suria

Elak tanggung dosa bagi lelaki berpakaian wanita walaupun sekadar parodi untuk jual produk... Haram hukumnya!

Ada merasakan perkara itu tidak bercanggah kerana mereka bukan menjadi wanita atau lelaki sebenar hanya berpakaian sahaja.

MATLAMAT tidak menghalalkan cara. Itulah ungkapan yang boleh diberikan kepada mereka yang mahu melakukan sesuatu perkara untuk tujuan baik tetapi menggunakan cara salah dengan melanggar hukum hakam agama.

Kebelakangan ini menyaksikan lelaki Islam berpakaian wanita atau wanita Islam yang berpakaian menyerupai lelaki menjadi satu kebiasaan bagi mempromosikan barang atau untuk membuat bahan lawak.

Ini kerana, mereka merasakan bahawa perkara itu tidak bercanggah kerana mereka bukan menjadi wanita atau lelaki sebenar hanya berpakaian sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Kalau nak perniagaan lebih berkat, elak papar iklan berbaur lucah, ‘double meaning’ dan imej wanita seksi

Larangan bagi seorang lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya ada di dalam sebuah hadis Baginda Rasulullah. Sabda Baginda: Allah melaknat laki-laki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai laki-laki. - [HR Bukhari 5435].

Perlu difahami perkataan laknat yang disebutkan di dalam hadis ini mempunyai makna dan impak yang sangat besar bagi mereka yang memikirkan ancaman daripada Baginda Rasulullah.

Kata para alim ulama perkataan laknat seperti di dalam hadis ini bererti jauh daripada kerahmatan Allah, jauh daripada kemuliaan Allah dan jauh daripada keampunan Allah.

Perlu kita ketahui bahawa pakaian dikhususkan kepada wanita atau pakaian yang dikhususkan kepada lelaki dalam sesebuah masyarakat menjadi haram jika dipakai oleh berlainan jantina.



Terdapat beberapa perkara yang dilarang bagi lelaki menyerupai wanita atau sebaliknya.

Contohnya seperti baju kurung atau baju kelawar yang telah diketahui umum dalam masyarakat merupakan pakaian bagi wanita maka haram dipakai bagi golongan lelaki begitu juga pakaian sebaliknya bagi pakaian lelaki tidak boleh dipakai oleh kaum wanita.

Terdapat satu kaedah yang boleh menjadi panduan kepada kita ialah: Semua perkara yang telah dikhususkan untuk lelaki dari sudut syarak atau adat maka wanita ditegah memakainya dan semua perkara yang telah dikhususkan untuk wanita dari sudut syarak atau adat maka lelaki ditegah memakainya.

Sabda baginda Rasulullah mengenai hikmah berpakaian adalah bertujuan untuk memperlihatkan keistimewaan seseorang yang merupakan anugerah yang terhebat daripada Allah.

Sesungguhnya kamu akan menemui sahabat-sahabat kamu, maka perelokkan kenderaan kamu, perelokkan pakaian kamu, hingga seolah-olah kamu seorang manusia istimewa di tengah-tengah manusia yang lain kerana Allah tidak suka keburukan dan tindakan-tindakan yang mencerminkan keburukan. - [HR Ahmad 16966].

Islam yang syumul datang memberi garis panduan kepada manusia secara keseluruhannya untuk memberi kebaikan kepada manusia di dunia mahupun di akhirat.

Perkara-perkara yang dilarang lelaki menyerupai perempuan atau sebaliknya adalah seperti berikut:

a) Mengubah bentuk fizikal termasuk menukar jantina

b) Gaya berjalan dan gerak badan

c) Percakapan dan suara

d) Perhiasan

e) Pakaian



Semua perkara yang telah dikhususkan untuk lelaki dari sudut syarak atau adat maka wanita ditegah memakainya dan sebaliknya.

Antara hikmah larangan ini ialah:

1. Menjauhi akhlak yang tidak baik kerana wanita mempunyai sifat semula jadi dan begitu juga bagi lelaki mempunyai identiti yang berbeza dari wanita.

2. Supaya tidak ada di dalam diri sifat menyalahkan takdir Allah kenapa Allah jadikan mereka lelaki atau wanita dan tidak meredai dengan ciptaan Allah.

3. Tidak mengelirukan masyarakat dengan pakaian mereka seperti seorang lelaki berpakaian wanita. Apabila mereka menggunakan tandas wanita maka ia akan menyebabkan perkara yang tidak diingini akan berlaku.

4. Agar tidak mengikut kaum Nabi Luth yang mana lelaki menyukai lelaki dan perempuan menyukai perempuan. Maka Islam mencegahnya dari awal lagi.

Perlu kita ketahui bahawa dunia ini hanya sementara dan akhirat kekal selama-lamanya. Dek kerana keuntungan yang sedikit maka ada dalam kalangan kita yang sanggup melanggar batasan syarak dengan berkelakuan dan berpakaian wanita walaupun dalam keadaan berlakon atau untuk mempromosikan barang ataupun semata-mata parodi sahaja.

Allah mengingatkan kepada kita mengenai mereka yang hanya mencari dunia sehingga melupakan akhirat seperti yang disebutkan di dalam Surah Yunus ayat 7 dan 8:

(7) Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami.

(8) Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan

Maka janganlah disebabkan habuan dunia dan kesenangan di dunia semata-mata maka kita melanggar hukum hakam. Bersegeralah bertaubat kepada Allah kerana Allah Maha penerima taubat hamba-hambanya.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain