suria

Kerja rumah sebenarnya tugas siapa?

Lelaki sepatutnya membantu isteri melakukan kerja rumah.

PERBAHASAN mengenai mengemas rumah adalah satu perkara yang telah yang dibincangkan oleh para alim ulama'. Ini kerana adakah menjadi kewajipan bagi seorang isteri untuk melakukan kerja-kerja rumah manakala suami pula hanya mencari nafkah. Ataupun ia juga sebenarnya adalah tugas suami yang mana diketahui kewajipannya perlu mencari nafkah.

Oleh yang demikian ustaz akan membahaskan secara terperinci dan memberikan panduan bagi mereka yang menghadapi masalah ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Panggilan yang mesra, lakukan ibadah bersama-sama wujudkan rasa cinta bersama pasangan

Tidak ada perbezaan pandangan ulama' yang mengatakan bahawa harus seseorang isteri itu untuk melakukan kerja-kerja rumah bagi membantu suaminya melainkan para alim ulama' berselisih pandangan adakah ia menjadi kewajipan ataupun tidak.

Pada pandangan jumhur ulama' iaitu dalam mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian pandangan dalam mazhab Maliki mengatakan bahawa tidak menjadi kewajiban bagi seorang isteri untuk melakukan kerja rumah akan tetapi yang lebih baik adalah seorang isteri perlu membantu seorang suami dengan melihat adat setempat.



Bagi isteri yang mempunyai kerjaya dan perlu menguruskan rumah dan melayan suami dan anak-anak adalah tanggungjawab besar.

Jika adat setempat itu menganggap wanita perlu melakukan kerja rumah seperti membasuh baju, menyapu dan membersihkan rumah maka menjadi keutamaan bagi wanita itu untuk melakukannya.

Adapun pada pandangan Mazhab Hanafi adalah wajib bagi seorang isteri untuk berkhidmat kepada suaminya.

Bagi menyelesaikan isu ini maka seharusnya pasangan suami isteri berbincang di antara satu sama lain bagi mengharmonikan kehidupan rumah tangga mereka. Seorang suami tidak seharusnya membebankan seorang isteri dengan pekerjaan-pekerjaan yang tidak mampu dilakukannya. Bagaimana mungkin seorang isteri bekerja mencari nafkah dan dalam masa sama mereka perlu melakukan kerja-kerja rumah dan melayan tuntutan suami.

Seorang isteri pula perlu mengasihani seorang suami yang telah berpenat lelah untuk mencari nafkah untuk diberikan kepada keluarga dan janganlah pula kita beratkan dengan kerja-kerja rumah yang boleh kita lakukan sendiri.

Maka di sini terdapat beberapa cadangan untuk mengatasi masalah ini:

1. Perbincangan bersama

Pastikan perbincangan ini berpaksikan kasih sayang dan elakkan daripada menggunakan perkataan tuduh-menuduh atau salah-menyalahkan antara satu sama lain. Perbincangan yang baik akan menghasilkan natijah yang baik.

Firman Allah di dalam Surah Al-Imran ayat 159: Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

Kita diminta untuk sentiasa bermesyuarat bukan sahaja dari sudut ketenteraan bahkan dalam semua urusan dunia supaya hasil perbincangan tadi akan dapat dilaksanakan dengan baik.

Maka seharusnya pasangan suami isteri berbincang dengan baik mengenai segala pemasalahan yang timbul supaya kehidupan rumahtangga akan menjadi lebih harmoni.

2. Berzikir untuk menjadikan kita lebih bertenaga

Zikir merupakan makan bagi rohani. Rohani yang lemah akan membuatkan segala-galanya lemah. Oleh kerana itu Baginda Rasulullah pernah mengajarkan kepada anaknya Fatimah satu zikir supaya dapat menjadikan ia lebih cergas.

Fatimah mengadukan kepada Baginda Nabi perihal tangannya yang melecet akibat menguli gandum, maka Fatimah datang kepada Baginda dan meminta seorang pembantu (orang gaji), tetapi Fatimah tidak menemui Baginda, lalu Fatimah meninggalkan pesan kepada Aisyah.

Ketika Nabi pulang, Aisyah pun menyampaikan pesan kepada Baginda. Ali memberitahu: "Kemudian Baginda datang kepada kami ketika kami tengah berbaring (di tempat tidur), maka aku pun bangkit berdiri, namun Baginda bersabda: Tetaplah pada tempat kalian berdua. Kemudian baginda duduk di samping kami sampai aku merasakan dinginnya kedua telapak kaki baginda, lalu baginda bersabda: Mahukah aku tunjukkan kepada kalian sesuatu yang lebih baik bagi kalian berdua daripada seorang pembantu, apabila kalian berdua hendak tidur maka bertakbirlah kepada Allah sebanyak tiga puluh tiga kali, bertasbihlah sebanyak tiga puluh tiga kali dan bertahmidlah sebanyak tiga puluh empat, dan ini semua lebih baik buat kalian berdua dari seorang pembantu. [HR Bukhari 5843]

Imam Ibn Hajar ketika mensyarahkan hadis ini mengatakan bahawa suruhan Baginda Rasulullah dengan berzikir sebelum tidur adalah untuk memberikan kekuatan kepada seseorang ataupun dengan berzikir boleh menjadikan kerja seseorang itu lebih mudah serta menjadikan seseorang itu tidak merasai keletihan. (Fathul Bari 506/9)

3. Melakukan kerja bersama-sama

Kesibukkan tidak sepatutnya menjadi alasan seseorang itu untuk tidak melakukan kerja rumah bersama-sama. Carilah ruang yang sesuai untuk membantu pasangan anda di rumah seperti menyapu sampah, mengemas rumah atau menyidai pakaian.

Kekasih Allah iaitu Baginda Rasulullah juga dalam kesibukan memimpin ummah tidak mengabaikan tanggungjawab di rumah.

Aisyah pernah ditanya mengenai perilaku baginda Rasulullah apabila di rumah. Maka kata Aisyah: Baginda suka membantu pekerjaan rumah isterinya, apabila tiba waktu solat, maka baginda akan pergi untuk melaksanakan solat. [HR Bukhari 5579]

4. Mengupah orang gaji

Mengupah orang gaji atau pembantu rumah bagi mereka yang mampu merupakan salah satu jalan penyelesaian yang baik bagi kedua-dua pihak supaya kerja dapat diuruskan dengan baik. Tidaklah menjadi satu kesalahan untuk mengambil orang gaji seperti mana di dalam hadis Fatimah yang meminta kepada Baginda Rasulullah khadam untuk membantunya di rumah.

Oleh yang demikian kesepakatan antara suami dan isteri memainkan peranan penting bagi mencapai keluarga yang harmoni dan berkasih sayang.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain