suria

Sesungguhnya tiada batasan pengorbanan Rasulullah... ketahui 6 amalan melayakkan kita bersama baginda di negeri abadi

Jika ingin bersama Baginda Rasulullah di syurga kelak, sama-sama kita perbaiki diri ke arah lebih baik. - Gambar Sekadar Hiasan

RASULULLAH SAW merupakan seorang kekasih yang sangat dicintai dan dirindui oleh umat Islam. Keperibadian baginda menyebabkan ramai yang terpesona dan mengaguminya. Ini dibuktikan dengan kesabaran yang ada pada Rasulullah seperti yang disebutkan Allah di dalam Al-Quran Surah Al-Ahqaf ayat 35:

(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul "Ulil-Azmi" (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu).

ARTIKEL BERKAITAN: Maulidur Rasul tanda cinta kepada Nabi Muhammad SAW... Ambil tahu 8 sebab kenapa menyambutnya, faham dan amalkan

Jika kita menyingkap sejarah Rasulullah, bagaimana baginda dimaki, dicerca, dipulaukan sehinggakan pernah jasadnya berdarah dibaling dengan batu dek kerana ingin menyampaikan dakwah Islamiah.

Besar sungguh pengorbanan mu ya Rasulullah sehinggakan kami ingin sekali duduk bersamamu di dalam syurga. Tetapi apakah amalan yang boleh menyebabkan kami dapat bersama baginda?

Di sini dikongsikan enam amalan yang boleh melayakkan kita bersama baginda Rasulullah;

1) Seseorang akan duduk bersama dengan siapa yang mereka sayang

Apabila timbul rasa sayang kita pasti seboleh-bolehnya enggan berpisah dengan mereka. Jika seseorang itu sudah sayang maka mereka sanggup untuk melakukan apa sahaja. Seorang ayah akan melakukan apa sahaja untuk kebahagiaan keluarganya. Seorang isteri akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga keluarganya.

Begitu juga dengan kita, jika kita mahu duduk bersama Rasulullah di dalam syurga maka sentiasalah menyayangi baginda dengan mengamalkan ajaran Islam dengan sebenar.

Daripada Anas bin Malik, seseorang berkata: Wahai Rasulullah, bila terjadinya kiamat? Baginda Rasulullah bersabda: Apa yang kau telah persiapkan? Dia menjawab, cinta Allah dan Rasul-Nya. Rasulullah menjawab: Kamu bersama yang kau cintai. [HR Ahmad 12574]

2) Perbanyakkan sujud

Sujud merupakan salah satu cara untuk mendekatkan diri kita kepada Allah. Dengan memperbanyakkan sujud kepada Allah kita akan disayangi oleh Sang Pencipta. Maka dengan kasih sayang itu akan menyebabkan doa kita didengari. Mintalah pada Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Pengampun.

Abu Salamah telah menceritakan kepadaku Rabi'ah bin Ka'ab al-Aslami dia berkata: "Saya bermalam bersama Rasulullah, lalu aku membawakan air wuduknya dan air untuk hajatnya, maka beliau bersabda kepadaku, Mintalah kepadaku. Maka aku berkata: Aku meminta kepadamu agar aku menemanimu di syurga. Baginda berkata: Atau selain itu. Aku menjawab: Itulah yang dia katakan-maka. Baginda menjawab: Bantulah aku untuk mewujudkan keinginanmu dengan banyak melakukan sujud. [HR Muslim 754]

3) Mentaati Rasul akan menyebabkan kita ikut baginda ke dalam syurga

Daripada Aisyah dia telah berkata: Telah datang seorang lelaki kepada baginda Rasulullah dan berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mencintai engkau lebih daripada aku mencintai diriku, aku mencintai engkau melebihi ahli keluargaku, aku mencintai engkau lebih daripada kedua ibu bapaku dan apabila aku di rumah aku akan menyebut-yebut namamu dan aku tidak sabar untuk bertemu denganmu dan melihatmu.

Apabila aku mengingati matiku dan matimu, maka aku mengetahui bahawa matimu akan masuk ke dalam syurga dan diangkat bersama para nabi dan ada pun matiku jika aku masuk ke dalam syurga aku khuatir aku tidak dapat melihat kamu.

Apabila baginda Rasulullah mendengar apa yang dikatakan lelaki itu maka baginda tidak menjawabnya sehingga datang Malaikat Jibril dengan membawa ayat 69 Surah An-Nisa’:

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat). [HR Thobari 477]

4) Perbaiki akhlak

Sesungguhnya Rasulullah dibangkitkan oleh Allah kepada umat ini bukanlah untuk menyeru umat kepada pengabdian diri kepada Allah semata-mata. Baginda juga diutuskan untuk memperbaiki akhlak umat ini.

Dengan ini, akhlak merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia bahkan kemuliaan dan penghormatan bangsa atau umat adalah kerana akhlaknya.

Baginda Rasulullah bersabda: Orang yang paling saya cintai dan yang paling dekat denganku (kelak di akhirat) adalah orang yang paling baik akhlaknya. Dan orang yang paling saya benci dan paling jauh denganku (kelak di akhirat) adalah orang yang paling buruk akhlaknya. Iaitu mereka yang banyak berbicara dan suka mencemuh manusia dengan kata-katanya. [HR Ahmad 17077]

5) Menjaga anak yatim

Menjaga anak yatim boleh menyebabkan kita duduk bersama baginda Rasulullah. Menjaga bererti kita mengasihani mereka, mengambil berat dan memberi kasih sayang. Ini merupakan amalan yang sungguh besar disisi Allah.

Sabda Baginda Rasulullah: Aku dan orang yang menjaga anak yatim berada di syurga seperti ini. Baginda mengisyaratkan dengan kedua jarinya iaitu telunjuk dan jari tengah. [HR Bukhari 5546]

6) Menjaga anak perempuan dengan baik

Seseorang yang mempunyai anak perempuan atau adik beradik perempuan, maka jagalah mereka dengan baik. Ini kerana peluang untuk duduk bersama baginda Rasulullah tersangatlah cerah.

Rasulullah bersabda: Barangsiapa yang menafkahi serta mendidik dua atau tiga anak perempuan atau dua saudara perempuan atau tiga hingga mereka meninggal atau dia meninggal maka dia akan bersamaku seperti dua jari ini, dan baginda Rasulullah menunjukkan dengan jari telunjuknya dan jari tengah. [HR Ahmad 12041]

Telah dilahirkan sang kekasih di mana tidak akan ada lagi kelahiran seperti baginda. Rebutlah peluang yang ada untuk bersama Rasulullah di syurga nanti.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain