sudah boleh bercakap dan beritahu kami,” katanya.

Namun, sama seperti Nornazlina, usaha Abu Nain untuk mendapatkan keadilan bagi anaknya juga gagal.

“Apabila kami bagi keterangan kepada polis, cerita kami hanya berdasarkan apa yang diberitahu oleh pengasuh. Jadi bila mereka tengok cerita kami sama, tiada sesiapa yang mengaku salah jadi kes pun ditutup,” katanya.

Di sinilah punca kebanyakan masalah yang berlaku di Malaysia. Semua taska berdaftar seharusnya memasang CCTV, kecuali taska yang beroperasi di rumah.

Taska tidak berdaftar

Menurut Timbalan Menteri, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, dianggarkan 90 peratus taska di Malaysia tidak berdaftar.

Taska-taska tidak berdaftar ini menyediakan pengasuh tidak formal seperti dialami di kawasan kejiranan Nornazlina dan Abu Nain.

Malangnya, mereka tiada pilihan malah terpaksa mengambil pendekatan menghantar anak kepada pengasuh tidak formal dan begitulah juga kebanyakan ibu bapa di Malaysia yang terpaksa membuat keputusan serupa.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menganggarkan Malaysia memerlukan lebih 38,000 pusat asuhan untuk menampung 50 peratus daripada jumlah 2.3 juta kanak-kanak di Malaysia.

Namun kita hanya mempunyai kurang daripada 5,000 taska berdaftar dan ia dianggap antara cabaran serta kesukaran yang dihadapi kementerian berkenaan.

Ibu bapa mempunyai masalah untuk menghantar anak mereka di taska berdaftar kerana ia jauh dari kediaman masing-masing. Gambar hiasan


Di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, pengusaha taska tidak berdaftar atau mereka yang menjaga tiga kanak-kanak atau kurang, dikecualikan daripada mendaftar.

Yeoh bagaimanapun menjelaskan bahawa kementeriannya tidak boleh mengharamkan taska di rumah dengan serta merta.

“Kita tidak boleh haramkan taska di rumah kerana hakikatnya tidak semua kawasan di Malaysia mempunyai taska (berdaftar).

“Adalah tidak munasabah bagi kerajaan untuk mengambil tindakan sedemikian tanpa menyediakan infrastruktur alternatif, terutama apabila kita sedar bahawa keperluan (untuk taska) itu ada,” ujar beliau.

Atas alasan inilah tahun lepas kerajaan telah meminta semua taska agar berdaftar dengan JKM manakala pejabat kerajaan diminta menyediakan taska.

Harapannya, semoga langkah ini akan turut mendapat sokongan daripada sektor swasta.

Kurang Bukti

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Choo Lily berkata kekurangan bukti serta saksi kejadian merupakan antara cabaran yang dihadapi apabila membabitkan kes kanak-kanak yang dihantar ke rumah pengasuh.

“Kanak-kanak ini masih kecil dan mereka tidak mampu menceritakan apa yang berlaku dan sudah tentu pemilik serta kakitangan taska juga tidak mahu memberi kerjasama kerana ia akan mendedahkan mereka kepada hukuman.

“Kebanyakan pusat asuhan tidak mempunyai CCTV,” ujarnya sambil menekankan mengenai kepentingan untuk mewajibkan CCTV dipasang di setiap pusat asuhan.

Semenata itu, Ketua Unit Jenayah Seksual dan Keganasan Rumah Tangga di Jabatan Peguam Negara, Baizura Kamal berkata, pihak pendakwaan memerlukan bukti kukuh yang melebihi keraguan bagi melakukan pendakwaan.

Anak-anak perlu dijaga dengan penuh kasih-sayang. Gambar hiasan.

“Jika tiada sesiapa yang mengaku bersalah, kami akan melihat kepada bukti-bukti lain, seperti rakaman CCTV,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurutnya kebanyakan kes melibatkan taska yang tidak mempunyai CCTV.

Pihak pendakwaan terpaksa bergantung kepada kenyataan saksi yang berada di tempat kejadian. Bagaimanapun ada kalanya mereka mengaku tidak melihat apa yang berlaku.

“Jadi bukan kami tidak ingin mengambil kes-kes ini, tapi kami sebenarnya tidak mempunyai bukti yang mencukupi,” jelas beliau.

Baizura bagaimanapun berkata, ibu bapa boleh cuba mendapatkan pampasan dengan memfailkan saman civil terhadap pengasuh atas kecuaiannya.

Jabatan Bantuan Guaman, tambahnya boleh membantu mereka yang mempunyai masalah kewangan.

“Saman sivil berbeza dengan pendakwaan bagi kes jenayah yang memerlukan bukti kukuh untuk membolehkan pendakwaan.

“Saman sivil melihat kepada imbangan kebarangkalian (balance of probabilities - cerita satu pihak hanya perlu lebih meyakinkan daripada pihak yang satu lagi)," katanya.

Baizura turut mencadangkan agar Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dipinda serta pemasangan CCTV di setiap taman asuhan diwajibkan.

“Mereka perlu meminda peruntukan yang mengatakan hanya pengasuh yang menjaga empat orang kanak-kanak ke atas perlu mendaftar. 

“Saya merasakan bahawa pengasuh di rumah (pengasuh tidak formal) juga perlu mendaftar dan JKM harus menyediakan garis panduan bagi mereka,” katanya.

Taska berdaftar perlu dilengkapi CCTV bagi memudahkan pemantauan. Gambar hiasan.

Dalam pada itu, ibu bapa seperti Nornazlina dan Abu Nain akan terus menghadapi masalah untuk mencari pusat asuhan yang sesuai untuk anak-anak mereka.

Bagi mengatasi masalah ini, Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat masih mencari jalan untuk membantu taska tidak berdaftar agar mendaftarkan perkhidmatan mereka.

Namun usaha ini tidak mudah. Bagi tujuan pendaftaran, taska memerlukan kelulusan tiga pihak berkuasa iaitu Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pihak berkuasa tempatan.

Kesukaran mendaftar

Selain itu, Presiden Persatuan Pengusaha Taska dan Tadika Putrajaya, Husna Abdul Rahaman berkata kebanyakan pengusaha taska dan tadika menghadapi kesukaran untuk mendaftar disebabkan kos tinggi untuk membina tangga kecemasan.

“Kami perlu melantik arkitek bertauliah dan perlu mencari seseorang yang boleh melakukannya dengan harga berpatutan.

“Kos untuk menyediakan pelan sahaja sekitar RM3,500 hingga RM7,000, tidak termasuk RM1,500 hingga RM2,500 untuk jurutera mengesahkan pelan tersebut.

“Bagaimanakah kami mampu untuk mendaftar kerana di Putrajaya, kami hanya mengenakan caj sekitar RM300 hingga RM400 bagi setiap bayi yang dijaga," katanya.

Selain itu, mereka juga perlu mendapatkan persetujuan penduduk sekitar untuk membuka taska.

Untuk lebih menghayati, anda boleh tonton dokumentari R.AGE bertajuk Lawless Nannies

Taska, pengasuh

Artikel Lain