suria

Elak cela makanan dan jangan lupa berdoa... Carilah barakah ketika makan dengan 6 adab diajar Rasulullah

Seorang muslim mesti mengetahui adab makan sesuai kehendak Islam.

PEMAKANAN merupakan salah satu aspek yang sangat dititiberatkan oleh Islam. Seseorang muslim mesti mengetahui adab ketika makan agar ia bersesuaian dengan kehendak dan tuntutan agama.

Hal ini sangat penting kerana dengan mengikuti suruhan Allah SWT dan anjuran Nabi SAW, seorang muslim itu dapat mencapai kebaikan di dunia mahupun di akhirat. Justeru itu, kita sebagai umat Islam, dalam bab pemakanan tidak ada insan lain yang boleh dijadikan teladan melainkan dengan melihat diri Rasulullah SAW sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakai aksesori menyerupai capal Rasulullah, apakah hukumnya di sisi Islam?

Firman Allah SWT: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik....” - (Surah al-Ahzab ayat 21).

Di antara adab-adab makan yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW adalah;



Mulakan dengan membaca doa makan dan sekurang-kurangnya memuji nama Allah dengan Bismillah sebelum makan dan Alhamdulillah selepas makan.

1. Memastikan makanan yang dimakan adalah daripada sumber yang baik dan halal

Hal ini sebagaimana Firman Allah SWT: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik...” (Surah al-Baqarah ayat 168) dan firman-Nya lagi: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.” - (Surah al-Baqarah ayat 172).

Dikisahkan bahawa Saad bin Abi Waqas RA pernah meminta kepada Rasulullah SAW supaya doanya dimustajabkan lantas baginda menjawab: “Wahai Saad, Baikkanlah makananmu niscaya engkau akan menjadi orang yang mustajab doanya.” - (Hadis riwayat Tabrani).



Membersihkan tangan bukan sahaja dituntut oleh agama malah dapat mengelak terkena penyakit.

2. Membasuh tangan sebelum dan setelah makan

Perkara ini sangat penting kerana ia dapat membersihkan segala kotoran yang ada pada tangan dan seterusnya dapat mengelakkan diri dari sebarang penyakit.

Hadis daripada Aisyah radhiallahu’anha, beliau berkata: “Rasulullah SAW jika beliau ingin tidur dalam keadaan junub, beliau berwudhu dahulu. Dan ketika beliau ingin makan atau minum beliau mencuci kedua tangannya, baru setelah itu beliau makan atau minum.” - (Hadis riwayat Abu Daud).

Hal ini dituntut juga usai kita menyantap makanan, sebagaimana sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang tidur (bermalam) dan di tangannya masih terdapat bau lemak daging, lalu dia ditimpa sesuatu. Maka, janganlah dia mencela sesiapa pun melainkan dirinya sendiri.” - (Hadis riwayat al-Tirmizi).



Membaca doa sebelum makan bertujuan untuk mendapat keberkatan pada setiap rezeki yang dinikmati itu.

3. Membaca Bismillah dan doa sebelum makan

Hal ini kerana setiap amalan yang dimulakan dengan bismillah akan mendatangkan keberkatan pada amalan tersebut. Sabda Nabi SAW: “Setiap perkara yang tidak dimulai dengan memuji Allah, (Bismillah) maka amalan tersebut akan terputus.” - (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Imam Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’ menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan terputus di dalam hadis ini adalah kurangnya keberkatan. Rasulullah SAW amat mementingkan bacaan bismillah ketika makan. Pernah suatu ketika rasulullah SAW menasihati seorang anak kecil dengan bersabda: “Ucapkanlah Bismillah dan makanlah dengan tangan kananmu serta makanlah dari makanan yang ada di dekatmu.” - (Muttafaq Ilaih).

Berdasarkan hadis ini jelas bahawa kita dituntut untuk membaca bismillah ketika makan. Seseorang yang tidak membaca bismillah, maka syaitan akan bersamanya khususnya ketika mana beliau sedang makan.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang memasuki rumahnya dan berzikir kepada Allah ketika ia masuk dan ketika akan makan, maka syaitan berkata: “Tidak ada kesempatan menginap dan makan malam bagi kalian.” Apabila ia masuk rumahnya namun ia tidak berzikir kepada Allah, maka syaitan berkata: Kalian mendapatkan tempat menginap” apabila ketika makan tidak berdoa, maka syaitan berkata: “ Kalian mendapatkan tempat menginap dan makan malam” (Hadis riwayat Muslim).



Jangan mencerca makanan jika tidak menyukainya.

4. Tidak mencela makanan yang tidak disukai

Islam melarang keras kita mencela sebarang rezeki yang dikurniakan. Jikalau tidak berminat dengan makanan yang disediakan, harus diam dan meninggalkannya sahaja. Abu Hurairah RA berkata: “Rasulullah SAW tidak pernah sedikit pun mencela makanan. Apabila baginda berselera, baginda memakannya. Dan jika baginda tidak menyukainya, maka baginda meninggalkannya.” - (Muttafaq Ilaih).



Elak makan dalam keadaan tergopoh gapah kerana ia juga tidak baik untuk proses pencernaan.

5. Tidak makan dengan tergopoh gapah

Hal ini kerana tergopoh gapah adalah sebahagian daripada sifat syaitan. Selain itu, perlu diketahui bahawa organ pencernaan dalam badan juga akan menjadi tidak sempurna apabila seseorang itu makan dengan tergopoh gapah.

Makan menggunakan tangan kanan dan tidak boleh dialihkan kecuali uzur. Hal ini sebagaimana sabda Nabi SAW: “Jika seseorang antara kalian makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika minum, maka hendaknya juga minum dengan tangan kanannya, kerana syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya pula.” - (Hadis riwayat Muslim).

6. Mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT atas kurniaan nikmat makanan yang diberikan

Tujuan kita berdoa dan memuji Allah SWT setelah makan adalah sebagai tanda kesyukuran terhadap rezeki yang telah dikurniakan-Nya.

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa memakan makanan kemudian berdoa: Segala puji bagi Allah yang telah memberikan makanan ini kepadaku sebagai rezeki, tanpa daya dan kekuatan dariku. Maka akan diampuni dosanya yang lalu dan yang akan datang” (Hadis riwayat al-Tirmidzi, Abu Daud, Ibn Majah dan al-Darimi).

Apabila kita bersyukur terhadap satu nikmat Allah SWT pasti Allah SWT akan menambah nikmat bagi kita lagi. Firman Allah SWT: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras." - (Surah Ibrahim ayat 7).

Ini adalah tujuh adab utama yang dapat dikongsikan berkaitan adab makan yang diamalkan oleh baginda SAW. Masih terdapat banyak lagi yang tidak dinukilkan disini namun telah dinukilkan oleh para ulama di dalam kitab-kitab mereka. Mudah-mudahan kita dapat sama-sama berusaha untuk mengamalkan adab-adab ini ketika makan nanti.

***Muhammad Hafizi Rozali adalah pensyarah di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain