Maulidur Rasul tanda cinta kepada Nabi Muhammad SAW... Ambil tahu 8 sebab kenapa menyambutnya, faham dan amalkan

Sebahagian generasi muda yang menyertai perarakan bersempena Maulidur Rasul.

TANGGAL 29 Oktober 2020 atau lebih tepatnya pada 12 Rabi’ul awwal 1442 Hijrah seluruh umat Islam di seluruh dunia menyambut sambutan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Pelbagai program berbentuk kerohanian mahupun kemasyarakatan seperti pembacaan qasidah, selawat, berzanji, perarakan dan lain-lain lagi dirancang untuk menzahirkan rasa syukur umat Islam kepada Allah SWT atas kelahiran insan agung dan mulia ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tuntut ilmu itu wajib bagi umat Islam tapi perlu disertai niat kerana Allah supaya tidak memakan diri

Seorang pendakwah bebas bernama Habib Nael Ben Taher yang mana kata-katanya telah dinukilkan oleh Latifah Arifin melalui sebuah akhbar 2018 telah mengatakan bahawasanya: “Jika ada pihak yang mengatakan sambutan Maulidur Rasul sekadar budaya, maka sesungguhnya ia sebaik-baik adat dan budaya. Sehingga saat ini, begitu banyak negara yang menyambut Maulidur Rasul sejak turun-temurun di seluruh dunia seperti Indonesia, India dan Mesir. Tujuannya adalah untuk menggerakkan semangat dan menyemai cinta serta rindu yang sejati kepada Rasulullah SAW. Ini kerana jika kita sentiasa ingat kepada Rasulullah SAW, kemuliaan itu akan kembali kepada kita sendiri kerana Baginda sebenarnya sudah dimuliakan, dicintai dan dirindui Allah SWT.”

Namun begitu, sudah menjadi kebiasaan, setiap amalan baik pasti akan ada tentangannya sama ada secara zahir mahupun secara tersembunyi yang setiap masa cuba menghalang. Maka disini kita cuba menjawab semula satu soalan yang sepatutnya sudah terang dan nyata bagi setiap fitrah yang sejahtera memahami kenapa kita menyambut Maulid Nabi SAW?

Doktor Najmuddin Khalfallah, seorang pensyarah di Universiti Lorraine, Perancis di dalam majalah Jawhar Islam edisi 2016 telah menghuraikan beberapa tujuan sambutan Maulid Nabi Muhammad SAW dilaksanakan, dan ia dapat dirumuskan seperti berikut:



Apabila diizinkan Allah untuk berjumpa dengan baginda Rasulullah mungkin tidak ada perkataan yang akan terkeluar dari mulut kita kecuali linangan air mata kegembiraan.

1. Mengambil iktibar dan memperingati sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan pengajaran dan pengorbanan bermati-matian demi menegakkan agama Islam di bumi Allah SWT.

2. Mengenali dan mengetahui peribadi Nabi Muhammad SAW sehingga dapat mengaplikasikannya ke dalam kehidupan seharian seorang muslim.

Hal ini seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” (Surah al-Ahzab ayat 21).

Konteks ayat ini berbentuk umum dan ia merujuk kepada segala perkara yang terkait dengan rasulullah baik dari segi perbuatan, percakapan mahupun adab dan akhlak Rasulullah SAW.



Maulid Nabi dapat memupuk perasaan cinta dan kasih kepada junjungan besar rasulullah SAW yang sentiasa menyayagi dan merindui umatnya.

3. Dapat memperingati tarikh kelahiran Baginda SAW. Hal ini sudah menjadi fitrah manusia bahawa memperingati tarikh kelahiran seseorang adalah tanda kita mengasihi kehidupannya.

4. Mencapai pembersihan hati dan jiwa melalui penghayatan sirah Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan nasihat, pengajaran, akhlak dan pengorbanan Baginda SAW dalam menegakkan agama Allah SWT.

5. Memupuk perasaan cinta dan kasih kepada junjungan besar Rasulullah SAW yang sentiasa menyayangi dan merindui umatnya. Jikalau terdapat perbezaan dalam beberapa perkara berkenaan sambutan Maulid ini, umat Islam semuanya sepakat bahawa wajib mencintai Baginda SAW lebih daripada semua makhluk termasuk diri sendiri, seperti yang termaktub dalam pelbagai sabda Nabi SAW.

6. Mengumpulkan umat Islam secara berjamaah dalam melakukan amal soleh. Kebiasaannya pengisian-pengisian utama yang disajikan di dalam majlis-majlis Maulid Nabi SAW adalah seperti tilawah al-Quran, majlis ilmu, zikir, tasbih, dan lain-lain lagi. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)” (Surah al-Maidah ayat 2).

7. Memperbanyakkan selawat dan pujian ke atas Rasulullah SAW. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (melimpahkan rahmat dan keampunan) ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kalian berselawat (mendoakan rahmat) baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya.” (Surah al-Ahzaab ayat 56).



Perasaan cinta terhadap Nabi perlu dipupuk sejak kecil.

Tambahan lagi, hal ini disemarakkan dengan kelebihan selawat yang disebutkan oleh Nabi SAW: “Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” (Riwayat al-Nasa’i)

8. Menyampaikan pesanan dan peringatan mengenai risalah Islam di tengah-tengah masyarakat. Majlis maulid dianggap sebagai sebuah medan untuk menarik masyarakat untuk bersama-sama berkumpul, mendengar tazkirah, bermuhasabah, berzikir, memberi nasihat serta berselawat ke atas Nabi SAW.

Sebagai rumusan, setelah didatangkan beberapa tujuan utama di sebalik sambutan terhadap sambutan Maulid Nabi SAW, masih ada lagikah segelintir masyarakat yang ingin mempertikaikannya?

Bukankah cinta kepada Nabi SAW adalah cabang cinta kepada Allah SWT seperti mana firman-Nya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah ali-Imran ayat 31).

***Muhammad Hafizi Rozali adalah pensyarah di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain