suria

Tuntut ilmu itu wajib bagi umat Islam tapi perlu disertai niat kerana Allah supaya tidak memakan diri

Menuntut ilmu adalah keikhlasan niat kepada Allah SWT.

ILMU merupakan perkara yang sangat diperlukan oleh manusia khususnya umat Islam untuk mencapai kebaikan dan kesejahteraan di dunia mahupun di akhirat.

Ia adalah tuntutan daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW kepada seluruh umat Islam sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Taubah yang bermaksud: “Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya ” (Surah al-Taubah ayat 122) dan sabda Nabi SAW: “Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap kaum muslimin” (Hadis riwayat al-Imam Ibnu Majjah).

Berdasarkan dalil-dalil yang disebutkan, maka jelas tuntutan mencari ilmu itu adalah wajib bagi seluruh umat Islam baik muslimin mahupun muslimat.

ARTIKEL BERKAITAN: Hargailah nikmat akal dikurniakan Allah sebaik-baiknya, jika salah pandu ia akan menurut hawa nafsu

Maka ketika mana kita menuntut ilmu Allah SWT, pasti ada adab-adab yang perlu dijaga supaya pada akhirnya kita mencapai kebaikan ilmu yang telah dijanjikan.

Ulama telah mengatakan bahawasanya “al-Adab qabla al-Tolab” yang bermaksud adab sebelum menutut, jelas menunjukkan akan kepentingan menjaga adab sebelum menuntut ilmu.

Lihat sahaja bagaimana manusia yang ingin menuntut ilmu Allah SWT tetapi tidak beradab dengan ilmu tersebut jelas memakan diri sendiri pada akhirnya.

Para ulama telah mengarang banyak kitab mengenai adab menuntut ilmu misalnya kitab Ta’lim al-Muta’alim karangan al-Imam al-Zarnuji rahimahullah yang banyak diajarkan di pondok-pondok, pesantren dan masjid-masjid di nusantara.



Kita didedahkan dengan ilmu sejak dibangku sekolah.

Di dalam kitab ini banyak menyebutkan tentang adab-adab ketika menuntut ilmu yang perlu diamalkan dan diraikan sebagai seorang penuntut ilmu seperti adab bersama guru, adab bersama ilmu, adab bersama kitab, dan lain-lain lagi.

Namun begitu, adab yang paling utama perlu ditekankan oleh para penuntut ilmu dan pengajar ilmu itu sendiri iaitu keikhlasan niat kepada Allah SWT.

Hal ini sebagaimana firman Allah SWT: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya....” (Surah al-Bayyinah ayat 5).

Menuntut ilmu adalah sebahagian daripada ibadah, justeru ketika mana kita melaksanakan sebarang ibadah, maka niatlah yang paling diutamakan.

Kebanyakan para ulama jika dilihat, sebelum mereka memulakan perbahasan kitab, mereka akan memulakan dengan menyebut perihal niat terlebih dahulu.

Hal ini kerana, niat adalah adalah adab yang paling agung dalam menuntut ilmu di samping dapat mengingatkan kepada diri mereka agar sentiasa ikhlas kerana Allah SWT ketika menulis dan mengarang kitab.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Amal itu tergantung niatnya, dan seseorang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan barang siapa yang hijrahnya karena dunia atau kerana wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya itu sesuai ke mana ia hijrah” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hadis ini, dapat difahami bahawa setiap perkara dan amalan yang dilakukan, dihitung berdasarkan niatnya.

Maka kita sebagai penuntut ilmu secara amnya ketika menuntut ilmu, perlulah berniat ikhlas hanya kerana Allah SWT semata-mata bukan kerana kebendaan sambil berharap dengan ilmu yang dipelajari dapat memperbaiki diri yang jahil dan dapat menyebarkannya kepada orang lain.



Niat adalah adalah adab yang paling agung dalam menuntut ilmu.

Al-Imam Ahmad ibn Hanbal ketika ditanya mengenai perihal niat menuntut ilmu mengatakan: “Ilmu itu tidak ada yang mampu menandingi pahalanya bagi orang yang benar niatnya (ketika mencari ilmu). Mereka bertanya: “Bagaimana niat menuntut ilmu dikatakan benar wahai Imam Ahmad? Kata beliau: Jika engkau niatkan dalam menuntut ilmu tersebut mengangkat kejahilan pada diri sendiri dan kejahilan orang lain”.

Dalam bab ibadah sahaja sudah ramai tergelincir dalam bab keikhlasan apatah lagi dalam menuntut ilmu. Terkadang melihat seorang yang dikagumi dari segi keilmuannya dan disanjung akan masyarakat atas kehebatannya, maka diri juga turut berasa ingin dimuliakan sedemikian, maka ketika itulah datang ketidak ikhlasan kedalam hati.

Justeru, kita sebagai umat Islam perlulah berusaha menjauhinya dan sentiasa berhati-hati agar tidak digolongkan kedalam golongan ketiga yang akan didahulukan masuk ke neraka Allah SWT di hari kiamat kelak.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: “...Berikutnya orang (yang diadili) adalah seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatannya, maka ia pun mengakuinya. Kemudian Allah menanyakannya, Amal apakah yang telah engkau lakukan dengan kenikmatan-kenikmatan itu?’

Ia menjawab, ‘Aku menuntut ilmu dan mengajarkannya serta aku membaca al-Quran hanyalah kerana Engkau.’ Allah berkata, ‘Engkau dusta! Engkau menuntut ilmu agar dikatakan seorang alim (yang berilmu) dan engkau membaca al-Quran supaya dikatakan seorang qari’ (pembaca al-Qur-an yang baik). Memang begitulah yang dikatakan (tentang dirimu).’ Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeret atas mukanya dan melemparkannya ke dalam neraka.’ - (Ringkasan petikan hadis berkenaan tiga golongan pertama yang akan masuk ke neraka Allah SWT yang diriwayatkan oleh Imam Muslim).

Sebagai rumusan, marilah kita bersama-sama berusaha sedaya upaya membetulkan niat dan mengikhlaskan diri kita hanya kerana Allah SWT dalam melakukan sebarang amalan khususnya dalam bab menutut ilmu supaya pada akhirnya kita mampu memperoleh redha Allah SWT di dunia mahupun di akhirat.

***Muhammad Hafizi Rozali adalah pensyarah di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain