suria

Sedekah, baca 1 huruf al-Quran amalan kecil tapi besar ganjarannya... dibalas pahala 10 hingga 700 kali ganda!

Islam menganjurkan kita untuk bersedekah walaupun dalam keadaan kesempitan.

MELAKUKAN amalan tanpa bersusah-payah tapi mendapatkan pahala besar kedengaran amat mustahil. Untuk mendapatkan pahala besar tanpa mengeluarkan belanja, keringat dan tenaga ibarat bermimpi di siang hari bagi kebanyakan kita.

Kita seringkali memandang rendah akan amalan-amalan kecil kerana beranggapan apabila perkara kecil dan mudah maka pahalanya pasti sedikit. Kita mungkin tidak sedar atau terlepas pandang sebenarnya banyak amalan-amalan kecil mudah dilakukan tetapi ganjaran pahalanya amatlah besar.

ARTIKEL BERKAITAN: Banyakkan berzikir dan berselawatlah ke atas Nabi terutama pada hari Jumaat... Doa makbul, dosa kecil terhapus

Abdullah bin Mubarak (Ibnu Mubarak) pernah menukilkan: “Betapa banyak amalan yang kecil menjadi besar disebabkan niat dan betapa banyak pula amal yang besar menjadi kecil hanya kerana niat”.

Sebenarnya terdapat beberapa amalan yang mudah dilakukan tetapi menjanjikan pahala besar tanpa perlu mengeluarkan belanja mahal atau tenaga berat. Di sini ustaz datangkan beberapa amalan mudah yang boleh dilakukan dalam setiap hari iaitu:



Empat amalan kecil yang besar ganjarannya.

1) Mendoakan kebaikan orang lain.

Salah satu amalan yang dapat dilaksanakan adalah mendoakan orang lain. Mendoakan kebaikan untuk orang lain tidak akan pernah menjadikan kita miskin atau kurang bahkan akan dibalas ke atas kita dengan kebaikan sama.

Allah juga akan mengutus malaikat secara khusus untuk menjaga kita. Keimanan seorang Muslim itu dapat diukur dengan rasa kasihnya kepada saudara seagama yang lain jadi mendoakan antara satu sama lain juga adalah salah satu cara untuk berkasih sayang.

Sabda Baginda Rasulullah: Barang siapa yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan, melainkan malaikat akan berkata; 'Amiin dan bagimu kebaikan yang sama. [HR Muslim 4913]

2) Kehebatan zikir.

Apakah ada kekayaan yang lebih besar nilainya daripada dunia dan seisinya? Ianya ringan di mulut tetapi berat di timbangan. Zikir adalah salah satu daripadanya.

Amalan ini mudah dan hanya memerlukan waktu yang singkat tetapi dapat mengalahkan nilai kekayaan dunia dan seisinya. Dari Abu Hurairah berkata, Baginda Rasulullah bersabda: Dua kalimat yang dicintai oleh Ar-Rahman, ringan diucapkan di lisan, namun berat di timbangan (amalan) iaitu Subhanallahi wa bihamdih, subhanallahil ‘azim (Maha Suci Allah, segala pujian untuk-Nya. Maha Suci Allah Yang Maha Mulia). [HR. Bukhari 7563 dan Muslim 2694]

3) Membaca satu huruf dari al-Qur’an mendapat 10 pahala

Membaca al-Quran bermakna seseorang itu sentiasa mengingati Allah. Satu perkara yang perlu sentiasa terpahat pada hati dan fikiran setiap Muslim adalah membaca al-Quran itu bukan hanya mampu memperoleh pahala bacaannya sahaja, malah ia bakal menjadi penyelamat, pelindung serta syafaat kepada pembacanya pada hari akhirat kelak.

Pahala membaca Al-Quran itu sangatlah banyak sehinggakan Baginda Rasulullah mengatakan bahawa satu huruf akan mendapat satu kebaikan dan satu kebaikan akan digandakan dengan 10 pahala.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” [HR Tirmizi 2910]

4) Besarnya pahala bersedekah.

Islam menganjurkan kita untuk bersedekah walaupun dalam keadaan kesempitan. Selama ini ramai dalam kalangan kita beranggapan bahawa sedekah hanya perlu ketika mana dalam keadaan senang sedangkan yang terbaik adalah sedekah pada bila-bila masa tanpa perlu berkira.

Sekecil-kecil nilai wang yang kita sedekahkan ketika dalam kesempitan adalah sebesar-besar nilai di hadapan Allah.

Amalan bersedekah sangat berkait rapat dengan iman seorang Muslim. Setiap sedekah yang diterima di sisi Allah, Dia akan balas dan ‘membayarnya’ di dunia lagi.

Itu janji Allah dalam al-Quran iaitu sesiapa yang bersedekah di jalan Allah, Dia akan ganti semula dengan ganjaran paling sedikit 10 kali ganda pahala manakala paling banyak adalah 700 kali ganda.

Allah berfirman yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah Al-Baqarah ayat 261)

Contohnya, ada orang memberi sumbangan atau infaknya untuk pembinaan sebuah masjid. Walaupun nilai yang dilaburkan untuk tujuan itu hanya sebiji batu bata, tetapi Allah SWT akan membalasnya dengan sebuah istana di dalam syurga pada hari akhirat kelak atas kejujuran serta keikhlasannya.

Oleh yang demikian, kita perlu sedar, ibadat-ibadat besar kita tidak menjamin akan keberadaan kita di syurga Allah. Solat, zikir, tilawah al-Quran, puasa, bahkan haji sekalipun belum tentu menjamin keselamatan kita di akhirat kelak.

Maka berlumba-lumbalah kita dalam memenuhkan buku amalan hatta dengan seringan-ringan amalan kerana kita tidak akan pernah tahu amalan apakah yang menyebabkan Allah merahmati dan mengasihi kita sehingga menempatkan kita di syurganya.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain