suria

Solat sunat, menangis cara Ebit Lew tenangkan hati ketika dikecam netizen - “Kalau kita kejar buat kerja baik, Allah bagi rezeki yang tak pernah di sangka”

Pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew akan terus melakukan kerja-kerja kebajikan selagi dia terdaya. - Gambar Ihsan ASTRO

DI sebalik rasa kagum masyarakat terhadap kesungguhan dan usaha murni Ustaz Ebit Lew menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan di seluruh negara terselit kata-kata menyinggung perasaan terhadap pendakwah terkenal itu.

Kata-kata kurang enak seperti menunjuk-nunjuk serta merendah-rendahkan usaha dilakukannya antara komen biasa diterima Ebit setiap kali memuat naik gambar atau video bantuan diberikan di media sosial miliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sedekah, baca 1 huruf al-Quran amalan kecil tapi besar ganjarannya... dibalas pahala 10 hingga 700 kali ganda!

Bagaimanapun Ebit atau Ebit Irawan Ibrahim Lew, 36, berkata, meskipun adakalanya berasa sedih dengan pelbagai tuduhan dilemparkan kepadanya, dia sentiasa teringat akan pengorbanan Nabi Muhammad S.A.W. yang pernah diperlakukan lebih dahsyat berbanding apa dilaluinya dalam mengembangkan syiar Islam.



Ebit meluangkan masa bersama penduduk bagi mendengar keluhan mereka.

"Orang buat macam-macam perkara kepada Rasulullah tetapi Baginda tidak pernah berhenti daripada terus melakukan kerja-kerja dakwah. Jadi buat apa nak korbankan apa saya lakukan hanya kerana kata-kata negatif daripada segelintir masyarakat.

"Saya sentiasa memaafkan mereka ini dan terus fokus membuat kebaikan dan menolong orang di luar sana," katanya.

Solat sunat, menangis kepada Allah antara amalan Ebit Lew

Tambah Ebit, kebiasaannya, dia akan menyekat akaun pengguna yang meninggalkan komen negatif melampau kerana tidak mahu individu tersebut menjadi mangsa kecaman pengikutnya yang ingin mempertahankannya.

Dalam pada itu, Ebit memberitahu dia sentiasa mengamalkan solat sunat dua rakaat seperti Tahajud, Dhuha bagi melapangkan hati serta berdoa agar semua urusannya dipermudahkan Allah.

"Orang mungkin nampak saya banyak bantu orang ramai tetapi sebenarnya apa yang saya lakukan ini sangat kecil berbanding orang lain malah ada yang sudah habiskan seluruh hidup mereka untuk membantu orang lain... Sebab itu saya juga tidak mahu ketinggalan.

EBIT LEW

PENDAKWAH

Selesai solat sunat, Ebit memberitahu dia biasanya akan menangis kepada Allah dan meluahkan semua isi hatinya sekiranya berada dalam keadaan sedih sehingga tertidur.

"Allah sahaja tempat saya mengadu untuk permudahkan apa yang ingin saya lakukan. Menangis mengadu kepada-Nya. Insya-Allah selepas itu akan berasa lega dan lapang dada.

"Segala apa yang ingin kita lakukan selepas itu Insya-Allah tiada masalah, dipermudahkan malah rasa lebih bersemangat," ujarnya.

'Jejak Ebit Lew' mahu tarik lebih ramai buat kebaikan

Ebit memberitahu dia memuat naik kisah di sebalik kerja-kerja kebajikan dilakukan adalah semata-mata untuk mengajak lebih ramai individu berbuat kebaikan dan atas dasar itu juga dia bersetuju untuk terlibat dalam program Jejak Ebit Lew terbitan Astro.

Menerusi program itu juga kata Ebit, ia diharap dapat menarik lebih banyak pihak untuk membantu golongan memerlukan terutamanya di kawasan luar bandar.



Ebit berharap program Jejak Ebit Lew dapat memberi inspirasi kepada orang lain.

"Saya berasa sangat bersyukur dan gembira dapat berkongsi pengalaman dalam program ini dan diharap ia dapat menjadi contoh kepada orang lain untuk turut membuat kebaikan serta menjadi bekalan kita di akhirat kelak.

"Orang mungkin nampak saya banyak bantu orang ramai tetapi sebenarnya apa yang saya lakukan ini sangat kecil berbanding orang lain malah ada yang sudah habiskan seluruh hidup mereka untuk membantu orang lain... Sebab itu saya juga tidak mahu ketinggalan.

"Begitu juga rakyat Malaysia yang lain... Apa saya lihat, masyarakat Malaysia ini semuanya baik hati dan ingin sama-sama buat kebaikan," katanya.

Jejak Ebit Lew ialah sebuah program realiti berkonsepkan majalah memaparkan aktiviti amal kebajikan dan kisah di sebalik tabir perjalanan eksklusif Ustaz Ebit Lew yang turut berkongsi rasa dan cerita dalam menyantuni masyarakat memerlukan bantuan dengan penuh kasih sayang tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agaman sesuai dengan situasi masyarakat yang kini sedang berdepan dengan 1001 ujian akibat pandemik Covid-19.

Ia juga sebenarnya adalah kesinambungan daripada program Door To Door Ebit Lew yang pernah ditayangkan di Astro Oasis sebelum ini.



Ebit mula terlibat dalam kerja-kerja kebajikan sejak berusia 12 tahun.

Program itu juga tidak terikat dengan sebarang skrip mahupun babak-babak komersial kerana misi bantuan disampaikan bersifat spontan. Selain itu, terdapat juga di antara kes-kes yang diterima daripada permohonan secara bersurat serta menerusi emel yang turut disertakan dengan paparan aktif sahih di media sosial.

Bukan sekadar insan memerlukan, Ebit menjaga kebajikan hidupan flora dan fauna. Terbaharu, Ebit menyumbang 200 kilogram daging segar untuk bekalan makanan haiwan selepas menerima permintaan Zoo Negara yang mengalami kekurangan dana akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Ia adalah pengalaman yang paling tak dapat saya lupakan ketika memberi makan kepada harimau... Ngauman harimau membuatkan saya teringat-ingat masa nak tidur," jelasnya.

Buat kerja kebajikan sejak usia 12 tahun

Sebenarnya, usaha Ebit membantu golongan memerlukan bukan perkara baharu, sebaliknya dia mula melibatkan diri dalam kerja kebajikan sejak usianya 12 tahun.

Ketika itu kata Ebit, dia tidak mempunyai sebarang harta namun menggunakan kudrat yang ada untuk membantu golongan memerlukan.



Ebit meredah banjir bagi membantu mangsa terperangkap.

"Ketika itu saya 'sumbangkan' tenaga untuk membantu membuat tandas di kampung-kampung selain saya akan ditugaskan untuk memasak. Saya selalu berdoa kepada Allah agar permudahkan urusan saya dan dapat membantu orang lain ke mana sahaja saya pergi.

"Apabila saya sudah ada beberapa perniagaan, daripada situlah saya peruntukkan wang untuk tujuan ini. Saya selalu fikir, jika ada wang banyak-banyak pun kalau beli rumah kita hanya boleh duduk situ sahaja.

"Sebenarnya tak perlu tunggu kaya pun untuk membantu orang kerana kaya itu bukan pada harta tetapi hati. Wang ini banyak mana pun tidak akan pernah cukup," ujarnya.

Atas dasar itu juga kata Ebit, dia menasihatkan mana-mana individu yang ingin mula melakukan kerja kebajikan sebaik-baiknya mulakan dengan membantu ibu bapa serta ahli keluarga terlebih dahulu.

Ini kerana katanya, jasa ibu bapa dan keluarga tidak boleh terbalas dan sedekah kepada mereka adalah lebih afdal sebelum memperluaskannya kepada orang lain dan masyarakat.



Antara bantuan yang dihulurkan Ebit dan dipaparkan dalam program Jejak Ebit Lew.

"Saya juga selalu pesan kepada golongan muda yang masih tidak bekerja, buatlah kerja kebajikan, InsyaAllah, rezeki akan datang mencurah-curah selepas itu.

"Allah akan hantar rezeki ketika kita menolong orang. Kalau kita kejar buat kerja baik, Allah akan bagi rezeki yang tidak pernah kita sangka," katanya.

Paling penting kata Ebit, sebagai umat Islam kita perlu sentiasa bersangka baik terhadap semua musibah yang melanda kerana dalam setiap perkara yang berlaku itu ada rahmat di sebaliknya.

Jejak Ebit Lew sebanyak 61 episod disiarkan setiap Isnin, pukul 9 malam menerusi saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) selain boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go.

Klip sedutan dan kompilasi paparan isi hati Ebit Lew dapat ditonton melalui kapsul Jejak Xtra Ebit Lew pada setiap hari Isnin, jam 6.55 petang.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain