TIDAK tahan dengan fitnah yang dilemparkan sejak beberapa bulan lalu, seorang tokoh akademik yang juga Yang Dipertua MUAFAKAT Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor dan timbalannya nekad memfailkan saman terhadap pelakon Rita Rudaini selepas notis tuntutan RM1 juta tidak dipatuhi.
Mohd Roslan Mohd Nor selaku plaintif pertama dan Saidah Haris @ Harith selaku plaintif kedua memfailkan saman itu terhadap defendan, Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohammad @ Mokhtar melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates yang diwakili Datuk Adnan Seman pada 6 Disember lalu.
Menurut Adnan, kedua-dua plaintif memfailkan writ saman terhadap Rita selepas didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah yang dimuat naik melalui Instagram, WhatsApp dan platform lain.

Roslan (tiga dari kiri) dan Saidah memfailkan saman terhadap Rita.
"Antara label fitnah yang dipersoalkan termasuk dakwaan plaintif-plaintif sebagai bongkak, narsisis, tidak professional, 'prof kangkung', gila jawatan, penipu, tidak layak memegang jawatan MUAFAKAT serta tuduhan salah urus wang ibu bapa.
"Kenyataan tersebut turut mengakibatkan penerbitan artikel sebuah akhbar tempatan yang memetik dakwaan mengenai kepincangan MUAFAKAT MRSM yang diterajui plaintif-plaintif," katanya dalam satu sidang media pada Ahad.
Menurut Adnan Seman, kedua-dua plaintif turut mendakwa defendan bertindak secara semberono dan dikatakan mempunyai niat jahat kerana memuat naik kenyataan tanpa semakan serta mempunyai kesan reputasi yang besar memandangkan jumlah pengikut defendan yang ramai.
ARTIKEL BERKAITAN: Rita Rudaini sokong Raja Azura, sindir bapa cari darah daging bila dah sakit… “Kalau anak tak peduli tuduh mak yang hasut”
ARTIKEL BERKAITAN: Dikritik masih tidak bertudung, Rita Rudaini bidas individu ‘terpaling syurga’
"Justeru plaintif menuntut perintah injunksi, memadam kenyataan fitnah, permohonan maaf secara video selama tiga bulan serta ganti rugi am, teruk, pengajaran, faedah 5% setahun dan kos tindakan.
"Kes ini dibawa ke peringkat mahkamah selepas defendan gagal memadam semua pernyataan berbaur fitnah, aku janji tidak menerbitkan pernyataan fitnah, permohonan maaf dan ganti rugi am sebanyak RM1 juta yang diminta plaintif dalam satu notis tuntutan bertarikh 15 Oktober lalu.
Untuk rekod, kedua-dua plaintif yang mempunyai anak yang sedang mengikuti pengajian di sekolah terbabit merupakan tokoh Pendidikan dan akademik.
Plaintif pertama merupakan pensyarah kanan Universiti Malaya dan ahli beberapa Majlis Agama Islam Negeri manakala plaintif kedua berkhidmat sebagai pensyarah cemerlang Institut Pendidikan Guru cawangan Ipoh, Perak, Munsyi Dewan Bahasa dan Panel Pembangunan Sijil Kemahiran Malaysia.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


