Ada pihak dakwa boleh berjudi ketika musibah Covid-19 tapi awas, ia tetap haram walaupun terdesak!

Di dalam Islam, berjudi merupakan salah satu perkara yang diharamkan Allah serta termasuk dalam kumpulan dosa-dosa besar.

JUDI adalah permainan yang membabitkan wang dan apa jua keuntungan sebagai bentuk pertaruhan. Dalam agama Islam, ia merupakan salah satu perkara yang diharamkan Allah dan perbuatan itu termasuk dalam kumpulan dosa-dosa besar.

Firman Allah dalam Surah Al-Maídah, ayat 90: (Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

ARTIKEL BERKAITAN: Nak cemerlang dunia akhirat? Fahami 'man jadda wajada' antara 6 syarat menuntut ilmu menurut Imam Al-Shafie

Umum mengetahui kita semua mula menghadapi kesempitan dan tekanan hidup akibat Covid-19. Disebabkan itu, timbul pula individu-individu yang mula mengatakan bahawa judi menjadi halal kerana pihak kerajaan gagal membantu masyarakat.

Mereka menjadikan judi sebagai salah satu pilihan supaya dapat mengaut keuntungan berlipat kali ganda dan dengan alasan untuk keluar daripada permasalahan yang dihadapi.

Mereka juga mengatakan bahawa walaupun sesuatu perkara itu haram, dengan niat yang baik untuk membangunkan ekonomi diri serta untuk membantu diri, maka ia dibolehkan.

Semua ini hanyalah alasan untuk menghalalkan sesuatu yang diharamkan oleh Allah. Sedangkan sesuatu yang diharamkan oleh Allah maka ia tetap haram seperti mana sabda Baginda Rasulullah: Apa sahaja yang dihalalkan oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal dan apa sahaja yang diharamkan-Nya, maka ia pula adalah haram. - [HR Tirmizi 1648].



Ada pihak yang menubuhkan grup sembang untuk mengajar cara-cara bermain nombor ekor.

Dalam satu kaedah ada menyebut "matlamat tidak menghalalkan cara" yang bermaksud walaupun niat kita baik seperti berjudi untuk membantu orang lain, untuk menyelamatkan diri daripada kebinasaan ataupun untuk menunaikan ibadah haji tetapi ia tetap bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Ini disebabkan oleh cara untuk mencapai matlamat itu adalah salah dan ditegah di dalam Islam.

Apabila seseorang itu diuji oleh Allah dengan kemiskinan maka seharusnya dan sewajibnya mereka kembali kepada Allah dan terus berusaha.

Di sana juga ada jalan-jalan lain yang telah disediakan bagi mereka yang dalam kesusahan hidup antaranya bantuan daripada baitulmal, pusat zakat, masjid-masjid ataupun orang ramai yang rata-rata sangat pemurah dan dermawan.

Maka tidak ada alasan seseorang itu untuk berjudi bagi mencapai matlamat kekayaan. Sepatutnya ia perlulah diperoleh daripada berkat usaha sendiri dengan melakukan perniagaan atau apa jua yang dihalalkan oleh Allah bagi mencapai kesenangan dunia dan juga di akhirat.

Hikmah pengharaman judi yang disebutkan oleh para alim ulama ialah:

1. Dapat mengelakkan jauh hatinya dari mengingati Allah dan mengerjakan solat kerana disibukkan dengan harapan untuk menang

2. Menjauhkan permusuhan

3. Mengelakkan keruntuhan dan pengabaian hal rumahtangga.

4. Mengelakkan perlakuan dalam bentuk mengambil harta orang lain secara batil.

5. Menjauhkan sifat bermalas-malasan dan membazir waktu.

6. Pertaruhan menimbulkan perasaan ingin cuba menang, terutama setelah mengalami kekalahan sehingga semua harta akhirnya habis digunakan untuk berjudi sehinggakan sanggup menggadaikan isteri dan anak-anak pula.

7. Menjauhkan dari menyimpan dendam kesumat terhadap lawannya yang telah menang dan merampas harta bendanya, sehingga berlakulah permusuhan dan benci-membenci yang berpanjangan di dalam masyarakat

8. Mengelakkan seseorang itu hilang pedoman diri dengan mula meminum arak, mengambil dadah, mencuri dan melakukan perkara-perkara maksiat yang lain.



Bagi yang terjerebak, masih belum terlambat untuk bertaubat.

Kebelakangan ini juga permainan judi juga sudah mula hinggap dan bakal menjadi barah dalam masyarakat. Mereka mengatakan hanya untuk berhibur sedangkan lama-kelamaan akan timbul keinginan untuk mencuba nasib. Inilah bahayanya apabila kita mengambil mudah dalam perkara-perkara maksiat.

Nabi bersabda: Sesiapa mengatakan kepada temannya: ‘Marilah kita bermain judi!’ Maka hendaklah dia bersedekah (sebagai kaffarah). - [HR Bukhari 4860].

Imam Nawawi berkata: Ulama menyebut bahawa perintah bersedekah adalah sebagai penghapus kesalahannya pada perkataannya dalam maksiat ini. Al-Khattabi berkata, maksudnya bersedekahlah dengan kadar ajakan untuk berjudi/bertaruh tersebut.

Imam Nawawi kemudian berkata: Yang benar di sisi ahli muhaqqiq – dan ia adalah zahir hadis – bahawa tidaklah dikhususkan dengan kadar tersebut, bahkan bersedekahlah dengan apa yang dia mampu. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 11/107)

Oleh itu, marilah sama-sama saling mengingati antara satu sama lain bahawa arak dan judi ini adalah perkara yang sia-sia. Malah ia akan mendatangkan kemudaratan dan kesan negatif kepada diri sendiri serta orang sekeliling.

Bagi mereka yang terjebak, masih belum terlambat untuk bertaubat untuk memohon keampunan Allah. Perbanyakkan berdoa agar kita dan ahli keluarga dijauhkan daripada perkara haram yang tentunya dimurkai Allah.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Sebelum

Kerja rumah sebenarnya tugas siapa?

Artikel Berkaitan

Artikel Lain