suria

Ramai belum tahu, ada peraturan dan larangan tentang Maulidur Rasul di Malaysia

Majlis atau program berkaitan dengan Maulidur Rasul masih lagi diadakan bertujuan sebagai kempen agar umat Islam sedar tentang kepentingan sunnah dan ajaran Nabi SAW.

UMAT Islam telah menyambut Maulidur Rasul pada 12 Rabiul Awal yang lalu. Namun, majlis atau program berkaitan dengannya masih lagi diadakan bertujuan sebagai kempen agar umat Islam sedar tentang kepentingan sunnah dan ajaran Nabi SAW.

Di Malaysia terdapat fatwa-fatwa berkaitan Maulid Nabi SAW. Dalam laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 11 Disember 2016 bertajuk ‘Hukum Menyambut Maulid Al-Rasul’, disimpulkan bahawa sambutan Maulid al-Rasul adalah harus dan termasuk dalam bidaah hasanah (bidaah: ia tidak dilakukan oleh Nabi SAW, hasanah: hukumnya baik).

ARTIKEL BERKAITAN: Maulidur Rasul tanda cinta kepada Nabi Muhammad SAW... Ambil tahu 8 sebab kenapa menyambutnya, faham dan amalkan

Namun, sambutannya mesti mengandungi pengisian yang baik seperti tazkirah dan ceramah, tiada percampuran lelaki dan perempuan, menutup aurat dan tiada unsur maksiat.

Di samping itu, terdapat juga fatwa berkenaan larangan membidaahkan sambutan Maulid Nabi SAW. Fatwa tersebut telah diputuskan antaranya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada 25 Mei 2012, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 22 April 2015, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang yang bersidang pada 4 Januari 2016, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah Darul Aman yang bersidang pada 20 Mac 2016, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang bersidang pada 31 Mei 2016 dan Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah yang bersidang pada 23-24 Mei 2017.

Sebagai contoh, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah Darul Aman, berkenaan Fatwa Mengenai Pembidaahan kepada Amalan-amalan Ahli Sunnah Waljamaah, dinyatakan terlebih dahulu berkenaan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah yang termaktub dalam perkara 33A, Undang-undang Tubuh Negeri Kedah Tahun 1959.



Sambutan Maulid Nabi mesti mengandungi pengisian yang baik seperti tazkirah dan ceramah, tiada percampuran lelaki dan perempuan, menutup aurat dan tiada unsur maksiat.

Fatwa di Kedah ini memperincikan aliran Ahli Sunnah Waljamaah yang dimaksudkan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Kedah tersebut iaitu;

1. dari segi aqidah, berpandukan kepada manhaj Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi;

2. Dari segi syariat, berpandukan kepad mazhab Imam al-Syafie, manakala tiga mazhab yang muktabar iaitu Hanafi, Maliki dan Hanbali boleh dirujuk dan digunakan dalam menyelesaikan masalah-masalah tertentu; dan

3. Dari segi tasawuf, hendaklah berpegang dengan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali, manakala aliran tasawwuf muktabar yang lain boleh diamalkan selagi ia tidak bertentangan aliran Ahli Sunnah Waljamaah.

Menurut fatwa tersebut, ciri-ciri amalan yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Waljamaah ialah membidaahkan pelbagai amalan dan ajaran Ahli Sunnah Waljamaah yang bersifat khilafiyyah (boleh berbeza pandangan).



Selawat yang tidak warid (yang tidak disusun oleh Nabi SAW tetapi disusun oleh para ulama) antara amalan yang dilarang untuk dibidaahkan. - Gambar Sekadar Hiasan

Antara amalan yang dilarang untuk dibidaahkan ialah majlis perarakan Maulid Rasul, majlis sambutan memperingati Maulid Rasul, berzanji, burdah dan marhaban dan selawat yang tidak warid (yang tidak disusun oleh Nabi SAW tetapi disusun oleh para ulama) dalam majlis Maulid Rasul.

Fatwa yang telah diwartakan pada 10 November 2016 ini memutuskan bahawa, mana-mana orang Islam yang melakukan perkara tersebut adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa di Negeri Kedah Darul Aman.

Di samping itu, terdapat fatwa yang mengharamkan sambutan Maulidur Rasul kerana mengandungi aktiviti yang bercanggah dengan Islam.

Contohnya di Melaka pada 2009, Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa telah sebulat suara bersetuju memutuskan terdapat unsur-unsur bidaah dan khurafat yang boleh membawa kepada kerosakan akidah dan syirik serta amalan-amalan yang bercanggah dengan syariah dan akhlak Islam.

Contohnya penjualan poster yang didakwa sebagai gambar para sahabat Nabi SAW iaitu Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA, Saidina Umar al-Khattab RA, Saidina Uthman al-Affan RA dan Saidina Ali bin Abi Talib RA, meletak dan memasang colok di atas kubur dan berlaku percampuran lelaki dan perempuan bukan muhrim yang duduk bersama-sama semasa majlis maulud.

Kesimpulannya, majoriti ulama menyatakan hukumnya sunat atau harus atau bidaah hasanah atau dalam bahasa mudahnya ia dibenarkan tiada masalah.

Namun, ia perlu dilaksanakan berdasarkan garis panduan yang dibenarkan oleh syarak. Umat Islam juga dilarang untuk membidaahkan sambutan Maulidur Rasul ini di samping tidak menyelitkan aktiviti yang bercanggah dengan Islam.

***Dr. Mohd Hasrul Shuhari adalah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain